Penghakiman terhadap Albert Lee Kee Sien, Kelvin Choo Mun Hoe dan Dynamic Revolution Sdn Bhd, yang diperoleh pada 25 September 2008, memerintahkan mereka membayar AS$83 juta, dan sebarang amaun yang dikesan oleh SC, bagi tujuan membayar ganti rugi kepada para pelabur skim tersebut.
Selain itu, ketiga-tiga defendan tersebut dilarang daripada menjalankan perniagaan Swisscash dan bertindak sebagai pengurus dana tidak berlesen dan/atau penasihat pelaburan tidak berlesen. Mereka juga dilarang daripada mengutip dana bagi tujuan pelaburan dalam sebarang skim pelaburan atau membuka sebarang laman web skim pelaburan Internet.
Penghakiman tersebut merupakan kemuncak kepada usaha intensif SC selama dua tahun dalam menjejaki penjenayah skim pelaburan Swisscash yang membabitkan siasatan merentasi tujuh negara bagi mengumpulkan bukti dan mengesan wang Swisscash.
Berdasarkan hasil siasatannya, SC telah berjaya memperoleh injuksi Mareva seluruh dunia pada bulan Jun 2007 bagi menghalang defendan daripada melupuskan aset mereka di dalam dan luar Malaysia. Satu perintah mahkamah juga telah diperoleh pada bulan September 2007, yang mengarahkan salah seorang defendan supaya memindahkan RM35 juta wang Swisscash kembali ke Malaysia. Sejak itu, SC telah mengetuai mesyuarat tujuh pengawal selia untuk mengukuhkan lagi kerjasama rentas sempadan dan pertukaran maklumat mengenai skim penipuan Swisscash.
Dengan penghakiman tersebut, SC dapat bekerjasama dengan rakan kawal selianya dari negara-negara lain termasuk Switzerland, Isle of Man, Jersey, Australia dan Singapura, bagi mengesan dan menghantar pulang wang Swisscash sebanyak lebih kurang RM30 juta yang diketahui disimpan di luar negara, bagi memenuhi penghakiman tersebut. Pelabur yang layak akan dibayar ganti rugi sebaik sahaja wang tersebut berjaya dibawa pulang.
Penghakiman tersebut juga membolehkan SC mengambil tindakan terhadap defendan sekiranya mereka meneruskan aktiviti Swisscash atau sebarang skim pelaburan yang lain.
Pencapaian ini menyelesaikan tindakan SC terhadap tiga daripada empat defendan yang dinamakan dalam saman sivil yang difailkan pada bulan Jun 2007. Defendan keempat, Amir Hassan, masih menentang tindakan sivil tersebut.
Para pelabur diingatkan lagi bahawa kedua-dua Swiss Mutual Fund dan Swisscash tidak diberikan lesen oleh SC. Orang ramai dinasihati supaya melabur hanya dengan pihak yang dilesenkan oleh SC bagi mendapat perlindungan yang disediakan bawah undang-undang sekuriti. Senarai syarikat dan individu yang dilesenkan oleh SC untuk melibatkan diri dalam aktiviti pelaburan boleh didapati di sini.