Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) komited dalam mematuhi dan mengamalkan standard etika yang tinggi dalam menjalankan urusan dengan pihak pembekal, kontraktor, vendor, jururunding dan pemegang kepentingan lain yang berkaitan. Oleh itu, setiap kakitangan perlu mematuhi sepenuhnya standard yang digariskan oleh Kod Tatalaku, Kod Etika dan Kenyataan mengenai Prinsip dan Standard ini. saya percaya bahawa komitmen ini dan pematuhan yang tidak diganggu gugat terhadap standard yang ditetapkan adalah teras kepada keberkesanan SC sebagai pengawal selia pasaran modal dan bagi memastikan perkembangan kita yang berterusan sebagai sebuah organisasi yang boleh diharapkan, boleh dipercayai dan dihormati.

SC mestilah menunjukkan tahap kejujuran dan integriti yang paling tinggi dalam semua urusan kami dengan pemegang kepentingan dan memastikan tata laku yang patut dicontohi di kalangan kakitangan kami. Kenyataan Mengenai Prinsip dan Standard ini diguna pakai bagi semua urusan perniagaan yang membabitkan SC. Semua kakitangan dan mereka yang berurusan dengan kami, perlu memahami sepenuhnya peraturan dalam Kenyataan ini dan memastikan penggunaannya dalam semua urusan dengan SC.

Datuk Ranjit Ajit Singh


Tujuan
Tujuan Kenyataan Mengenai Prinsip dan Standard ini adalah untuk memudahcarakan hubungan yang cekap dan beretika di antara SC dan pemegang kepentingan luarnya. Dalam Kenyataan ini, pemegang kepentingan urusan yang dirujuk termasuklah pembekal, kontraktor, vendor, penyedia perkhidmatan dan jururunding. Kenyataan itu menegaskan bagaimana SC patut melaksanakan hal ehwal urusannya dalam pembelian barangan dan mendapatkan perkhidmatan dan SC menghendaki pemegang kepentingan urusannya mengikut prinsip-prinsip etika yang sama. Walaupun begitu, semua penggiat pasaran yang berhubungan dengan SC juga dikehendaki melaksanakan prinsip-prinsip etika yang digariskan dalam Kenyataan ini.

Dalam berurusan dengan pemegang kepentingannya, SC mengamalkan prinsip-prinsip yang berikut:

Prinsip 1: Etika dan Integriti
SC menggalakkan dan menekankan budaya integriti dan pematuhan yang menggambarkan misi dan nilai kami. Kod Tatalaku dan Kod Etika SC merupakan asas penggalakan dan panduan untuk kakitangan SC menerapkan budaya ini.

Semua kakitangan SC mesti bertindak secara jujur dan beretika apabila berurusan dengan satu sama lain, pemegang kepentingan urusan dan pihak ketiga lain, untuk menggalakkan kepercayaan dan keyakinan. Kami memperakui bahawa kesilapan dalam integriti, walau bagaimana terpencil sekali pun, akan menggugat kepercayaan dan keyakinan terhadap SC dan melemahkan usaha kami dalam memberikan perkhidmatan kepada pemegang kepentingan pasaran modal Malaysia dan negara.

Apabila berurusan dengan pihak luar termasuk pemegang kepentingan urusan, SC menghendaki standard tatalaku etika yang tinggi. Sehubungan ini, pihak pengurusan SC berpandu kepada Prosedur Pengoperasian Standard apabila menguruskan permintaan untuk mengadakan mesyuarat daripada orang awam atau industri. SOP menetapkan supaya perjumpaan dengan orang awam perlu di adakan di bangunan SC. Ia juga menentukan keadaan yang mana perjumpaan/mesyuarat di antara pihak pengurusan SC dan orang awam atau industri tidak digalakkan atau perlu dielakkan.

Konflik Kepentingan
Perkara paling penting dalam etika dan integriti adalah mengelakkan konflik kepentingan. Sehubungan itu, semua kakitangan SC dan ahli keluarga terdekat masing-masing bertanggungjawab mengelakkan diri mereka daripada berada dalam keadaan yang mana kepentingan peribadi mereka berhadapan konflik kepentingan dengan SC. Satu proses pengisytiharan kepentingan telah diwujudkan di SC bagi memastikan kakitangan SC mematuhi peraturan ini.

Hadiah & Ganjaran
Kepercayaan dan integriti selalu terdedah kepada syak wasangka apabila kakitangan SC menerima hadiah atau buah tangan yang boleh mempengaruhi atau mungkin dilihat sebagai mempengaruhi sesuatu keputusan. Sehubungan ini, kakitangan SC dihendaki berhati-hati apabila ditawarkan hadiah atau buah tangan. Mereka perlu sentiasa ingat mengenai keperluan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dalam Kod Tatalaku SC dalam pengurusan hadiah dan buah tangan.

Sejajar dengan komitmen SC bagi menggalakkan etika dan integriti, semua pemegang kepentingan urusan yang berurusan dengan SC digalakkan supaya mengemukakan apa jua aduan, jika ada, terhadap sebarang salah laku kakitangan SC. Bawah Prosedur Pemberi Maklumat Dalaman, pemberi maklumat adalah dilindungi. Mereka diberikan jaminan oleh pihak pengurusan atasan SC bahawa mereka tidak akan menghadapi masalah apabila membuat laporan mengenai perkara yang menimbulkan kebimbangan. Walau bagaimanapun, pemberi maklumat diharapkan supaya membuat laporan dengan jujur.

Prinsip 2: Ketelusan dan Penzahiran
SC beroperasi dengan tahap ketelusan yang tinggi dalam semua aspek aktiviti urusannya. Kami sentiasa memaklumkan aktiviti kami kepada pasaran dan pemegang kepentingan, dan kami mementingkan ketelusan dalam semua yang dilakukan, bergantung kepada sama ada maklumat itu adalah sulit dan rahsia serta peraturan undang-undang lain. SC sentiasa membuat penzahiran dengan memberikan akses terhadap maklumat yang relevan berkenaan aktiviti kami; dasar, peraturan dan undang-undang di laman web kami www.sc.com.my., kepada pasaran termasuk media.

Prinsip 3: Mematuhi Piagam Pelanggan
SC telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kecekapan proses dan memendekkan masa ke pasaran. Tujuannya adalah bagi memudahkan pemegang kepentingan membuat urusan dengan kami. Kami menerbitkan proses pelaksanaan perkhidmatan dan piagam pelanggan, serta butiran prestasi suku tahunan kami di laman web kami. Alasan mengapa sesuatu cadangan korporat ditolak turut dikeluarkan bagi memperbaiki ketelusan dalam pembuatan keputusan kami. Ketelusan yang lebih besar terhadap proses dan kebertanggungjawaban kami membolehkan orang ramai mengukur prestasi kami dibandingkan dengan standard perkhidmatan lain yang sudah mantap.

Prinsip 4: Menjaga Rahsia Sulit
Dalam berurusan dengan pemegang kepentingan, kami memahami bahawa mereka mempunyai harapan dan jangkaan yang munasabah bahawa komunikasi mereka dengan SC adalah dianggap sulit. Sehubungan ini, Kod Tatalaku SC menghendaki supaya kakitangan SC menjaga maklumat yang diberikan kepada mereka oleh pemegang kepentingan sebagai sulit. Bagaimanapun, pendedahan maklumat itu akan dibuat jika perlu dan jika SC mempunyai obligasi di segi undang-undang untuk berbuat demikian. Maklumat yang dianggap sulit termasuklah transaksi dan prosiding undang-undang yang berkaitan dengan SC, yang belum dimaklumkan kepada orang ramai.

Prinsip 5: Menyediakan Persekitaran dan Tempat Kerja yang Selamat untuk Kakitangan
SC telah menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat sebagai mematuhi semua peraturan pengawalseliaan, standard yang relevan dan kod amalan berhubung dengan kesihatan, keselamatan dan perlindungan di tempat kerja. SC mentadbir urusannya dengan cara yang sensitif terhadap persekitaran. SC mengakui bahawa kesihatan dan keselamatan kakitangannya merupakan perkara paling utama dan jawatankuasa dalaman SC mengguna pakai kajian sistematik terhadap semua isu pekerjaan, kesihatan dan keselamatan bagi memperbaik persekitaran kerja.

Prinsip 6: Persekitaran dan Tanggungjawab Sosial
Di samping berkhidmat sebagai pengawal selia yang bertanggungjawab, SC mengakui bahawa ia juga mempunyai tanggungjawab sosial dan persekitaran kepada masyarakat setempat. Dasar dan amalan kami berhubung dengan tanggungjawab sosial korporat dan pengekalan pembangunan, terus membangun dan berkembang, dan SC komited bagi meneruskan/memperbaiki sumbangan kami dalam hal ini.

SC komited bagi mengintegrasikan soal persekitaran dalam operasi kami, termasuk melalui pengurusan yang sensitif dan berkesan mengenai air, tenaga, penggunaan kertas dan bahan-bahan lain.

Prinsip 7: Harapan SC Terhadap Mereka yang Membuat Urusan Dengan SC
SC mengharapkan supaya ahli perniagaan yang menyediakan barangan dan perkhidmatan kepada SC mematuhi undang-undang yang berkenaan dan menunjukkan keupayaan dalam memenuhi keperluan SC dari segi standard, kualiti dan kebolehpercayaan, termasuklah:

  • kebolehan meminimumkan sebarang impak yang tidak diingini terhadap persekitaran
  • kebolehan mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkaitan, berhubung dengan perlakuan terhadap kakitangan
  • mematuhi standard tinggi dan kualiti untuk semua produk yang direka bentuk dan dibekalkan kepada SC

SC komited dalam mengamalkan semua prinsip ini dan pengaplikasiannya adalah disokong oleh prosedur yang menyeluruh bagi memastikan supaya kakitangan kami memahami, mengguna pakai dan bertindak selaras dengan prinsip-prinsip tersebut. Kami yakin bahawa prinsip-prinsip ini akan menggalakkan dan mengukuhkan urusan SC dengan pihak pemegang kepentingan.