Usaha sama dalam mempercepatkan kesedaran mengenai Skim Persaraan Swasta
25 Jun 2013   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kini sedang melakukan usaha sama dengan pihak industri bagi mempercepatkan kesedaran mengenai Skim Persaraan Swasta (PRS). Pada Persidangan PRS pertama sejak kerangka PRS dilancarkan tahun lepas, pakar-pakar mengenai pencen dari seluruh dunia, bersama dengan wakil-wakil industri berhimpun di SC hari ini untuk berbincang mengenai prospek pertumbuhan industri pencen swasta.

“Amat penting untuk memperluaskan kebolehcapaian PRS kepada segenap masyarakat dan sama penting bagi penyedia dan pengedar skim tersebut mengembangkan liputan mereka ke seluruh negara, daripada mereka yang bekerja sendiri hinggalah kepada golongan muda,” Pengerusi SC Datuk Ranjit Ajit Singh berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian di Persidangan PRS tersebut.

PRS adalah skim pelaburan jangka panjang sukarela yang dibentuk bagi membantu individu menambah simpanan untuk persaraan. Nilai Aset Bersih PRS kini mencecah RM100 juta dengan lebih daripada 30,000 akaun berdaftar, dan ini merupakan perkembangan yang memberangsangkan, memandangkan tempoh masa enam bulan yang agak singkat semenjak PRS pertama dilancarkan pada tahun lalu.

Persidangan PRS selama sehari itu, dengan ceramah oleh pakar-pakar mengenai pencen dari Australia, AS dan Hong Kong, menarik minat lebih daripada 300 Syarikat Tersenarai Awam (PLC) dari pelbagai industri, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), SME, serta majikan dan pertubuhan dagangan, bagi memastikan majikan dapat melihat manfaat PRS sebagai sebahagian daripada strategi bagi mengekalkan bakat dan tenaga kerja.

Sebagai sebahagian daripada program kesedaran pelabur yang dimulakan oleh SC, pameran PRS akan diadakan di bangunan SC pada hari Sabtu, 29 Jun 2013, dari jam 9:30 pagi hingga 2 petang. Masuk adalah percuma. Pentadbir Pencen Swasta Malaysia dan tujuh penyedia PRS akan mengambil bahagian dalam pameran tersebut. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang SC www.sc.com.my.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup