Undang-undang pasaran modal dipinda untuk memacu inovasi dan menggalakkan kecekapan pasaran
2 Januari 2013   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan penguatkuasaan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2012 (CMSA 2012) berserta beberapa garis panduan yang bertujuan menggalakkan inovasi produk dan pasaran, mempertingkatkan kecekapan pasaran dan membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang lebih bermaklumat.

CMSA 2012 memperkenalkan satu rangka kerja baru yang akan mempermudah proses kelulusan produk-produk pasaran modal dengan lebih meluas bagi manfaat para penerbit, pihak pengantara dan pelabur.

Rangka kerja yang baru ini membezakan produk-produk pasaran modal yang tersenarai dan tidak tersenarai mengikut ciri-ciri tersendiri produk tersebut dan profil risiko yang berbeza, dan mempunyai tahap kawal selia yang berpadanan dengan risiko produk. Ini mempertingkatkan kecekapan dalam proses kelulusan tanpa tolak-ansur dalam perlindungan pelabur.

SC juga telah mengeluarkan Garis Panduan Amanah Perniagaan (Business Trust Guidelines) yang mempertingkatkan fleksibiliti dalam penjanaan dana serta menawarkan suatu kelas aset yang baru kepada para pelabur. Garis Panduan Sekuriti Hutang Swasta dan Sukuk (The Guidelines on Private Debts Securities and Sukuk) juga telah disemak bagi membolehkan syarikat-syarikat tersenarai awam dan bank-bank menawarkan bon dan sukuk kepada para pelabur runcit.

“Pasaran modal antarabangsa serta paradigma pengawalseliaan mereka terus berkembang. Bagi mempersiapkan pasaran modal kita untuk menempuh landskap yang dinamik ini dan kekal kompetitif, SC sentiasa menyemak semula dan memperluaskan rangka kerja kawal selia untuk memenuhi keperluan pembiayaan dan pelaburan para peserta pasaran,” kata Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC.

“Semua inisiatif ini bertujuan menyediakan kaedah bagi para penerbit untuk mengoptimumkan struktur modal dan mendapat pembiayaan dengan kos yang kompetitif dalam memenuhi keperluan perniagaan mereka. Pada masa sama, para pelabur akan mendapat manfaat daripada pilihan pelaburan yang meluas untuk dipadankan dengan profil pelaburan dan selera risiko mereka. Inisiatif-inisiatif ini akan menjadikan pasaran modal kita yang telah berjaya menjana RM145.9 bilion dalam 2012, peningkatan sebanyak 89% berbanding RM77.2 bilion yang dijana pada tahun 2011, lebih menarik dan lebih bertenaga.”

CMSA 2012 juga memperuntukkan penubuhan Dana Pampasan Pasaran Modal yang tergabung dan telah memperluaskan skop pampasan untuk meliputi skim persaraan swasta serta tuntutan terhadap kesilapan penjualan produk. Penggabungan dana-dana pampasan ini juga akan mempertingkatkan kecekapan pentadbiran dan menjadikan proses menuntut pampasan lebih mudah bagi para pelabur.

SC juga telah memperkenalkan Garis Panduan Amalan Jualan Produk Pasaran Modal Tak Tersenarai (Garis Panduan Amalan Jualan) (Guidelines on Sales Practices of Unlisted Capital Market Products) untuk menggalakkan amalan bertanggungjawab dalam pembangunan dan jualan produk-produk pasaran modal.

Garis Panduan Amalan Jualan (the Sales Practices Guidelines) juga akan membolehkan pelabur mendapatkan nasihat pelaburan yang berkualiti dan menghendaki Lampiran Butiran Penting Produk (PHS) untuk diberikan kepada pelabur semasa produk dijual. Melalui PHS pelabur dapat membuat perbandingan produk dan boleh mendapatkan maklumat yang berkenaan demi membuat keputusan pelaburan yang lebih bermaklumat.

Semua Garis panduan berkenaan berserta satu siri soalan lazim mengenai ciri-ciri penting CMSA 2012, Garis Panduan Amalan Jualan dan perubahan-perubahan hasil dari pindaan boleh didapati di sini.

Pertanyaan mengenai CMSA 2012 dan Garis Panduan Amalan Jualan boleh emel kepada [email protected] atau telefon Jabatan Hal-Ehwal Korporat SC di talian 03-62048777.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup