Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar diumumkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022

Kuala Lumpur, 4 Oktober 2022

Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 (Anugerah Diraja) telah dikurniakan kepada Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam satu majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar merupakan cendekiawan Syariah yang terkemuka dan diiktiraf secara meluas atas sumbangannya kepada pembangunan industri kewangan Islam global. Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar kini berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Shariah bagi Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC). Beliau juga merupakan ahli lembaga Syariah bagi institusi dan organisasi kewangan antarabangsa seperti Amundi Asset Management (Perancis), Bank of London and Middle East, Dow Jones Islamic Market Index (New York), Morgan Stanley (Dubai) dan Sedco Capital (Arab Saudi). Beliau juga berperanan penting dalam membangunkan piawaian Syariah pertama bagi emas yang dikeluarkan oleh Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI). Pengetahuan Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dalam pelbagai disiplin telah membantu menjalinkan penggunaan prinsip Syariah dalam kewangan Islam moden, seterusnya memajukan lagi industri itu.

Selain penyertaan aktif beliau pada peringkat global, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar juga merupakan mantan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Selain itu, beliau telah menubuhkan beberapa syarikat khidmat nasihat Syariah dan syarikat fintech yang menyumbang kepada rangka kerja dan dasar berkaitan Syariah, penstrukturan produk, pembangunan modal insan dan penyelesaian teknologi.

Sebagai tokoh tersohor dalam kepimpinan berwawasan bagi kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar juga merupakan pengarang untuk lebih 40 buku dalam pelbagai genre dan telah menerima pelbagai anugerah. Buku-buku beliau memberikan pencerahan tentang tafsiran cendekiawan moden mengenai keputusan Syariah serta penerapannya secara praktikal dalam industri kewangan Islam. Beliau juga telah menerbitkan pelbagai artikel dalam jurnal akademik dan sebahagiannya telah dibentangkan dalam persidangan antarabangsa yang terkemuka.

Mengulas mengenai penerima Anugerah Diraja, Pengerusi Juri Tun Musa Hitam berkata, “Para juri telah melaksanakan proses pemilihan yang ketat dan teliti ke atas merit dan pencapaian setiap calon sebelum mencapai keputusan muktamad. Sebagai seorang cendekiawan Syariah, pengarang dan usahawan yang disegani, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar telah memainkan peranan utama dalam membentuk industri kewangan Islam global. Beliau diiktiraf secara meluas atas sumbangan dalam memajukan kepimpinan berwawasan Syariah dalam kewangan Islam.”

Anugerah Diraja yang diperkenalkan pada 2010 merupakan anugerah dwitahunan anjuran bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC) untuk mengiktiraf dan memberikan penghargaan kepada individu yang telah memajukan kewangan Islam secara global menerusi sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka.

Penerima Anugerah Diraja sebelum ini termasuk Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (2018); Profesor Datuk Dr. Rifaat Ahmed Abdel Karim, mantan Ketua Pegawai Eksekutif International Islamic Liquidity Management Corporation (2016); Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail, ahli pengasas bank Islam pertama Malaysia (2014); Dato’ Paduka Iqbal Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital (2012); dan Allahyarham Shaikh Saleh Abdullah Kamel, pengasas Dallah al Baraka Group (2010).

Ahli Komuniti:

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup