Syarikat Awam Tersenarai yang Ketidakcukupan Modal diberi Tempoh 6 bulan untuk Memperbaiki Kedudukan Mereka

Syarikat yang gagal akan ditandakan “ketidakcukupan modal” di BSKL

Kuala Lumpur, 19 November 2003

Syarikat awam tersenarai (PLC) yang ketidakcukupan modal diberikan tempoh enam bulan lagi sehingga 30 Jun 2004 untuk meningkatkan modal berbayar mereka masing-masing kepada sekurang-kurangnya RM60 juta dan RM40 juta bagi Papan Utama dan Papan Kedua, sebelum mereka dikategorikan secara berasingan.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mengumumkannya hari ini, berkata bahawa enam bulan lagi adalah memadai bagi PLC yang ketidakcukupan modal untuk memperbaiki keadaan – sekiranya gagal berbuat demikian, mereka akan diklasifikasikan sebagai “Ketidakcukupan Modal” di bawah sektor baru Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

“Setakat 7 November, kami mendapati 34 daripada 59 syarikat yang ketidakcukupan modal adalah dalam proses melaksanakan cadangan penyusunan semula mereka yang akan meningkatkan saiz modal berbayar kepada tahap minimum, dan menjangka bahawa mereka akan dapat melaksanakan cadangan mereka sebelum 30 Jun 2004”, kata Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir. “Kami mahu memberikan mereka tempoh tambahan enam bulan untuk menyempurnakan dan melaksanakan cadangan mereka.”

“Pasaran kini menunjukkan prestasi yang baik, maka tiada lagi alasan bagi syarikat yang ketidakcukupan modal ini. Mereka mesti mengambil kesempatan ini untuk memperbaiki keadaan supaya setanding dengan PLC lain yang mendapat manfaat daripada keadaan pasaran yang bertambah baik. Ini adalah untuk kebaikan mereka sendiri dan tanggungjawab mereka kepada pelabur mereka.”

Syarikat yang dikategorikan sebagai “Ketidakcukupan Modal” dari 1 Julai 2004 hanya akan diklasifikasikan semula di bawah sektor asal mereka setelah mereka mematuhi sepenuhnya keperluan modal berbayar minimum.

Pelanjutan tempoh ini dan pengasingan klasifikasi sektor hanya dikenakan ke atas PLC yang ketidakcukupan modal yang bukan syarikat PN4 (syarikat yang telah diklasifikasikan di bawah Nota Amalan 4 BSKL). Syarikat PN4 masih tertakluk kepada keperluan tempoh tertentu di bawah Nota Amalan 4 BSKL dan telah pun dikategorikan secara berasingan oleh BSKL.

Setakat 7 November 2003, terdapat 88 PLC ketidakcukupan modal (termasuk 29 syarikat yang ketidakcukupan modal yang juga syarikat PN4) yang mewakili lebih kurang 10% daripada jumlah bilangan syarikat awam tersenarai. Ini menunjukkan kemajuan daripada tahun sebelum ini yang mana terdapat 140 syarikat ketidakcukupan modal setakat 29 November 2002 dan 228 syarikat setakat 26 November 2001. Senarai 59 syarikat ketidakcukupan modal (tidak termasuk 29 syarikat PN4) disertakan sebagai Lampiran 1.

Syarikat tersenarai yang ketidakcukupan modal mesti terus memaklumkan pemegang saham dan pelabur mengenai status ketidakpatuhan mereka melalui laporan kewangan suku tahunan mereka.

SC telah melanjutkan tarikh akhir sebanyak dua kali sebelum ini, pada 26 November 2001 dan 3 Disember 2002, memandangkan beberapa faktor termasuk keadaan pasaran lemah yang menyulitkan syarikat tersenarai melaksanakan aktiviti penjanaan modal.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup