Tahun yang mencatatkan rekod bagi pasaran modal Malaysia bernilai RM2.5 trilion
14 Mac 2013   |   Kuala Lumpur

Pasaran modal Malaysia mencatatkan rekod prestasi dengan keseluruhan saiznya meningkat 16.4% dengan nilai RM2.5 trilion pada tahun 2012. Semua segmen pasaran mencatatkan pertumbuhan angka berganda di antara 14.1% hingga 22.6%.

Tahun 2012 juga merupakan tahun yang membuahkan hasil penilaian yang kukuh. SC memperoleh 92% markah daripada penilaian rapi terhadap kerangka pengawalseliaannya, dengan penarafan “dilaksanakan sepenuhnya” bagi 34 daripada 37 prinsip yang dinilai. Pencapaian ini merupakan yang tertinggi di kalangan negara-negara yang menjalani penilaian tersebut baru-baru ini.


Prestasi pasaran yang kukuh; pasaran bon mencecah tahap RM1 trilion

Fokus SC akan terus meningkatkan kebolehan pasaran untuk melaksanakan peranannya dalam pembentukan modal dan menggerakkan tabungan tanpa melupakan fungsi pengawalseliaan kami untuk mengekalkan integriti pasaran,” kata Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Pasaran modal Malaysia telah menunjukkan prestasi kukuh pada 2012 walaupun keadaan pasaran global begitu mencabar. Fokus SC pada tahun 2012 adalah bagi memastikan pasaran kita kekal berdaya tahan dan kami akan terus memainkan peranan dalam pembentukan modal dan mobilisasi tabungan,” kata Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Jumlah besar dana yang dijana melalui penerbitan bon korporat dan tawaran awam awal (IPO) pada tahun 2012 telah meletakkan Malaysia sebagai penerbit sukuk terbesar dunia dan destinasi IPO kelima terbesar dunia serta keempat paling aktif di Asia bagi penerbitan bon korporat.

Pasaran bon korporat dan sukuk melebihi sasaran RM1 trilion untuk kali pertama dan meletakkan Malaysia sebagai pasaran bon yang ketiga terbesar di Asia. Tahun tersebut juga merupakan tahun yang mencatatkan rekod bagi IPO dengan para penerbit berjaya menjana sejumlah RM22.1 bilion, mendorong permodalan pasaran ekuiti meningkat 14.1% kepada RM1.5 trilion manakala FBM KLCI mengakhiri tahun ini pada rekod tinggi 1,688.95 pada 31 Disember 2012.

Industri pengurusan dana terus memainkan peranan utama dalam pergerakan tabungan, dengan mencatatkan pengembangan penting 19.2% bernilai RM505.1 bilion dalam aset di bawah pengurusan (AUM). Nilai bersih aset industri unit amanah meningkat kepada RM294.9 bilion dengan kadar penembusan pada 20.1%. Aset Islam di bawah pengurusan menyumbang kira-kira 16% kepada jumlah AUM industri atau RM79.6 bilion.

Saiz pasaran modal Islam meningkat 22.6% kepada RM1.4 trilion. Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran sukuk terkemuka, dengan 76.9% terbitan sukuk global dan 69.2% sukuk global belum lunas. Pasaran modal Islam juga menikmati lebih pengantarabangsaan melalui penyertaan lebih meluas daripada penerbit sukuk asing dari Singapura, UAE, Bahrain dan Kazakhstan.


Pasaran berdaya tahan disokong oleh pengawalseliaan dan usaha penguatkuasaan yang teguh

Pada tahun 2012, SC terus mengawasi pengantara pasaran dengan rapi, melalui peningkatan 23% dalam peperiksaan tapak ke atas syarikat-syarikat pembrokeran saham dan pengurusan aset, serta liputan yang dikembangkan kepada agensi penarafan kredit. Untuk mengukuhkan lagi perlindungan aset pelanggan, syarikat pengurusan dana dikehendaki melaksanakan kajian bebas secara tahunan terhadap kawalannya. Berhubung dengan kualiti audit, Lembaga Pemantaua Audit telah mempergiatkan usaha penyeliaannya melalui pendekatan berasaskan risiko dengan menyiapkan pemeriksaan ke atas 19 firma audit yang membabitkan 40 juruaudit individu.

Tindakan penting penguatkuasaan yang meluas telah diambil pada tahun 2012, di samping usaha penyiasatan bagi mengekang salah laku, penyalahgunaan pasaran dan dagangan orang dalam. SC telah menfailkan tujuh pertuduhan jenayah bagi kesalahan dagangan orang dalam sementara seorang pengarah syarikat telah disabitkan kesalahan atas empat pertuduhan kerana mengemukakan maklumat palsu berkaitan dengan keputusan kewangan tidak teraudit syarikat. Di samping itu, lapan sekatan pentadbiran dikenakan terhadap pengantara berlesen kerana salah laku dan amalan perniagaan yang tidak wajar manakala sebuah bank pelaburan telah dikenakan celaan kerana gagal melaksanakan ketekunan wajar dalam permohonan korporat.

Bagi menggalakkan budaya beretika dan tadbir urus yang baik, SC telah memperkenalkan `Malaysian Code on Corporate Governance 2012’ (Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2012) yang memberi tumpuan kepada meningkatkan keberkesanan dan status bebas pengarah.


Pembaharuan pengawalseliaan bagi menggalakkan keterangkuman pasaran modal; mengekalkan perlindungan pelaburan yang kukuh

Pindaan kepada Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) telah memberi laluan kepada pewujudan kerangka kerja perundangan bagi mengembangkan pilihan tabungan persaraan bagi warga Malaysia. Pentadbir Pencen Swasta (PPA) telah ditubuhkan untuk memudahcarakan proses pencaruman dan penyimpanan rekod yang cekap. Lapan penyedia PRS telah diluluskan pada Julai 2012 dan setakat Februari 2013, jumlah NAV adalah sebanyak RM72 juta dengan hampir 24,000 pencarum berdaftar dengan PPA.

Pindaan kepada CMSA juga telah memperkenalkan kerangka kerja bagi pengenalan kepada amanah perniagaan. Kerangka kerja baharu ini akan menyediakan peluang kepada pelabur untuk mengambil bahagian dalam laba yang dihasilkan oleh aset-aset yang digabungkan dalam struktur amanah apabila mereka membeli unit-unit dalam amanah perniagaan yang tersenarai di bursa. Ia juga memperkembang pilihan pengumpulan dana bagi penerbit dan memperkukuh tarikan Malaysia sebagai destinasi penyenaraian serantau.

Pengenalan kepada bon runcit memberi peluang kepada pelabur runcit untuk mendapat akses dan mengambil bahagian dalam pasaran bon dan sukuk. Kerangka kerja ini membolehkan penerbit bon dan sukuk mendapat kumpulan pelabur berpotensi yang lebih besar.

Inisiatif untuk memperluas akses pasaran kepada pelabur runcit melengkapi kerangka perlindungan pelabur yang telah dipertingkat.Guidelines on Sales Practices of Unlisted Capital Market Products (Garis Panduan Amalan Jualan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai) telah dikeluarkan bagi memastikan pelabur dilayan dengan adil dan penzahiran dibuat dengan mudah dan jelas. Garis panduan tersebut juga memberi mandat bagi penilaian kesesuaian dijalankan bagi memastikan produk yang dijual kepada pelabur sepadan dengan profil risiko mereka.

Dana Pampasan Pasaran Modal (CMC) ditubuhkan pada tahun 2012 bagi melengkapkan lagi penambahbaikan dalam infrastruktur pasaran dengan menyediakan satu lagi pusat yang bebas bagi urusan pampasan pelabur.


Penilaian peringkat global mengesahkan standard yang tinggi pengawalseliaan pasaran modal

Pada tahun 2012, Malaysia menyertai Program Penilaian Sektor Kewangan (FSAP), satu penilaian menyeluruh ke atas semua aspek sistem kewangan sesebuah negara yang dijalankan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia. Program tersebut menilai tahap keseluruhan dan kualiti kerangka kerja kawal selia dan pengawasan pasaran modal Malaysia menurut Objektif dan Prinsip bagi Pengawalseliaan Sekuriti IOSCO, set piawaian bagi pengawal selia pasaran modal yang diterima di peringkat antarabangsa.

“Penilaian bebas tersebut memperakui sistem kawal selia yang kukuh di Malaysia, yang mengesahkan pendekatan oleh SC ke atas pengawalseliaan dan telah ditanda aras dengan baik terhadap piawaian global,” kata Datuk Ranjit.

Datuk Ranjit menambah bahawa ini memberi asas bagi pembangunan pasaran modal seterusnya serta pembaharuan pengawalseliaan akan datang.

“Kita perlu segera mengambil peluang bagi memastikan bahawa pasaran modal Malaysia terus berada di kedudukan yang berdaya saing dengan struktur dan amalan dinamik yang menggalakkan kerancakan dan inovasi,” kata beliau.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup