Teguran Awam (15 Februari 1996)

Kuala Lumpur, 15 Februari 1996

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan ini menyelar Nauticalink Berhad dan para pengarahnya pada masa yang relevan kerana ketidak-patuhan kepada beberapa terma dan syarat yang telah dinyatakan oleh SC dalam kelulusan yang telah diberikan kepada Nauticalink dan pemegang-pemegang saham utamanya, iaitu Ooi Kooi Bee, Ooi Chin Huat dan Ooi Cheng Choon, berhubung dengan pengapungan Nauticalink.

2. Nauticalink telah diberi kelulusan bagi pengapungan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada 9 November 1994 tertakluk kepada syarat-syarat, antara lain, bahawa jualan harian tiket dan pembelian alat gantian feri hendaklah diodit oleh juruodit bebas pada kadar tetap dan lapuran odit tersebut dilapurkan kepada pemegang saham oleh para pengarah dalam Lapuran Tahunan syarikat. Nauticalink dan pengarah-pengarah berkenaan gagal mematuhi syarat tersebut dalam Lapuran Tahunan Nauticalink bagi tahun 1994, yang telah dihantar kepada SC dalam bulan Oktober 1995.

3. Di samping itu, SC juga, pada 29 Disember 1994, telah meluluskan permohonan bagi pemindahan syarat halangan jualan ke atas syer-syer yang dipegang oleh Ooi Kooi Bee, Ooi Chin Huat dan Ooi Cheng Choon kepada syarikat-syarikat milik mereka iaitu Silveride Sdn Bhd dan Sasaraya Sdn Bhd. Kelulusan tersebut adalah tertakluk kepada syarat pemegang-pemegang saham utama asal tersebut mengemukakan akuan berkanun mengesahkan bahawa tidak akan ada apa-apa perubahan kepada milikan benefisial syer tersebut selepas daripada pemindahan kepada syarikat-syarikat berkenaan tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada SC. Akuan-akuan berkanun tersebut tidak dikemukakan kepada SC dalam tempoh waktu yang berpatutan. Akuan berkanun tersebut hanya dikemukakan kepada SC pada 16 November 1995, selepas beberapa kali diberi ingatan oleh SC dan setelah hampir setahun daripada tarikh kelulusan SC. Pemohon-pemohon tersebut telah pun memindah-milik syer-syer berkenaan kepada syarikat-syarikat milikan mereka tanpa terlebih dahulu mengemukakan akuan berkanun yang diperlukan walaupun pindah milik tersebut boleh dibatalkan kerana kegagalan mematuhi syarat tersebut.

4. Nauticalink, pengarah-pengarah berkenaan dan pemegang saham utama asal iaitu Ooi Kooi Bee, Ooi Chin Huat dan Ooi Cheng Choon telah diberi peluang untuk menjelaskan ketidak-patuhan mereka terhadap syarat-syarat kelulusan yang telah dikenakan oleh SC. Penjelasan mereka didapati tidak memuaskan.

5. SC memberi keutamaan ke atas kawalan korporat oleh para pengarah syarikat awam dalam memastikan pematuhan terma-terma dan syarat-syarat yang dikenakan oleh SC dalam kelulusannya ke atas mana-mana cadangan korporat. Para pengarah mempunyai tanggung-jawab untuk menentukan pematuhan syarat-syarat tersebut kerana syarat-syarat sedemikian dikenakan untuk melindungi kepentingan pelabur-pelabur. SC diberi kuasa untuk membatalkan mana-mana kelulusan sekiranya syarat-syarat yang dikenakan tidak dipatuhi. Berkenaan dengan Nauticalink dan pengarah-pengarah berkenaan, SC, setelah mengambil kira kepentingan pemegang saham minoriti, telah membuat keputusan untuk mengeluarkan selaran awam ini kerana kegagalan melaksanakan odit yang diperlukan. Demikian juga bagi Ooi Kooi Bee, Ooi Chin Huat dan Ooi Cheng Choon, selaran awam ini telah diberikan kerana kegagalan mengemukakan akuan berkanun yang diperlukan dalam tempoh waktu yang berpatutan.

6. SC juga mengambil perhatian ke atas kerapnya berlaku pertukaran pada keahlian lembaga pengarah seperti mana yang berlaku kepada Nauticalink. Perkara sebegini bercanggah dengan objektif syarat halangan jualan yang dikenakan oleh SC, iaitu untuk memastikan tanggung jawab dan pengurusan yang berkekalan bagi syarikat tersenarai untuk tempoh minima selepas daripada pengapungan syarikat.

7. Kerana keseriusan kes ini, SC juga memutuskan bahawa mana-mana cadangan korporat yang melibatkan Ooi Kooi Bee, Ooi Chin Huat dan Ooi Cheng Choon tidak akan dipertimbangkan oleh SC bagi tempoh tiga (3) tahun daripada tarikh ini.

8. Pihak SC juga ingin mengingatkan pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai utama syarikat awam akan kewajipan fidusuari mereka secara umumnya dan secara khasnya pula akan proviso Seksyen 32(6) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (pindaan) di mana tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 39A Akta tersebut. Pindaan kepada Akta telah berkuatkuasa mulai daripada 25 November 1995.

9. Pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai utama syarikat berhad perlu mengekalkan tahap kawalan korporat yang tinggi dalam mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang relevan pada semua masa supaya keyakinan pelabur yang berterusan dalam pasaran modal dapat dikekalkan. Dalam perkara ini, SC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pelanggar-pelanggar yang bertindak ke arah menjejaskan keyakinan pelabur.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup