Tempoh Akhir Penghantaran Permohonan bagi Memperoleh Semula Saham Tetap pada 1 Jun tetapi Tugas Memproses Permohonan Akan Berterusan

Kuala Lumpur, 27 Mei 1999

Kesemua permohonan memperoleh semula saham yang keputusannya masih belum didapati daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan terus diproses walaupun selepas tempoh akhir 1 Jun 1999, dengan syarat permohonan ini diserahkan ke Unit Memperoleh Semula Saham (SRU) beserta dengan skrip asal atau skrip gantian sebelum tempoh akhir.

Pelabur yang telah menghantar permohonan memperoleh semula saham sebelum 1 Jun 1999 tetapi masih belum melihat sekuritinya didepositkan ke dalam akaun CDS menjelang 1 Jun 1999 tidak harus merasa bimbang kerana permohonan mereka sedang diproses.

SC akan memberi kebenaran dan meminta supaya sekuriti tersebut dimasukkan ke dalam akaun CDS pelabur sebaik sahaja kesemua dokumen dan bayaran kepada MCD telah diterima dan permohonan adalah lengkap dan teratur.

Pemohon masih boleh menelefon SRU di talian (03) 654 8888 atau (03) 654 8000, atau menghubungi SRU di Unit Memperoleh Semula Saham, Suruhanjaya Sekuriti, Persiaran Bukit Kiara, Bukit Kiara, 50490 Kuala Lumpur selepas 1 Jun 1999 untuk bertanyakan tentang permohonan atau menghantar dokumen tambahan, seperti yang diminta oleh SRU. Walau bagaimanapun, SRU tidak akan menerima permohonan baru selepas tempoh akhir.

Pelabur yang tidak menyerahkan permohonan menjelang tempoh akhir mempunyai risiko sekuriti mereka akan dijual oleh Menteri Kewangan pada bila-bila masa selepas 1 Disember 1999. Tuntutan bagi hasil penjualan hendaklah dibuat kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut.

Pindaan kepada Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 yang berkuatkuasa pada 1 November 1998 menyebabkan kesemua urus niaga sekuriti dijalankan hanya melalui depositori pusat. Telah menjadi satu kewajiban bagi pelabur untuk mendepositkan skrip saham ke dalam akaun CDS menjelang 1 Disember 1998.

Saham yang tidak didepositkan menjelang 1 Disember 1998 (dan yang tidak berada di bawah kategori terkecuali) akan dipindahkan secara automatik ke bawah penjagaan sah Menteri Kewangan. Pelabur kemudian akan diberi masa 6 bulan daripada 1 Disember 1998, iaitu sehingga 5.00 petang, 1 Jun 1999 untuk memohon memperoleh semula saham.

Menurut undang-undang, sekiranya tiada permohonan dibuat sepanjang tempoh tersebut, Menteri Kewangan boleh menjual saham tersebut dan hasil jualan akan dikira sebagai wang yang tidak dituntut.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Dikeluarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Pihak media yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Jabatan Hal-Ehwal Korporat di tel no. 03-654 8513 (Ann Teoh)/03-654 8184 (Azmi Hariss Ibrahim) atau faks no.: 03-651 5078. Pihak media yang mempunyai pertanyaan tentang Unit Memperoleh Semula Saham boleh menghubungi talian tel: 03-654 8888/654 8000 atau faks: 03-651 5518

Maklumat latar belakang:
Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut tentang SC boleh didapati daripada laman web SC di www.sc.com.my
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup