Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia Mengingatkan Orang Ramai Agar Berhati-hati Terhadap Skim Pelaburan Internet

Nasihat Orang Ramai Agar Melabur dengan Pihak yang Berlesen Sahaja

Kuala Lumpur, 19 April 2007

Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia hari ini mengingatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap skim penipuan pelaburan yang dipromosikan di Internet.

Sesetengah syarikat dan tapak web menawarkan skim pelaburan Internet yang tidak dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menerima deposit. Mereka juga tidak dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk memberikan nasihat pelaburan yang berkaitan dengan aktiviti sekuriti atau niaga hadapan atau menjalankan aktiviti pengurusan dana di Malaysia. Aktiviti sedemikian biasanya menawarkan pulangan atau peluang pelaburan yang menarik.

Pelabur boleh mendapatkan pengesahan mengenai status pelesenan institusi kewangan yang terbabit dalam aktiviti pengambilan deposit yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia atau individu dan syarikat yang terbabit dalam aktiviti pelaburan yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti masing-masing di tapak web www.bnm.gov.my dan www.sc.com.my.

Orang ramai adalah diingatkan bahawa mereka hendaklah hanya membuat deposit atau melabur dengan pihak yang dilesenkan oleh pihak berkuasa agar mereka boleh mendapat perlindungan di bawah undang-undang perbankan dan sekuriti. Pengendali tidak berlesen boleh menghilangkan diri mereka dengan meninggalkan pelabur tanpa keupayaan untuk mendapatkan semula wang pelaburan mereka atau membuat tuntutan terhadap mana-mana individu yang terbabit dengan skim tersebut.

Adalah penting orang ramai berwaspada dan bertanggungjawab dalam membuat keputusan pelaburan kerana Internet menawarkan akses mudah bagi mereka yang tidak bertanggungjawab memperdaya mangsa untuk memberikan wang mereka. Pelabur digesa untuk mendapatkan pengesahan mengenai ketulenan skim yang kononnya menawarkan pulangan atau peluang pelaburan yang lumayan yang membabitkan kadar pulangan yang melebihi pasaran dan tanpa risiko hingga yang berisiko rendah.

Sekira tidak pasti, orang ramai hendaklah mengesahkan dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti atau pihak berkuasa berkaitan yang lain mengenai status pelesenan syarikat tempatan dan asing sebelum mendepositkan wang mereka atau membuat apa-apa keputusan pelaburan.

Orang ramai juga dinasihatkan agar memaklumkan pihak berkuasa serta-merta sekiranya mereka bertemu dengan mana-mana tapak web, e-mel atau apa-apa maklumat yang mencurigakan di Internet yang berkaitan dengan nasihat dan khidmat pelaburan serta aktiviti pengambilan deposit. Mereka boleh menghubungi Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia di:

Jabatan Pengaduan, Suruhanjaya Sekuriti
Tel: 03-6204 8999 / 03-6204 8777
Faks: 03-6204 8991
E-mel: [email protected]

Bank Negara Malaysia
Tel: 03-2691 0824 / 2692 6482 / 2698 2810 / 2694 2143
Faks: 03-2698 7467
E-mel: [email protected]

Dikeluarkan bersama oleh
BANK NEGARA MALAYSIA DAN SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup