Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Dunia Bincang Peranan Lebih Besar Kewangan Infrastruktur Islam
8 Mei 2017  |   Kuala Lumpur
Kewangan Islam boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam pembiayaan infrastruktur melalui Perkongsian Sektor Awam-Swasta (PPP) bagi memudahcarakan pembangunan yang lebih mampan, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kumpulan Bank Dunia di persidangan bersama yang diadakan di ibu pejabat SC di Kuala Lumpur hari ini.

Bertemakan "Kewangan Islam dan Perkongsian Sektor Awam-Swasta bagi Pembangunan Infrastruktur", Persidangan SC-Kumpulan Bank Dunia mengumpulkan para pengamal pembangunan, penggubal dasar, pengawal selia, serta pihak berkepentingan yang terlibat dalam kewangan Islam dan infrastruktur untuk membincangkan dasar, campur tangan kawal selia dan institusi yang boleh memberi penyelesaian kepada keperluan pembangunan infrastruktur global. Menurut kajian Bank Dunia1, pelaburan infrastruktur global tahunan adalah dianggarkan sebanyak antara AS$2.65 kepada AS$3.7 trilion dan Pasaran Pesat Membangun dan Ekonomi Membangun (EMDE) menghadapi jurang pelaburan infrastruktur tahunan sebanyak AS$452 bilion.

Persidangan itu juga mengetengahkan perkongsian pengalaman luas Malaysia menggunakan instrumen kewangan Islam untuk menyokong pembangunan infrastruktur melalui data yang menunjukkan bahawa 61% daripada sukuk infrastruktur dunia telah diterbitkan di luar Malaysia2 manakala Indeks Pelaburan Infrastruktur Global 2016 meletakkan Malaysia sebagai destinasi kedua paling menarik bagi pelaburan infrastruktur di Asia dan tempat kelima di dunia.

"Perkara penting bagi pembiayaan infrastruktur adalah kejayaan untuk menghubungkan jurang antara permintaan dan penawaran kepada modal. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah lama memperakui potensi pasaran modal Islam yang menguntungkan sebagai alternatif untuk pembiayaan besar-besaran dan jangka panjang. Sehubungan ini, Sukuk, memandangkan cirinya yang berasaskan aset dan perkongsian risiko, secara khusus, adalah sesuai bagi pembiayaan infrastruktur" kata Tan Sri Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC.

"Kami di Kumpulan Bank Dunia, percaya bahawa kewangan Islam mempunyai peranan penting dalam menangani cabaran pembangunan yang dihadapi oleh negara-negara pelanggan kami. Penglibatan Kumpulan Bank Dunia dalam kewangan Islam secara langsung berkait dengan objektif kami untuk mengurangkan kemiskinan, menggalakkan pembangunan sektor kewangan, meluaskan keterangkuman kewangan, dan membina kestabilan dan daya tahan sektor kewangan di negara-negara pelanggan," kata Laurence Carter, Pengarah Kanan, Infrastruktur, Jaminan dan Perkongsian Sektor Awam-Swasta, Kumpulan Bank Dunia.

Persidangan satu setengah hari ini merupakan kerjasama pertama antara SC dan Kumpulan Bank Dunia secara pembabitan berbilang tahun berkaitan kewangan Islam dan pembiayaan infrastruktur. Perbincangan pada hari pertama memberi tumpuan kepada isu-isu utama dalam menggerakkan kewangan Islam bagi keperluan infrastruktur manakala pada hari kedua diadakan satu sidang meja bulat tertutup pakar-pakar bagi membincangkan perkara-perkara teknikal, penyelesaian dan projek perintis yang boleh dilaksana.

SECURITIES COMMISSION MALAYSIA
WORLD BANK GROUP


--------------------------------------------------
1 Infrastructure Investment Demands in EMDEs, Bank Dunia, Sept 2015

2 Perangkaan daripada ISRA (International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance) yang merangkumi tempoh 2012 hingga 3Q2015

[Dari kiri ke kanan]: Jose De Luna Martinez, Pakar Sektor Kewangan Pakar, Kumpulan Bank Dunia; Abayomi A Alawode, Ketua Kewangan Islam, Kumpulan Bank Dunia; Laurence W Carter, Pengarah Kanan Perkongsian Awam-Swasta, Kumpulan Bank Dunia; Tan Sri Ranjit Ajit Singh, Pengerusi, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; Dato’ Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Timbalan Ketua Eksekutif, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; Zainal Izlan Zainal Abidin, Pengarah Urusan, Pembangunan dan Pasaran Islam , Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; Walid Abdel Wahab, Pengarah, Jabatan Infrastruktur,Islamic Development Bank di Persidangan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kumpulan Bank Dunia on Kewangan Islam dan Perkongsian Sektor Awam-Swasta bagi Pembangunan Infrastruktur. 
Ooops!
Generic Popup