Yang di-Pertuan Agong akan menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam pada 19hb Sept
17 September 2012   |   Kuala Lumpur
Personaliti-personaliti ternama dalam industri kewangan Islam sedunia akan berkumpul di Kuala Lumpur pada minggu hadapan untuk menyaksikan pengiktirafan kepada individu selayaknya yang telah memberi sumbangan secara meluas kepada pembangunan kewangan Islam di peringkat global.

Anugerah Diraja Kewangan Islam (Anugerah Diraja), yang kini sedang mencari pemenangnya yang kedua, berinspirasi untuk menjadi anugerah penanda aras pengiktirafan global dalam bidang kewangan Islam. Anugerah Diraja ini akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari rabu ini.

Sebanyak 32 pencalonan telah diterima bagi Anugerah Diraja tersebut. Para calon telah dipilih oleh jemaah juri antarabangsa bebas, yang dipengerusikan oleh Tun Musa Hitam, yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia.

Tun Musa berkata, “Penerima Anugerah Diraja ini telah dipilih oleh tujuh orang juri bebas yang terdiri daripada para cendekiawan Syariah, ahli akademik dan pengamal kewangan Islam dari Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat. Melalui struktur pemilihan ini, Anugerah Diraja semakin diperakui sebagai penanda aras global bagi mengenal pasti individu cemerlang yang telah membentuk dan memudahcarakan pertumbuhan pasaran kewangan Islam sedunia.

Mengulas mengenai proses pemilihan, beliau berkata, “Para juri menilai kedua-dua aspek kualiti dan kuantiti dalam sumbangan, kecapaian dan impak yang diberikan oleh calon tersebut dalam kewangan Islam global. Ini termasuklah melaksanakan inovasi kewangan serta kerja-kerja selaku peneraju dalam bidangnya, daya kepimpinan yang cemerlang, pengiktirafan serta menerima pakai sumbangan calon-calon tersebut oleh industri, dan inspirasi serta pengaruh yang berjaya memacu pembangunan serta kemajuan pada masa hadapan.”

“Sukacita dinyatakan bahawa majoriti pencalonan yang diterima berada dalam lingkungan parameter yang telah kami tetapkan. Mereka merupakan individu yang disegani serta terkenal dalam bidang yang mereka wakili. Mereka yang bukan sahaja memenuhi objektif serta kriteria yang di tetapkan tetapi turut mempunyai pengaruh, pastinya termasuk dalam senarai pendek kami. Panel para juri kami berasa amat kagum dengan rekod pencapaian cemerlang para calon tersebut. Kami berasa amat berbesar hati kerana telah berjaya memilih individu terbaik yang mampu melambangkan keunggulan cita-cita Anugerah Diraja yang akan diumumkan pada Rabu ini,” tambah beliau.

Anugerah Diraja ini akan disampaikan pada Majlis Makan Malam Gala yang dianjurkan bersempena dengan Forum Kewangan Islam Sedunia (GIFF) 2012, yang merupakan majlis berprofil tinggi yang menyatukan serta menemukan pengawal selia, cendekiawan dan pengamal industri kewangan yang merupakan pemacu utama pembangunan kewangan Islam sedunia.

Pencarian di seluruh dunia untuk individu cemerlang dalam bidang kewangan Islam bermula pada tahun 2010 ketika Anugerah Diraja Kewangan Islam ditubuhkan oleh Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dan disokong oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Pengasas Kumpulan Dallah Albaraka, Shaikh Saleh Abdullah Kamel dari Arab Saudi telah dinobatkan sebagai penerima pertama Anugerah tersebut pada tahun 2010.

Anugerah Diraja tersebut menumpukan kepada rekod pencapaian cemerlang individu dalam bidang kewangan Islam secara global. Pencalonan telah diterima dari Timur Tengah, Eropah, Afrika, Amerika Utara dan Rantau Asia Pasifik, menandakan jangkauan serta penerimaan sistem kewangan Islam yang meliputi seluruh dunia.

Menggambarkan kepelbagaian sumber kewangan Islam yang terdapat hari ini, pencalonan telah diterima daripada pelbagai kumpulan berkepentingan, termasuklah cendekiawan Syariah, para ahli akademik, pengamal pasaran, institusi kewangan, institusi penyelidikan, agensi kerajaan serta organisasi bukan kerajaan (NGO) yang melangkaui pelbagai bangsa, jantina serta agama.

Penerima Anugerah Diraja ini akan menjadi model contoh yang mencetuskan inspirasi kepada mereka yang lain untuk turut menyumbang kepada pembangunan industri. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Anugerah Diraja ini, sila kunjungi laman web www.mifc.com/award.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Bagi pihak Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC)

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup