Soh Chee Wen Mengaku Bersalah, Dikenakan Denda Maksimum

Kuala Lumpur, 14 Mei 2007

Soh Chee Wen hari ini mengaku bersalah terhadap dua tuduhan alternatif bersubahat dengan Tiah Thee Kian dalam mengemukakan maklumat palsu kepada Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia).

Laporan palsu tu berkaitan dengan laporan mengenai transaksi yang membabitkan 7,750,000 saham Omega Holdings Berhad (OHB) dan 7,752,000 saham Omega Holdings Berhad A (saham OHB – A). Pihak pendakwa mengemukakan fakta yang menunjukkan bahawa di antara September dan Oktober 1997, Tiah dan Soh telah bersetuju untuk mengadakan transaksi ke atas saham-saham tersebut pada harga RM6.45. Bagaimanapun, TA Securities Sdn Bhd telah melaporkan transaksi ini, masing-masing pada RM11.60 dan RM9.55 sesaham, melibatkan hanya 4,310,000 saham OHB dan 5,236,000 saham OHB-A.

Soh telah dituduh pada 14 Mei 2002 dengan dua pertuduhan menggunakan satu perancangan untuk menipu Omega Securities Sdn Bhd (OSSB) di bawah seksyen 87A(a) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) melalui transaksi luar pasaran berkaitan dengan penjualan saham-saham Uniphoenix Corporation Berhad.

Pada 5 September 2005, tiga pertuduhan alternatif bersubahat dengan Tiah dalam pengemukaan maklumat palsu kepada BSKL di bawah seksyen 122B(a) SIA yang dibaca bersama dengan seksyen 122C(c) SIA telah dikenakan ke atas Soh sebagai alternatif kepada pertuduhan utama pertama melakukan penipuan sekuriti.

Soh juga mengaku bersalah terhadap pertuduhan utama kedua melakukan penipuan sekuriti di bawah seksyen 87A SIA berkaitan dengan pelaksanaan transaksi contango dalam akaun margin OSSB. Ini diambil kira oleh Mahkamah Sesyen dalam menjatuhkan hukuman.

Mahkamah Sesyen telah mengenakan hukuman denda sebanyak RM3 juta bagi setiap pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada BSKL, atau 30 bulan penjara bagi setiap pertuduhan.

Peguam bela Soh memohon supaya denda tersebut dibayar dalam tiga ansuran dalam masa enam bulan. Bagaimanapun, Mahkamah telah menolak permohonan tersebut dan mengarahkan supaya Soh membayar RM2 juta daripada denda tersebut pada hari ini dan bakinya sebanyak RM4 juta hendaklah dibayar dalam masa dua bulan berikutnya. Ikat jamin sebanyak RM2 juta dikenakan dan pasport Soh juga diarahkan supaya diserahkan kepada Mahkamah sehingga denda tersebut dibayar sepenuhnya.

Dengan sabitan tersebut, Soh secara automatik tidak dibenarkan menjadi pengarah kepada mana-mana syarikat di bawah seksyen 130 Akta Syarikat 1965 bagi tempoh lima tahun.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup