(Langkah-langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak di Invest Malaysia, 30 Jun 2009)

UMUM

1.

Bagaimana liberalisasi industri pengantaraan pasaran modal (pembrokeran dan pengurusan dana) mempengaruhi pengantara domestik kita?

Pengantara domestik kita telah menunjukkan keupayaan untuk bersaing secara berkesan dengan liberalisasi ke atas pasaran modal yang dilakukan secara beransur-ansur selama beberapa tahun kebelakangan ini. Mereka telah membina kehadiran domestik yang kukuh dan menguruskan dengan baik keterbukaan pasaran modal yang berlaku secara beransur-ansur. Beberapa pengantara telah berjaya dalam penerokaan mereka di luar negara. Pengantara kita kini lebih bersedia untuk bersaing dengan fasa liberalisasi seterusnya dalam pasaran modal berdasarkan kekukuhan pangkalan domestik mereka.

Kerangka kerja ekuiti yang baru bagi pengantara pasaran adalah sebahagian daripada pembukaan lebih meluas sektor kewangan dan perkhidmatan yang diumumkan oleh kerajaan pada awal tahun ini. Pengantara domestik kita boleh mengambil kesempatan menggunakan potensi peluang melalui ikatan dengan pengantara asing bagi mengembangkan perniagaan mereka secara domestik dan antarabangsa. Liberalisasi ini akan membolehkan mereka mempunyai lebih kefleksibelan dalam merancang semula model perniagaan mereka dengan membentuk perkongsian yang strategik dengan syarikat asing bagi pengembangan operasi mereka di peringkat antarabangsa.

Kehadiran syarikat asing akan meningkatkan persaingan dan inovasi dalam pasaran modal Malaysia, dan ini memberikan manfaat kepada industri dan pelabur. Syarikat-syarikat ini dijangka akan memperluas dan memperdalam kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam pasaran modal kita, dan menyediakan platform untuk produk dibangunkan dan diedarkan dari Malaysia bagi memenuhi keperluan pelaburan serantau dan global. Ini akan memastikan Malaysia terus hadir dalam skrin radar masyarakat pelabur antarabangsa. Para pelabur juga dijangka mendapat manfaat melalui kewujudan pilihan produk dan perkhidmatan yang lebih meluas.

2.

Adakah ini bermakna mana-mana syarikat asing boleh memohon lesen?

Kerangka kerja ekuiti baru ini hanya tersedia bagi syarikat asing yang mempunyai cadangan nilai yang kukuh dan boleh menunjukkan keupayaan bagi menambah nilai kepada pasaran modal Malaysia. Syarikat-syarikat asing ini mesti membuktikan rekod prestasi yang baik dalam operasi antarabangsa mereka termasuk kedudukan kewangan, reputasi dan kepakaran, dan mempamerkan kebolehan yang telah terbukti. Mereka juga perlu menyediakan sebuah pelan perniagaan yang berdaya maju dan boleh dilaksanakan secara khusus, yang akan dipantau secara tetap.

3.

Adakah SC membenarkan syarikat baru memasuki pasaran Malaysia?

Tiada lesen baru akan dikeluarkan untuk syarikat pembrokeran saham selain daripada dua lesen pembrokeran saham baru yang akan dikeluarkan untuk syarikat yang boleh mengantarakan urus niaga dari Timur Tengah. Daripada tiga lesen diumumkan pada September lalu, hanya satu diluluskan untuk Nomura Securities.

Bagi syarikat pengurusan saham, lesen baru akan dikeluarkan atas dasar terpilih, kepada mereka yang menunjukkan cadangan yang kukuh dalam pelan perniagaan mereka dan bidang lain sebagaimana yang dinyatakan dalam Q2. Layanan sama akan diberikan kepada syarikat pengurusan unit amanah yang baru, yang mana hanya mereka yang boleh memberikan nilai tambah kepada pertumbuhan pasaran tempatan, umpamanya kos urus niaga yang lebih rendah dan julat produk yang lebih besar, akan dibenarkan memasuki pasaran.

4.

Selain memenuhi keperluan pengawalseliaan, adakah perkara lain yang akan dipertimbangkan dalam memberikan lesen kepada syarikat yang mahu menjalankan aktiviti yang dikawal selia di Malaysia?

Liberalisasi pemegangan ekuiti bagi pengantara pasaran modal disasarkan untuk meningkatkan daya tarikan pasaran tempatan untuk penggiat pasaran asing dan pada masa yang sama menyediakan platform bagi persaingan yang lebih besar dan pilihan yang lebih meluas terhadap perkhidmatan pengantaraan. Sehubungan ini, dalam memberikan lesen baru, SC akan menimbangkan pelbagai perkara, termasuk:

  • Entiti tersebut mestilah boleh mempamerkan cadangan nilai yang kukuh dan tambah nilai kepada pembangunan pasaran modal Malaysia;

  • Syarikat mestilah menunjukkan rekod prestasi yang baik dalam operasi antarabangsanya. Rekod prestasi ini mestilah termasuk kedudukan kewangan, reputasi dan kepakaran;

  • Mereka mestilah menunjukkan kebolehan dalam bidang yang mereka memohon lesen; dan

  • Mereka mestilah menyediakan pelan perniagaan berdaya maju dan boleh dilaksanakan secara khusus.

5.

Selain melonggarkan peraturan dalam pemegangan saham, apakah akan ada perubahan berhubung dengan keperluan kakitangan, wakil berlesen dan pengarah Bumiputera?

Pada peringkat ini, peraturan untuk syarikat mempunyai 30% kakitangan, wakil berlesen dan pengarah Bumiputra dikekalkan bagi memfokuskan terhadap pembinaan keupayaan.

6.

Adakah pengantara pasaran modal yang sedia ada dibenarkan untuk mempelbagaikan struktur pemegangan saham mereka menurut peraturan baru ini?

Ya. Pengantara pasaran modal yang mempunyai lesen pada masa ini boleh menstrukturkan semula struktur pemegangan saham mereka, tertakluk kepada keupayaan mereka menunjukkan kriteria yang disebut di atas. Selain itu, perlu diingat bahawa perubahan dalam pemegang saham pengawal syarikat akan mencetuskan keperluan untuk membuat permohonan yang sepatutnya kepada SC, bawah Seksyen 60(7) CMSA. Sehubungan ini, jika terdapat perubahan besar pemegangan saham dan hala tuju perniagaan, SC mungkin meminta pemohon mendapatklan kelulusan terlebih dahulu.

7.

Adakah entiti tanpa kehadiran antarabangsa akan dibenarkan memohon lesen untuk menjalankan aktiviti yang dikawal selia seperti di atas, di Malaysia?

Tertakluk kepada keupayaan mereka menunjukkan kriteria yang disebutkan di atas, entiti yang memilik cadangan nilai yang kukuh tetapi tidak mempunyai kehadiran antarabangsa boleh dipertimbangkan untuk mendapat lesen.

8.

Adakah syarat-syarat akan dikenakan ke atas lesen?

Selain syarat-syarat pengoperasian berhubung dengan keperluan pengawalseliaan yang dikenakan ke atas lesen, lesen kepada entiti yang sebahagian besarnya dimiliki oleh entiti asing adalah bersyarat, selepas memenuhi langkah-langkah boleh laksana khusus yang berdasarkan pernyataan daripada syarikat tersebut dalam tempoh yang dipersetujui.

BERURUS NIAGA DALAM SEKURITI

9.

Apakah objektif khusus dalam meliberalisasikan ekuiti pemegangan saham untuk syarikat pembrokeran saham?

Usaha liberalisasi tersebut bermatlamat untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan asing dan bagi memudahcarakan perkongsian strategik dengan boker saham domestik bagi meningkatkan kedudukan dan mengembangkan pangkalan operasi domestik dan antarabangsa mereka.

10.

Kepada siapakah peraturan pemegangan saham ekuiti baru ini diguna pakai?

Peraturan ekuiti baru ini diguna pakai kepada entiti yang memohon lesen untuk perniagaan pembrokeran saham dan syarikat yang memohon lesen untuk syarikat pengurusan unit amanah.

Peraturan baru ini juga diguna pakai kepada pengantara pasaran modal yang sedia ada. Pengantara pasaran modal sedia ada boleh memohon untuk menstrukturkan semula struktur pemegangan saham mereka, tertakluk kepada keupayaan mereka memenuhi kriteria yang disebutkan di atas.

11.

Adakah peraturan pemegangan saham ini dipertimbangkan berdasarkan pemilikan langsung atau berdasarkan kepentingan keberkesanan?

Secara umum, pemilikan asing akan dipertimbangkan atas dasar keberkesanan.

SYARIKAT PENGURUSAN DANA DAN SYARIKAT PENGURUSAN UNIT AMANAH

12.

Apakah objektif khusus peraturan pemegangan saham bagi syarikat pengurusan dana?

Usaha liberalisasi ini bermatlamat untuk memudahcarakan pertumbuhan pengurusan kekayaan swasta yang akan membolehkan Malaysia mencapai potensinya sebagai hab antarabangsa bagi pengurusan dana konvensional dan Islam. Ini juga diharapkan secara langsung dapat mendalamkan lagi kecairan dalam dagangan pasaran ekuiti, bon dan derivatif. Selain itu, liberalisasi pemegangan ekuiti disasarkan bagi menggalakkan pengantara baru memperluas rangkaian produk yang ditawarkan, dengan menggalakkan inovasi produk dan persaingan.

Terdapat juga jangkaan bahawa impak secara langsung daripada langkah-langkah tersebut adalah peningkatan dalam golongan pakar-pakar produk yang ada di Malaysia.

13.

Apakah akan ada faktor perbezaan bagi skim khusus yang sedia ada bagi syarikat pengurusan dana asing dan syarikat pengurusan dana Islam asing?

Skim khusus yang sedia ada bagi syarikat pengurusan dana asing dan syarikat pengurusan dana Islam asing telah mendapat manfaat daripada insentif yang disediakan bawah skim tersebut, umpamanya pendanaan semai (seed funding). Lesen baru tidak mempunyai peruntukan pendanaan semai tetapi boleh mendapat manfaat daripada insentif lain seperti manfaat cukai untuk syarikat pengurusan dana Islam dan kerangka kerja pengawalseliaan bagi menarik pelaburan yang patuh Syariah berpangkalan di sini.

14.

Adakah syarikat pengurusan dana sedia ada dibenarkan untuk menstrukturkan semula struktur pemegangan saham mereka untuk memasukkan penyertaan asing yang lebih besar?

Ya, berdasarkan pelan mereka sendiri, syarikat pengurusan dana yang sedia ada boleh menjual sehingga 70% ekuiti dalam syarikat kepada syarikat asing, jika syarikat asing itu boleh memacu pertumbuhan dan pembangunan syarikat.

15.

Berdasarkan kelonggaran dalam pemilikan asing, bolehkah produk keluaran asing dalam kumpulan syarikat itu ditawarkan di Malaysia?

Ya, tertakluk kepada penerimaan kelulusan yang diperlukan. Pada masa ini, satu-satunya bidang kuasa yang kita saling mempunyai pengaturan bagi pemasaran dan pengedaran rentas sempadan adalah dengan Dubai International Financial Centre.