Syarikat-syarikat dan PMKS yang Berpangkalan di Sabah Raih Manfaat daripada Pelaburan Luas dan Peluang Pembiayaan Pasaran Modal Malaysia
28 Jun 2019  |  Kota Kinabalu
Capital Markets Malaysia, sebuah badan sekutu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), menganjurkan Forum Invest Borneo buat julung kalinya di Kota Kinabalu hari ini untuk mewujudkan lebih kesedaran mengenai peluang pengumpulan modal dan pelaburan dalam pasaran modal Malaysia dalam kalangan komuniti perniagaan Sabah.

Forum separuh hari tersebut yang menyasarkan syarikat-syarikat; mikro, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); dan usahawan, memberi tumpuan kepada kaedah perniagaan di Malaysia boleh memperoleh manfaat dariipada pelbagai penyelesaian pembiayaan pasaran modal daripada tawaran awam awal (IPO) dan bon sehingga pembiayaan alternatif berasaskan pasaran, iaitu pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) untuk membiayai dan mengembangkan operasi perniagaan mereka. Forum tersebut diadakan sebagai acara sampingan program pendidikan pelabur SC, 'Bersama InvestSmart® @ Borneo Sabah' yang berlangsung buat julung kalinya di Imago Mall, Kota Kinabalu. Acara InvestSmart® Borneo bertujuan untuk menggalakkan celik kewangan dan pelaburan serta meningkatkan pemerkasaan pelabur dalam kalangan rakyat Sabah.

Timbalan Ketua Eksekutif SC, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin berkata, "Keutamaan kami adalah untuk memperluas akses kepada peluang-peluang pelaburan atau pembiayaan, terutamanya untuk segmen pasaran yang kebiasaannya kurang mendapat perkhidmatan kewangan, dan menggalakkan lebih banyak penyertaan dengan matlamat untuk membina pasaran modal yang inklusif."

Walaupun kebiasaannya syarikat-syarikat merujuk kepada bank-bank untuk mendapatkan pembiayaan, landskap pembiayaan telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pasaran modal memainkan peranan utama dalam membiayai ekonomi sebenar, dengan jumlah dana yang dikumpulkan melalui penerbitan bon, sukuk dan ekuiti adalah berjumlah RM114.6 bilion pada 2018. Pasaran modal Malaysia, dengan pelbagai pilihan pembiayaannya, juga berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan pembiayaan PKS dan usahawan di pelbagai peringkat.

Tumpuan utama agenda pembangunan SC tahun ini termasuk memperluas akses kepada pembiayaan untuk PMKS. PKS Malaysia menyumbang sebanyak 37.1% daripada KDNK pada 2017, dengan lebih 900,000 PKS ditubuhkan setakat 2017. Walaupun mereka memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi, sebahagian besar sektor PKS dan perusahaan mikro masih kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

SC terus menyokong usaha pendigitan bagi memenuhi keperluan pembiayaan PMKS dan menarik minat pelabur generasi baharu. Platform ECF dan pembiayaan P2P telah membantu lebih daripada 900 PKS yang secara kolektif telah mengumpulkan hampir RM350 juta untuk pengembangan perniagaan mereka dalam tempoh tiga tahun yang lalu.

Lebih 100 pemilik perniagaan yang berpangkalan di Sabah menghadiri forum tersebut untuk bertemu dengan para penceramah dan ahli panel dari pasaran modal termasuk bank pelaburan, pengendali ECF dan P2P, platform pelaburan digital dan agensi penarafan.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup