Soalan-Soalan Lazim Rangka Kerja Polisi Penggabungan Industri Broker Saham

Kuala Lumpur, 10 Mei 2000

Berikutan pengumuman rangka kerja polisi penggabungan industri broker saham pada 21 April 2000, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerbitkan jawapan bagi soalan-soalan lazim (FAQs) mengenai berbagai aspek rangka kerja polisi tersebut bagi memberikan kefahaman yang jelas di kalangan pihak yang terlibat dan pihak awam secara umumnya. Ini akan dilakukan secara berkala.

  • Sebelum pengumuman tersebut, SC telah menyatakan bahawa ia ingin melihat penggabungan syarikat broker saham dijalankan dalam masa dua hingga tiga tahun. Mengapakah jangka waktu sedia ada telah ditetapkan?
Tujuannya adalah untuk melihat penggabungan Broker Universal beroperasi sepenuhnya dalam masa dua hingga tiga tahun. Bagi mencapai objektif ini dan dengan mengambil kira kerumitan sesuatu proses penggabungan, syarikat broker saham mesti memulakan persediaan secepat mungkin untuk bergabung.
Syarikat broker saham mesti mempercepatkan proses tersebut kerana walaupun rangka kerja penggabungan itu telah diumumkan, negara lain di rantau ini secara aktif sedang mengambil langkah bagi memperkukuh dan mempertingkatkan persaingan pasaran modal masing-masing.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan dan SC telah menyatakan beberapa kali dan menekankan keperluan bagi penggabungan industri. Isu tersebut telah pun dibangkitkan di kalangan broker saham dalam berbagai sesi pertemuan dan dialog tahunan yang dikendalikan oleh SC dengan pihak industri. Walau bagaimanapun, industri broker saham tidak memberi respons dalam melakukan sesuatu yang penting dan bermakna bagi usaha penggabungan selama ini.
  • Tarikh akhir bagi para broker saham untuk memenuhi syarat-syarat baru mengenai pemilikan dan struktur korporat, dan mengadakan perjanjian penggabungan yang kukuh adalah 31 Disember 2000. Apakah akibatnya kepada broker saham sekiranya mereka tidak dapat mematuhi tarikh akhir ini?
Sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar sebelum ini, syarikat broker saham adalah dikehendaki mengadakan perjanjian penggabungan yang kukuh dan mematuhi peraturan yang baru berkenaan pemilikan dan struktur korporat sebelum tarikh akhir 31 Disember 2000, atau sekurang-kurangnya menunjukkan persediaan secara kontrak telah dijalankan ke arah memenuhi syarat-syarat tersebut sebelum tarikh itu. Rayuan kepada SC bagi sesuatu perlanjutan masa oleh pihak yang terlibat yang tidak dapat memenuhi syarat pemilikan dan struktur korporat sebelum 31 Disember 2000 akan hanya dipertimbangkan sekiranya terdapat alasan yang kukuh dan sah.
Syarikat broker saham yang gagal mengadakan perjanjian penggabungan yang kukuh sebelum tarikh akhir tersebut tidak akan diperbaharui lesen mereka.
Sementara itu, pasukan petugas yang dipengerusikan oleh Kementerian Kewangan dan terdiri daripada wakil-wakil SC dan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) akan terus mengkaji semula dan mengawasi kemajuan keseluruhan pelaksanaan penggabungan tersebut dan akan menentukan langkah-langkah yang akan diambil bagi terus mempercepatkan proses ini, sekiranya perlu.
  • Mengapakah SC menggunakan pendekatan ini bagi menggabung industri broker saham dan bukannya membenarkan proses tersebut ditentukan oleh pasaran?
SC, sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, telah menggalakkan pelaksanaan penggabungan ini ditentukan oleh pasaran dalam beberapa tahun yang lepas. Pihak kerajaan dan SC telah secara berterusan menekankan keperluan bagi penggabungan industri. Walau bagaimanapun, industri broker saham secara umumnya telah gagal untuk menjalankan penggabungan atas dasar sukarela dan tidak memperdulikan seruan untuk bergabung. Pihak kerajaan dan SC percaya bahawa rangka kerja polisi yang diumumkan akan berjaya mencapai secara berkesan objektif penggabungan industri broker saham, yang mana adalah untuk memperkukuhkan industri dan menyediakan industri untuk menghadapi cabaran persaingan akan datang. Sebenarnya, rangka kerja polisi tersebut menyediakan garis panduan yang umum bagi penggabungan di mana pihak broker saham sendiri telah memintanya pada masa lalu.
  • Bagaimanakah pihak berkuasa memutuskan jumlah 15 syarikat broker saham yang sesuai selepas pelaksanaan penggabungan tersebut?
Adalah difahamkan bahawa 15 syarikat broker saham mewakili satu jumlah yang sesuai bagi entiti bergabung yang diperlukan bagi mencapai tahap persaingan yang sesuai dengan memberi pertimbangan kepada saiz modal kita, dan mengambil kira sejauh mana penggabungan yang boleh dicapai, tahap modal yang diperlukan, skop perkhidmatan perantaraan yang akan disediakan dan keperluan mencapai penggabungan yang berkesan.
  • Dengan menghadkan jumlah syarikat broker saham kepada 15 Broker Universal, adakah ini bermakna baki selebih sebanyak 48 buah syarikat broker (daripada 63) akan ditutup? Tambahan lagi, dengan hanya 15 buah syarikat broker, adakah ia menjadi satu kesulitan kepada para pelabur kerana mereka akan kekurangan akses kepada perkhidmatan broker saham?
Pertamanya, pengurangan jumlah syarikat broker saham kepada 15 Broker Universal tidak sama sekali bermakna terdapat 15 lokasi bagi syarikat broker saham. Adalah diharapkan bahawa kebanyakan daripada lokasi yang sedia ada akan ditukarkan kepada cawangan bagi 15 Broker Universal tersebut.
Tambahan lagi, Broker Universal akan dibenarkan, bermula dari 1 Januari 2002, membuka cawangan tambahan di seluruh negara. Ini bermakna akan terdapat lebih cawangan syarikat broker selepas 2001. Dengan itu, tidak akan terdapat apa-apa kesan kepada akses para pelabur kepada perkhidmatan broker saham. Sebaliknya, adalah dijangkakan terdapat akses yang lebih luas berikutan pengguguran halangan untuk membuka cawangan.
Lebih daripada itu, pengurangan serentak kadar komisen akan memberikan insentif kepada aktiviti pembrokeran atas talian untuk berkembang, yang akan menawarkan satu kaedah tambahan yang efisien bagi mendapatkan akses perkhidmatan perantaraan Malaysia.
  • Apakah rasional bagi menghadkan pihak yang layak bagi memperoleh kepentingan dalam syarikat broker saham lain kepada syarikat broker saham yang sedia ada dan pemegang saham korporat yang mempunyai kawalan ke atas syarikat broker saham yang sedia ada?
Objektifnya adalah bagi menggalakkan penggabungan oleh pemain sedia ada di kalangan industri broker saham. Ini akan memastikan bahawa, pada masa ini, penggabungan akan dilaksanakan hanya oleh pihak yang mempunyai pengalaman dan kemampuan pembrokeran saham yang berkaitan.
  • Adakah syarikat-syarikat broker saham yang telah memenuhi syarat kuantitatif modal berbayar minimum dan modal teras sebanyak RM250 juta, nisbah minimum CAR (Nisbah Kecukupan Modal) sebanyak 1.5 kali dikecualikan daripada keperluan untuk bergabung dengan sekurang-kurangnya tiga buah syarikat broker saham lain?
Rangka kerja polisi tersebut adalah bertujuan mencapai penggabungan industri yang menyeluruh dan mengenal pasti satu kumpulan Broker Universal. Untuk menjadi sebuah Broker Universal, sesebuah entiti bukan hanya perlu mencapai tahap modal tertentu dan teguh tetapi juga melaksanakan penggabungan. Dengan itu, tiada pengecualian akan diberikan bagi keperluan untuk melaksanakan penggabungan (dengan sekurang-kurangnya tiga buah syarikat broker lain yang sedia ada) tanpa mengira modal yang sedia ada dan keteguhan sesebuah syarikat broker saham.
  • Apakah keputusan yang telah dibuat untuk menjadi asas penilaian syarikat broker saham yang terlibat dalam penggabungan ke atas NTA. Di samping itu, kenapakah penilaian maksimum telah ditetapkan pada 1.5 kali NTA dan bukannya membenarkan pihak yang terlibat untuk menentukannya?
Penilaian berasaskan 1.5 kali NTA adalah asas yang wajar memandangkan satu penilaian yang konsisten akan digunakan bagi semua syarikat broker saham yang mengambil bahagian dalam pelaksanaan penggabungan di bawah rangka kerja tersebut. Sekiranya sesebuah penggabungan itu dilaksanakan melalui tukar ganti saham, pihak-pihak yang bergabung akan dinilai di atas dasar yang sama tanpa menjejaskan mana-mana pihak tertentu.
Apa yang perlu diingat ialah ini merupakan satu pelaksanaan bagi penggabungan dan bukan bagi mana-mana pihak untuk membuat penjualan. Sekiranya pemilik syarikat broker saham tertentu ingin membuat penjualan pada satu penilaian yang lebih tinggi, mereka boleh berbuat demikian selepas proses penggabungan.
  • Mengapakah penilaian bagi syarikat broker saham di bawah Skim Danaharta dibezakan daripada penilaian ke atas syarikat broker saham lain yang terlibat dalam pelaksanaan penggabungan di bawah rangka kerja tersebut?
Skim Danaharta tersebut adalah berdasarkan mandat yang berlainan, iaitu, bagi memulihkan syarikat broker saham yang bermasalah dan telah dimulakan sebelum rangka kerja penggabungan ini diumumkan. Penilaian broker bermasalah tersebut adalah berasaskan jangkaan nilai yang boleh direalisasikan dan beberapa pertimbangan untuk membayar para pemiutang, mengikut cadangan penyelesaian yang disediakan dengan berpandukan garis panduan Danaharta. Oleh itu bagi memenuhi objektif skim tersebut, kos asal pemerolehan yang terlibat boleh difaktorkan dalam penilaian syarikat broker saham yang memperoleh bagi tujuan mana-mana penggabungan seterusnya di bawah rangka kerja ini. Ini adalah wajar kepada syarikat broker saham yang memperoleh. Jikalau tidak, kos pemerolehan akan dianggap sebagai suatu aset tidak ketara dalam rekod syarikat broker saham yang memperoleh.
  • Adakah syarikat broker saham yang telah menyempurnakan penggabungan sebelum pengumuman rangka kerja polisi penggabungan diberikan apa-apa pengiktirafan?
Dasar-dasar yang terkandung dalam rangka kerja tersebut berkuat kuasa dari tarikh pengumuman pada 21 April 2000 dan tidak akan diguna pakai pada tarikh sebelumnya. Syarikat-syarikat broker saham yang telah pun melaksanakan penggabungan atau dalam proses berbuat demikian menikmati manfaat yang sama seperti yang diberikan kepada syarikat broker saham yang terlibat dalam rangka kerja ini, selagi kriteria berkaitan telah dipenuhi. Oleh itu, cadangan bertulis hendaklah dikemukakan kepada SC untuk dipertimbangkan.
  • Apakah penglibatan para jururunding dalam mewujudkan rangka kerja polisi ini dan pengurangan dalam kos transaksi?
SC telah bekerja sama dengan para jururunding dan pakar berbagai bidang yang lain dalam merumus cadangan mengenai berbagai bidang dalam pasaran modal, termasuk industri broker saham, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan ke atas Pelan Induk Pasaran Modal. Walau bagaimanapun, cadangan-cadangan peringkat akhir adalah tertakluk kepada pengkajian semula dan rundingan terperinci bersama Kementerian Kewangan sebelum cadangan-cadangan tersebut diterima.
  • Bagaimanakah rangka kerja polisi penggabungan tersebut dan pengurangan kos transaksi disesuaikan dengan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) yang diusahakan oleh SC?
Langkah-langkah tersebut merupakan sebahagian daripada cadangan yang berkaitan dengan syarikat broker saham dalam CMP, yang mana bertujuan, antara lain, mewujudkan syarikat broker saham yang lebih kukuh dengan modal yang lebih banyak dan pengurangan kos pelaksanaan dalam industri broker saham. Sementara satu set penuh cadangan bagi pasaran modal akan dikemukakan dalam CMP, yang dijangka akan disiapkan pada pertengahan tahun ini, cadangan-cadangan bagi industri broker saham ini telah diumumkan awal bagi memberikan pihak yang terlibat masa yang mencukupi bagi mematuhi jangka waktu yang telah ditetapkan.
  • Apakah saluran yang tersedia bagi syarikat broker saham untuk membangkitkan sebarang persoalan atau mendapatkan penjelasan mengenai rangka kerja polisi tersebut?
SC telah meminta Persatuan Syarikat-Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM) untuk mengadakan satu jawatankuasa khas bagi pelaksanaan polisi penggabungan tersebut. Syarikat broker saham boleh mengemukakan sebarang persoalan atau mendapatkan penjelasan mengenai rangka kerja tersebut daripada SC melalui jawatankuasa khas ini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup