1.

Siapa dia Suruhanjaya Sekuriti?

Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah badan statutori yang diberikan tanggungjawab mengawal selia dan membangunkan secara sistematik pasaran modal Malaysia. Ia mempunyai tanggungjawab langsung dalam menyelia dan mengawasi aktiviti institusi pasaran dan mengawal selia semua mereka yang dilesenkan bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993 (FIA).

2.

Bilakah SC ditubuhkan?

SC ditubuhkan pada 1 Mac 1993.

3.

Badan manakah yang mengawal selia pasaran modal sebelum penubuhan SC?

Sebelum penubuhan SC, pasaran modal dikawal selia oleh enam badan kerajaan iaitu:

  • Jawatankuasa Terbitan Modal (CIC), Kementerian Kewangan;

  • Panel Pengambilalihan dan Percantuman, Jabatan Perdana Menteri;

  • Jawatankuasa Pelaburan Asing, Jabatan Perdana Menteri;

  • Suruhanjaya Syarikat Malaysia;

  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); dan

  • Bank Negara Malaysia (BNM/ Bank Pusat).

4.

Apakah objektif keseluruhan SC?

Objektif SC, sebagaimana yang dinyatakan dalam pernyataan misi, adalah untuk menggalakkan dan mengekalkan pasaran sekuriti dan niaga hadapan yang adil, cekap, terjamin dan telus serta untuk membantu pembangunan teratur bagi pasaran modal yang inovatif dan berdaya saing.

5.

Apakah ciri-ciri utama SC?

SC ialah badan statutori yang ditubuhkan bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA) yang melapor kepada Menteri Kewangan. Ia mempunyai kuasa untuk menyiasat dan memperkuat kuasa dalam perkara di bawah bidang kuasanya. SC merupakan organisasi biaya kendiri yang pendapatannya diperoleh melalui kutipan levi dan yuran permohonan. SC dikehendaki membentangkan laporan tahunannya di Parlimen.

6.

Apakah skop fungsi pengawalseliaan SC?

Fungsi pengawalseliaan SC adalah banyak termasuk:

  • Pihak yang berkuasa untuk mendaftarkan prospektus syarikat kecuali kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;

  • Pihak yang berkuasa meluluskan terbitan bon korporat;

  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan sekuriti dan kontrak niaga hadapan;

  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat;

  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;

  • Melesenkan dan menyelia semua individu berlesen;

  • Menyelia bursa, rumah penjelasan dan depositori pusat;

  • Menggalakkan pengawalseliaan sendiri/swaatur; dan

  • Memastikan tatalaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.

Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab penting SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi pengawalseliaannya, SC juga dikehendaki oleh statut untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan pasaran niaga hadapan di Malaysia.

Apakah akta yang termasuk dalam skop SC?

SC mentadbir akta-akta yang berikut:

  • Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993;

  • Akta Perindustrian Sekuriti 1983;

  • Akta Industri Niaga Hadapan 1993; dan

  • Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.

8.

Siapakah Ahli Suruhanjaya SC?

SC mempunyai lapan Ahli Suruhanjaya yang dilantik oleh Menteri Kewangan, termasuk seorang pengerusi eksekutif dan tujuh wakil swasta dan kerajaan. Ahli Suruhanjaya sekarang ialah:

Tan Sri Zarinah Anwar

Pengerusi, Suruhanjaya Sekuriti

Encik Francis Tan Leh Kiah

Pengarah Urusan, Azman, Davidson & Co., Advocates & Solicitors

Dato’ Gumuri bin Hussain

Pengerusi, SME Bank (Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Bhd)

Encik Fazlur Rahman Ebrahim

Pengarah Urusan, Prokhas Sdn Bhd

Datuk Wira Ismail Saleh

Ketua Setiausaha, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Datuk Latifah binti Datuk Abu Mansor

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan

Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia

9.

Apakah struktur organisasi SC?

Klik di sini untuk melihat struktur organisasi SC.

10.

Di manakah lokasi SC?

Peta di bawah ini menunjukkan lokasi SC:

Peta SC

11.

Di manakah saya boleh mendapat lebih banyak maklumat mengenai SC?

Anda boleh mendapat lebih banyak maklumat mengenai SC daripada laman webnya www.sc.com.my. Antara lain, lama web SC menyediakan maklumat terkini dan yang lalu mengenai siaran akhbar, penerbitan, ucapan-ucapan dan juga garis panduan dan peraturan kepada industri sekuriti. Terdapat juga bahagian khusus mengenai Pasaran Modal Islam dan Hal Ehwal Antarabangsa. Orang ramai boleh memberikan komen atau mengemukakan pertanyaan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan SC.