Syarikat Awam Tidak Tersenarai Perlu Mematuhi Keperluan Garis Panduan Prospektus SC dan Undang-undang Sekuriti
26 Januari 2021  |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengingatkan syarikat awam tidak tersenarai (unlisted public companies atau UPC) yang ingin mengumpul dana daripada orang ramai agar mematuhi Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan garis panduan yang berkaitan, terutamanya apabila tawaran itu dibuat kepada pelabur runcit.

SC telah menerima peningkatan jumlah pertanyaan dan aduan yang berkaitan dengan UPC yang menawarkan sahamnya, termasuk saham keutamaan, kepada pelabur runcit dan sofistikated. Dalam kes tertentu, saham tersebut dipasarkan atau ditawarkan melalui panggilan telefon, diikuti dengan mesyuarat bersemuka dengan ejen UPC.

CMSA menghendaki prospektus diterbitkan apabila saham UPC ditawarkan kepada pelabur runcit. Prospektus tersebut juga perlu didaftarkan dengan SC. UPC tidak perlu menerbitkan prospektus hanya apabila saham tersebut diterbitkan sepenuhnya kepada pelabur sofistikated yang dihuraikan atau ditetapkan di bawah Jadual 6 dan 7 CMSA. Jadual 6 dan 7 CMSA. Pelabur sofistikated merangkumi individu bernilai bersih tinggi (high-net-worth) (dengan ambang aset bersih sebanyak RM3 juta, tidak termasuk nilai kediaman utama), entiti bernilai bersih tinggi dan pelabur bertauliah.

SC ingin mengingatkan UPC bahawa penawaran saham kepada pelabur runcit tanpa prospektus merupakan salah laku serius di bawah CMSA dan seseorang yang didapati bersalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.

Walaupun CMSA tidak mewajibkan penerbitan memorandum maklumat (information memorandum atau IM), UPC yang menerbitkan IM untuk menawarkan sahamnya kepada pelabur sofistikated dikehendaki menyerahkan IM tersebut kepada SC. UPC juga dikehendaki menjelaskan dalam IM bahawa walaupun IM tersebut diserahkan kepada SC, kelulusan SC adalah tidak diperlukan bagi penawaran saham tersebut.

UPC bertanggungjawab untuk menyediakan semua maklumat yang relevan kepada pelabur, termasuk pelabur sofistikated untuk membolehkan mereka membuat penilaian bermaklumat, termasuk merit melabur dalam saham UPC dan tahap risiko yang terlibat. Sebelum melabur dalam saham UPC, pelabur hendaklah mendapatkan serta membaca kandungan prospektus atau IM yang didaftarkan untuk memahami jenis dan risiko pelaburan mereka, terutamanya bagaimana pelaburan mereka akan digunakan oleh UPC. Mereka juga hendaklah membuat kajian mereka sendiri dan jika perlu, mendapatkan nasihat profesional.

UPC boleh merujuk kepada Prospectus Guidelines untuk mendapatkan maklumat yang perlu dimasukkan ke dalam prospektus UPC bagi tujuan pendaftaran dengan SC. Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai mana-mana individu atau syarikat yang menawarkan apa-apa saham dalam UPC boleh menghubungi Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian +603 6204 8999 atau e-mel [email protected].

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup