Syarikat awam tersenarai tidak kecukupan modal mendapat lanjutan masa untuk memenuhi keperluan modal berbayar minimum

Kuala Lumpur, 3 Disember 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan bahawa tarikh akhir bagi syarikat yang tidak kecukupan modal yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) untuk memenuhi keperluan modal berbayar RM60 juta dan RM40 juta (masing-masing bagi Papan Utama dan Papan Kedua) telah dilanjutkan bagi tempoh setahun lagi dari 31 Disember 2002 sehingga 31 Disember 2003.

Tarikh akhir untuk memenuhi keperluan modal berbayar minimum telah dikaji semula dan dilanjutkan berikutan beberapa faktor, antara lain, keadaan pasaran yang lemah menyukarkan syarikat tersenarai untuk melaksanakan aktiviti penjanaan dana serta maklum balas dan permohonan bagi pelanjutan masa daripada syarikat yang tidak kecukupan modal.

Syarikat tidak kecukupan modal yang tersenarai diingatkan sekiranya mereka masih gagal memenuhi keperluan modal berbayar minimum sebelum tarikh akhir baru 31 Disember 2003, mereka akan diklasifikasikan bawah satu sektor berasingan oleh BSKL dan ditandakan sebagai “Tidak Kecukupan Modal”. Syarikat sedemikian juga akan dikenakan halangan dagangan.

Syarikat tersenarai yang tidak kecukupan modal juga diingatkan tanggungjawab mereka untuk memaklumkan pemegang saham dan pelabur mengenai status ketidakpatuhan melalui keputusan kewangan suku tahunan mereka.

Sebagai tambahan, SC ingin menekankan bahawa, seperti yang dinyatakan dalam siaran akhbar SC yang lalu bertarikh 26 November 2001, ia akan hanya mempertimbangkan cadangan korporat oleh syarikat yang tidak kecukupan modal sekiranya cadangan mereka akan meningkatkan modal berbayar kepada tahap minimum.

Sehingga 29 November 2002, 140 syarikat tersenarai di BSKL masih belum memenuhi keperluan modal berbayar minimum. Senarai lengkap syarikat tersenarai yang tidak kecukupan modal disertakan dalam lampiran.

SC menekankan bahawa tarikh akhir tersebut adalah hanya bagi syarikat tersenarai yang tidak kecukupan modal yang belum memenuhi keperluan modal berbayar minimum. Tiada lanjutan tarikh akhir bagi syarikat PN4 (syarikat yang telah diklasifikasikan bawah Nota Amalan 4 BSKL) untuk merombak kedudukan kewangan mereka.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Nota kepada Pengarang

Keperluan modal berbayar sebanyak RM60 juta dan RM40 juta masing-masing bagi Papan Utama dan Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), diperkenalkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada awal 1999 untuk meningkatkan apungan bebas dan kecairan saham syarikat tersenarai di BSKL. Sebelum tahun 1999, keperluan modal berbayar minimum bagi syarikat tersenarai di Papan Utama dan Papan Kedua BSKL adalah masing-masing sebanyak RM50 juta dan RM10 juta. Syarikat tersenarai yang pada awalnya diberikan tempoh masa tiga tahun sehingga akhir April 2002 untuk mematuhi keperluan modal saham minimum. Tempoh tersebut telah dilanjutkan daripada April 2002 hingga Disember 2002 seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2002 oleh Perdana Menteri.

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup