Suruhanjaya Sekuriti dan Suruhanjaya Dagangan Komoditi Bercantum

Kuala Lumpur, 16 April 1997

Pengawalseliaan pasaran niaga hadapan komoditi kini terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Sekuriti (SC) berikutan dengan percantuman Suruhanjaya Dagangan Komoditi (CTC) dan Suruhanjaya Sekuriti hari ini.

Pengerusi SC, Dato' Dr. Mohd. Munir Abdul Majid berkata percantuman tersebut merupakan satu peristiwa penting di dalam perkembangan pasaran modal Malaysia.

"Langkah tersebut bermula dengan keputusan Kerajaan untuk merasionalisasikan rangka pengawalseliaan bagi mewujudkan kecekapan di dalam pengawalselia dan mengurangkan kos pematuhan untuk peserta pasaran," kata Dato' Munir.

Dengan percantuman ini, bermakna Kuala Lumpur Commodity Exchange (KLCE), Malaysian Futures Clearing Corporation (MFCC) dan ahli-ahli mereka akan tertakluk di bawah pengawalseliaan SC.

"Urusan akan berjalan seperti biasa dengan percantuman ini. SC telahpun menyerap kakitangan CTC dan mereka diintegrasikan dengan struktur SC yang ada dan akan beroperasi dari pejabat SC di Jalan Semantan. Peserta pasaran niaga hadapan komoditi tidak seharusnya mengharapkan sebarang perubahan dalam urusan harian mereka dengan pengawalselia," kata Dato' Munir.

SC menyerap kesemua 24 kakitangan CTC dengan terma yang tidak kurang menarik berbanding sebelum percantuman.

Pengerusi SC berkata, pelan perkembangan pasaran modal masakini akan turut merangkumi industri niaga hadapan komoditi.

"Pelan urusan SC ke arah pengawalseliaan berteraskan penzahiran sepenuhnya, penggalakan pengawalseliaan barisan hadapan oleh industri, menaikkan tahap profesionalisme dan tatalaku perantara pasaran, dan merasionalisasikan rangka kawalselia pasaran akan juga terpakai bagi pasaran niaga hadapan komoditi," kata Dato' Munir.

Dengan dasar SC bagi pengwujudan rumah penjelasan tunggal, perbincangan di antara SC, MFCC dan Malaysian Derivatives Clearing House (MDCH) telahpun bermula untuk mengorak langkah bagi percantuman kedua-dua rumah penjelasan tersebut.

"SC adalah konsisten dalam dasarnya mengenai pengurusan risiko -¾ ia menghendaki satu rumah penjelasan untuk pasaran niaga hadapan. Meritnya terletak pada integriti kewangan dan kestabilan sistemik yang akan diuruskan menerusi rumah penjelasan tunggal. Pada masa yang sama, perantara pasaran akan mendapati manfaat dari kecekapan kos," kata Dato' Munir.

Percantuman di antara SC dan CTC mewujudkan tiga bursa bagi pasaran niaga hadapan ¾ KLCE, Bursa Opsyen dan Kewangan Hadapan Kuala Lumpur (KLOFFE) dan Bursa Kewangan Malaysia (MME).

"Dengan adanya satu agensi mengawalselia ketiga-tiga bursa, kini wujud landasan bagi kecekapan pasaran dan kos yang akan dicapai melalui rasionalisasi aktiviti institusi dan peserta pasaran. Adalah untuk kebaikan industri bagi kesemua bursa tersebut diintegrasikan," kata Dato' Munir.

Peluasan bidang kuasa SC berkuatkuasa melalui Akta Industri Niaga Hadapan (Pindaan dan Penyatuan) 1997 yang telah memansuhkan Akta Dagangan Komoditi 1985. Selaras dengan pindaan tersebut, pindaan berbangkit telah juga dibuat kepada Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993. Dengan itu, fungsi yang sebelum ini dijalankan oleh CTC di bawah Akta Dagangan Komoditi kini diambilalih oleh SC.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup