Syarat Kewangan Kukuh dan Pengurusan Baru bagi Penyenaraian Semula PN4

Kuala Lumpur, 18 Jun 2003

Syarikat-syarikat PN4 yang dinyahsenaraikan yang memohon penyenaraian semula di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) mesti menunjukkan bahawa mereka adalah kukuh dari segi kedudukan kewangan dan telah mengenal pasti sebab-sebab yang telah mengakibatkan masalah kewangan yang dihadapi dahulu oleh mereka. Syarikat tersebut juga mesti mempunyai pemegang saham dominan dan pengurusan yang baru.

Syarikat PN4 yang dinyahsenaraikan yang memohon penyenaraian di BSKL mesti memastikan bahawa aset mereka, termasuk aset baru yang akan disuntik adalah berkualiti baik dan akan mengatasi masalah keuntungan, aliran tunai dan kunci kira-kira mereka.

Sehubungan itu, antara kriteria baru yang ditetapkan ialah pengemukaan cadangan penyenaraian-semula kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) hanya boleh dibuat selepas audit siasatan bebas ke atas hal ehwal yang lalu bagi syarikat PN4 yang dinyahsenaraikan selesai dilaksanakan.

Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir berkata hari ini berikutan pengumuman kriteria bagi penyenaraian semula di BSKL oleh syarikat PN4 yang telah dinyahsenaraikan. Kriteria tersebut, yang diterbitkan menerusi Nota Panduan 6A di bawah Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti Suruhanjaya Sekuriti boleh didapati di-sini. Kriteria tersebut akan memastikan bahawa syarikat yang disenarai semula itu mematuhi standard yang harus dipenuhi oleh syarikat tersenarai.

“Kami ingin memastikan bahawa syarikat yang disenaraikan semula itu bermula dengan keadaan yang baik dan akan diuruskan oleh pihak pengurusan yang bertanggungjawab. Oleh itu, kami mengenakan beberapa syarat tambahan. Sebagai contoh, kami menghendaki pengurusan lama yang mungkin menjadi punca bagi semua masalah, meninggalkan syarikat tersebut,” kata Datuk Ali.

“Peluang untuk disenaraikan semula memberikan satu harapan baru kepada syarikat PN4 yang dinyahsenaraikan. Peluang ini diberikan berikutan permintaan daripada pihak pemegang saham institusi dan minoriti serta peserta pasaran. Syarikat yang ingin disenaraikan semula harus melakukannya dengan secepat mungkin bagi membolehkan pemegang saham, terutamanya pemegang saham minoriti, memperoleh semula nilai pegangan saham mereka.,” kata Datuk Ali.

Syarikat PN4 yang dinyahsenaraikan yang mengemukakan permohonan mereka dalam tempoh 12 bulan dari tarikh notis keputusan BSKL untuk menyahsenaraikan sekuriti syarikat tersebut daripada Senarai Rasmi bursa saham BSKL boleh memohon untuk disenaraikan semula melalui kaedah pengenalan dan tidak perlu membuat tawaran umum. Mereka juga boleh disenaraikan berdasarkan akaun proforma kumpulan tanpa memenuhi syarat pengarah yang sama dan pemegang saham mengawal yang sama. Bagaimanapun, syarat bagi perniagaan yang sama atau yang melengkapi mesti dipenuhi dalam mematuhi keperluan trek rekod keuntungan lepas bagi penyenaraian.

Pengerusi SC berkata kelonggaran dalam menggunakan akaun proforma adalah suatu fleksibiliti yang menarik, kerana ia membenarkan pengumpulan aset oleh pihak penyelamat untuk disuntik ke dalam syarikat PN4 yang dinyahsenaraikan.

Keperluan kualitatif dan kuantitatif sedia ada yang lain bagi penyenaraian syarikat baru terus diguna pakai dan mesti dipenuhi.

Datuk Ali menegaskan bahawa SC akan meneruskan tindakan penguatkuasaannya terhadap pengarah dan pengurusan syarikat PN4 yang menyalah urus syarikat mereka walaupun syarikat itu telah dinyahsenaraikan.

Menurut Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, cadangan korporat dan urus niaga sekuriti yang membabitkan syarikat PN4 yang dinyahsenaraikan, seperti terbitan/tawaran sekuriti, atau pengambilalihan dan percantuman, terus tertakluk kepada keperluan pengawalseliaan SC melainkan dikecualikan secara nyata di bawah Akta tersebut

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup