Unit Memperoleh Semula Saham mengingatkan pemohon supaya membuat bayaran dan kembalikan surat tanggung rugi

Kuala Lumpur, 23 Disember 1999

Unit Memperoleh Semula Saham (SRU) Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengingatkan semua pemohon pemerolehan semula saham yang telah menerima permintaan daripada SC untuk membuat bayaran dan mengembalikan surat tanggung rugi kepada SC supaya berbuat demikian secepat mungkin.

Adalah penting bayaran dan surat tanggung rugi tersebut diserahkan secepat mungkin kerana hanya dengan penerimaan perkara tersebut, SRU boleh menyerahkan bayaran kepada Depositori Pusat Malaysia (MCD) dan mengarahkan supaya akaun CDS pemohon dikreditkan dengan sekuriti yang dituntut.

SRU telah menuntut bayaran dan pengembalian surat tanggung rugi daripada semua pemohon yang telah mengemukakan permohonan yang lengkap, iaitu permohonan yang memenuhi semua prosedur dan syarat pemerolehan semula saham. Walau bagaimanapun, sehingga kini, hampir 9,000 pemohon masih belum memenuhi permintaan SRU tersebut.

Bagi permohonan yang tidak lengkap, SC telah memberi banyak peringatan dan masa kepada pemohon untuk mengembalikan dokumen seperti borang pemindahan saham atau dokumen-dokumen pengenalan diri. Peringatan terakhir telah dikeluarkan pada bulan Oktober bagi menuntut pemulangan dokumen-dokumen dalam tempoh enam minggu. Kegagalan pemohon berbuat demikian akan mengakibatkan permohonan mereka ditolak oleh SC.

Permohonan yang membabitkan kes-kes probet yang tertangguh, bagaimanapun, akan terus diletakkan di bawah perhatian SC sehingga diselesaikan. Hingga kini, terdapat hampir 2,000 permohonan yang masih belum diselesaikan.

Pemohon yang ditolak permohonannya oleh SC boleh memohon semula kepada Jabatan Akauntan Negara. Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Akauntan Negara di:

Pejabat Akauntan Negara
Seksyen Pengurusan Sekuriti
Tingkat 4, Blok 8
Kompleks Pejabat-pejabat Kerajaan
Jalan Duta, 50592 Kuala Lumpur

Tel: 603-6517022 samb 1417

Sejak 1 Disember 1998 hingga 1 Jun 1999, SC menerima sejumlah 43,502 permohonan yang melibatkan 200,000 skrip saham bagi 600 juta unit saham. Enam ratus juta unit saham tersebut merupakan 60% daripada 1 bilion unit saham pertama yang telah dipindahkan kepada penjagaan sah Menteri Kewangan pada peringkat awal.

Saham-saham tersebut telah dipindahkan ke akaun sekuriti Menteri Kewangan kerana skripnya tidak didepositkan dengan MCD sebelum tarikh tutup 1 Disember 1998, sebagaimana yang dikehendaki di bawah seksyen 29 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat)(Pindaan)(No. 2) 1998.

Pelabur-pelabur yang skrip saham mereka telah dipindahkan kepada akaun sekuriti Menteri Kewangan, dibenarkan di bawah undang-undang untuk memohon kepada SRU untuk memperoleh semula saham mereka. Pelabur ini diberi masa selama enam bulan, dari 1 Disember 1998 hingga 1 Jun 1999 untuk mengemukakan permohonan memperoleh semula saham mereka.

Di bawah Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, apabila tempoh rayuan enam bulan tamat pada 1 Jun 1999, Menteri Kewangan telah diberi kuasa untuk mengendalikan saham-saham yang tidak dituntut melalui SC menjelang 1 Jun 1999.

Semua permohonan yang diterima selepas tarikh tutup 1 Jun 1999 akan dikendalikan oleh Jabatan Akauntan Negara.

Orang ramai yang ingin menyemak status permohonan mereka di SRU boleh berbuat demikian melalui:

Unit Memperoleh Semula Saham
Suruhanjaya Sekuriti
3, Persiaran Bukit Kiara
Bukit Kiara
50490 Kuala Lumpur

Tel: 603-6548888
e-mel: [email protected]

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Dikeluarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk bantuan sila hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di talian 03-654 8625 (Soh Beng Choo)/ 03-654 8184 (Azmi Hariss Ibrahim) atau faks: 03-651 5078 atau e-mel [email protected]


Maklumat latar belakang:

Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup