SOP Diperketat bagi Peserta Pasaran Modal, Hanya AGM Secara Maya Sepenuhnya Dibenarkan Semasa Sekatan Pergerakan Penuh
31 Mei 2021

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengesahkan bahawa pasaran modal akan terus dibuka dan beroperasi dalam waktu operasi seperti biasa sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 28 Mei 2021.
Sebagai penyedia perkhidmatan perlu, peserta pasaran modal (CMP) boleh menjalankan dan menyediakan perkhidmatan dan aktiviti pasaran modal. Entiti-entiti ini termasuk bursa-bursa yang diluluskan, entiti berlesen (pemegang CMSL), individu berdaftar, juruaudit yang berdaftar dengan Lembaga Pemantauan Audit, organisasi swaatur, pengendali pasaran diiktiraf (RMO) dan entiti berkaitan pasaran modal yang lain.

Bagi menyokong usaha Kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 semasa tempoh sekatan pergerakan yang kritikal ini, CMP dikehendaki meminimumkan kapasiti tenaga kerja mereka di pejabat.

Di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pasaran modal yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), CMP mesti memastikan bilangan kakitangan mereka yang bekerja di pejabat dihadkan kepada 60% sepanjang tempoh ini.

CMP dikehendaki menyediakan kriteria dan proses yang jelas bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan SOP serta menyimpan rekod yang lengkap dan terkini mengenai kakitangan yang bekerja di pejabat dan di rumah, yang harus dikemukakan kepada SC, sekiranya diminta.

Di samping itu, CMP dikehendaki memohon surat pengesahan daripada SC untuk membolehkan kakitangan mereka membuat perjalanan ke pejabat sepanjang tempoh ini.

SC selaku badan kawal selia bagi pasaran modal, diberi kuasa oleh Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan surat pengesahan perjalanan kepada CMP dan penyedia perkhidmatan pihak ketiga bagi khidmat kritikal. CMP yang memerlukan surat pengesahan boleh menghantar permohonan melalui e-mel kepada SC di
[email protected]

SC juga telah mengemas kini Nota Panduannya, Guidance Note on the Conduct of General Meetings for Listed Issuers (Nota Panduan). Sepanjang tempoh sekatan perjalanan penuh, hanya mesyuarat agung secara maya sepenuhnya dibenarkan di mana semua peserta mesyuarat, termasuk Pengerusi mesyuarat, ahli lembaga pengarah, pengurusan kanan dan pemegang saham, mengambil bahagian dalam mesyuarat secara dalam talian. Sebarang pertanyaan berkaitan Nota Panduan tersebut boleh diajukan kepada [email protected].

Tambahan lagi, penerbit tersenarai dan CMP adalah dilarang daripada menjalankan mana-mana mesyuarat atau perjumpaan secara fizikal, tidak mengira bilangan peserta yang terlibat.

Semua CMP dan penerbit tersenarai diingatkan agar berwaspada dan mengurangkan pergerakan dan interaksi kakitangan, ejen, pelanggan, pemegang saham dan pihak luar yang lain serta mematuhi sepenuhnya prosedur keselamatan dan kebersihan seperti yang dinyatakan dalam SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.

Nota Panduan tersebut boleh dimuat turun di www.sc.com.my. Pertanyaan tentang Nota Panduan boleh die-melkan kepada[email protected].
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup