SOP MKN bagi Pasaran Modal dan Panduan Mesyuarat Maya SC kepada Penerbit Tersenarai
18 Januari 2021  |   Kuala Lumpur

Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan dan/atau mengemas kini siri prosedur operasi standard (SOP), termasuk SOP bagi pasaran modal, untuk mengurangkan risiko penularan virus Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 13 Januari 2021. SOP bagi peserta pasaran modal (CMP) adalah susulan pengumuman oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 13 Januari 2021 bahawa entiti pasaran modal yang diselia, dilesenkan atau didaftarkan oleh SC akan beroperasi menurut SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sepanjang Ordinan Darurat dan pelbagai bentuk PKP.

Sebagai penyedia perkhidmatan perlu di bawah sektor perkhidmatan, CMP boleh terus menjalankan dan menyediakan aktiviti dan perkhidmatan pasaran modal. CMP yang memerlukan surat pengesahan untuk memudahkan pergerakan perjalanan bagi pekerja mereka atau penyedia perkhidmatan pihak ketiga bagi fungsi kritikal boleh menghantar permintaan atau pertanyaan melalui e-mel ke [email protected].

Semua CMP diingatkan agar mematuhi SOP yang diguna pakai, berwaspada dan mengambil langkah yang diperlukan untuk mengurangkan risiko penyebaran COVID-19 di tempat kerja mereka. Ini termasuk memastikan hanya 30% kakitangan pengurusan yang dibenarkan di premis dan penangguhan aktiviti penjualan dan pemasaran di luar premis CMP atau di tempat awam bagi kawasan yang berada di bawah PKP.

Mereka juga boleh merujuk kepada Panduan SOP mengenai Langkah-langkah Kesihatan dan Keselamatan bagi mencegah wabak Covid-19 bagi CMP (Panduan) yang dikeluarkan oleh SC, yang menggariskan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan dalam mengekang penyebaran COVID-19. Panduan dan SOP bagi pasaran modal yang dikeluarkan oleh SC dan MKN boleh dimuat turun dari https://www.sc.com.my/covid-19, dan semua SOP yang dikeluarkan oleh MKN boleh didapati melalui Telegram dan laman sesawang MKN. Pertanyaan berkaitan dengan SOP bagi pasaran modal boleh ditujukan kepada [email protected].

Secara berasingan, SC telah mengemas kini Nota Panduan mengenai Tata Cara Mesyuarat Agung bagi Penerbit Tersenarai. Dalam Nota Panduan tersebut, SC mengingatkan penerbit tersenarai agar hanya mengadakan mesyuarat secara maya sepenuhnya bagi kawasan di bawah PKP dan PKPB. Mesyuarat hibrid atau fizikal boleh diadakan di kawasan di bawah PKPP atau kawasan yang tidak dikenakan sebarang larangan pergerakan.

Nota Panduan yang dikemas kini tersebut dan borang permohonan bagi pengecualian perjalanan yang terhad untuk mengadakan mesyuarat agung secara maya sepenuhnya boleh dimuat turun di https://www.sc.com.my/regulation/corporation-governance dan pertanyaan boleh ditujukan kepada [email protected].

Walaupun pejabat SC tetap dibuka sepanjang PKP, perkhidmatan aduan bersemuka (walk-in) ditangguhkan buat masa ini. Orang ramai boleh terus menghantar e-mel pertanyaan atau aduan mereka kepada SC melalui [email protected]. Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline Aduan SC di +603 6204 8999 (9 pagi - 5 petang Isnin hingga Jumaat). Pertanyaan umum boleh ditujukan melalui e-mel [email protected].

Pengumuman pasaran modal yang berkaitan dengan Covid-19 akan dikemas kini dari semasa ke semasa di seksyen khas Covid-19 di laman sesawang SC https://www.sc.com.my/covid-19.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup