TAWARAN UTAMA SEKURITI MELALUI INTERNET

Kuala Lumpur, 18 Ogos 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah menerima banyak pertanyaan daripada pembuat tawaran atau pembuat tawaran berpotensi yang berpusat di luar negara samada tawaran sekuriti mereka yang dibuat melalui Internet adalah tertakluk kepada undang-undang sekuriti Malaysia. Susulan dari itu, penyata polisi ini dikeluarkan untuk memberi penjelasan terhadap isu tawaran utama sekuriti melalui Internet, dari sudut pemakaian undang-undang sekuriti Malaysia yang sedia ada, khususnya Seksyen 32, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. .

Pada dasarnya, SC menyokong penuh pembangunan perdagangan elektronik dalam pasaran modal Malaysia, namun demikian, SC juga mempunyai tanggungjawab penuh untuk melindungi pelabur di Malaysia daripada aktiviti yang melanggar undang-undang. Seksyen 32, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 digubal khas untuk mengawal selia tawaran sekuriti di pasaran utama.

Di bawah Seksyen 32, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, sesiapa ("pembuat tawaran") yang:

  • membuat tawaran bagi langganan atau pembelian sekuriti di Malaysia; atau
  • mengeluarkan pelawaan bagi langganan atau pembelian sekuriti di Malaysia, perlu menyerahkan cadangan kepada SC. Sesiapa yang gagal menyerahkan cadangan tersebut melakukan suatu kesalahan di bawah undang-undang, dan jika disabitkan dengan kesalahan maka boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak lebih daripada 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

SC berpendapat bahawa tawaran sekuriti di Internet yang boleh diakses di Malaysia merupakan tawaran yang tertakluk kepada peruntukan Seksyen 32. Kelulusan daripada SC wajib diperolehi sekiranya tawaran tersebut yang boleh diakses di Malaysia atau penerimaan daripada Malaysia tidak dikecualikan secara nyata.

Walau bagaimanapun, SC akan menimbangkan faktor-faktor berikut di dalam menentukan samada tawaran sekuriti di Internet adalah tertakluk kepada syarat-syarat Seksyen 32, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993:

  • Tujuan pembuat tawaran iaitu samada tawaran adalah ditujukan kepada orang di Malaysia. Ini termasuk penggunaan penolak tuntutan, penubuhan rangkaian pengedaran tempatan, pengiklanan serentak atau publisiti dalam lain-lain bentuk media di Malaysia, atau sebutan harga di dalam mata wang Malaysia;
  • Penembusan tawaran sekuriti di Malaysia iaitu samada mana-mana orang di Malaysia menerima atau tidak, tawaran tersebut. Ini termasuk menimbangkan langkah-langkah yang telah diambil oleh penerbit untuk memeriksa alamat dan maklumat tempat tinggal, dan jumlah penjualan yang tidak sah; dan
  • Pembabitan orang dari Malaysia di dalam membuat tawaran.

SC mencadangkan pembuat tawaran atau pembuat tawaran berpotensi untuk mengambil langkah bagi memastikan bahawa tawaran tersebut tidak tertakluk kepada Seksyen 32, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Cadangan-cadangan di dalam penyata ini adalah sebagai garis panduan bagi pembuat tawaran sahaja dan tidak merupakan nasihat perundangan ataupun senarai menyeluruh yang akan menjamin pengecualian pembuat tawaran daripada lingkungan Seksyen 32, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Langkah-langkah tersebut termasuk:

  • Tidak menerbitkan tawaran atau pelawaan di dalam laman web yang sentiasa dikunjungi oleh atau yang menarik perhatian orang di Malaysia. Sebagai contoh, tawaran di laman web yang mempunyai ".my" pada alamatnya atau yang menawarkan kandungan yang relevan dengan orang di Malaysia.
  • Memastikan bahawa tawaran tersebut tidak mengandungi maklumat khas relevan kepada orang di Malaysia. Sebagai contoh, kadar cukai atau harga yang disebut di dalam mata wang Malaysia.
  • Membentuk atau mengambil langkah untuk mengecualikan secara automatik dan/atau menolak langganan yang dibuat oleh orang di Malaysia dan supaya mempunyai sistem pengawasan permohonan yang dibuat oleh orang berkenaan. Sebagai contoh, pembuat tawaran boleh mengatur agar sistem langganan mereka diprogram untuk menolak secara automatik sebarang permohonan langganan daripada orang di Malaysia di mana telefon, alamat rumah dan alamat surat-menyurat menunjukkan yang mereka adalah dari Malaysia.
  • Memastikan akses kepada maklumat tawaran adalah terhad supaya orang di Malaysia tidak dapat melihat dokumen yang berkaitan dengan tawaran.
  • Memasukkan klausa penolak tuntutan bidang-kuasa yang jelas di dalam prospektus atau dokumen tawaran dalam talian yang menyatakan bahawa tawaran tersebut tidak bermaksud untuk disediakan di Malaysia atau untuk orang di Malaysia, atau yang menyenaraikan dengan jelas bidang-kuasa bidang-kuasa di mana tawaran tersebut ditujukan, di mana senarai tersebut tidak mengandungi Malaysia.

SC juga mengambil peluang ini untuk memberi peringatan kepada semua orang di Malaysia untuk sentiasa berhati-hati terhadap penipuan yang boleh dilaksanakan melalui Internet. Pelanggaran undang-undang telah dimudahkan melalui penyalahgunaan teknologi. Para pelabur yang ingin melabur dalam sekuriti yang belum diluluskan oleh SC, perlu memahami dan berhati-hati tentang meningkatnya kemungkinan penipuan..

Walaupun SC mengendalikan pengawasan tawaran yang dibuat melalui Internet, namun, SC berpendapat bahawa, perlindungan yang terbaik terhadap penipuan, terutamanya yang dibuat melalui Internet, adalah supaya pelabur sendiri menyedari risiko yang berkaitan dengan tawaran tersebut. Pelabur mesti berusaha untuk memastikan ketulenan tawaran, serta menentukan jika tawaran tersebut telah diluluskan oleh badan pengawal selia yang berkaitan. Seseorang pelabur boleh merujuk kepada SC untuk mengetahui samada sekuriti yang ditawarkan melalui Internet telah diluluskan oleh SC, sebelum melabur di dalam sekuriti tersebut. Rujukan ini boleh dibuat dengan menghubungi Jabatan Hal-Ehwal Korporat di telefon nombor 03-654 8000 atau e-mel: [email protected]

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Dikeluarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk bantuan, pihak media boleh hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di talian 03-65 48513 (Ann Teoh)/ 03-654 8625 (Soh Beng Choo) atau faks: 03-651 5078 atau e-mel [email protected]

Maklumat latar belakang:

Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup