(English)

Kuala Lumpur, 8 Januari 2018
Mengalu-alukan Pencalonan Global untuk Anugerah Diraja Kewangan Islam

Anugerah Diraja Kewangan Islam mengumumkan pencarian global untuk memberikan pengiktirafan kepada individu dalam bidang kewangan Islam, dengan mengalu-alukan pencalonan bagi penerima Anugerah Diraja yang kelima.

Anugerah Diraja yang dimulakan pada tahun 2010 sebagai anugerah dwitahunan merupakan satu inisiatif yang dipelopori oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Anugerah khas ini adalah untuk mengiktiraf pemimpin dan individu berwawasan kewangan Islam yang telah memberikan sumbangan besar kepada pertumbuhan kewangan Islam pada peringkat global dan kemajuan sosial masyarakat di seluruh dunia.

Tujuh juri bebas antarabangsa yang dipengerusikan oleh Tun Musa Hitam, Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, akan memilih seorang individu yang layak untuk menerima Anugerah Diraja kali ini. Kriteria pemilihan untuk Anugerah Diraja Kewangan Islam merangkumi aspek kuantitatif dan kualitatif berdasarkan sumbangan cemerlang individu terhadap kewangan Islam di seluruh dunia. Ini termasuk inovasi kewangan dan kerja-kerja perintisan, kepimpinan cemerlang, penerimaan dan pengiktirafan dalam industri, dan inspirasi serta pengaruh ke arah kemajuan dan pembangunan kewangan Islam pada masa depan.

Penerima Anugerah merupakan suri teladan yang akan menjadi inspirasi kepada individu lain untuk menyumbang kepada kemajuan industri perkhidmatan kewangan Islam. Penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam pada tahun 2016 ialah Profesor Datuk Dr Rifaat Ahmed Abdel Karim, yang memainkan peranan penting dalam penubuhan dua badan penetapan piawaian antarabangsa – Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB).

Tarikh tutup pencalonan ialah pada 31 Mac 2018. Individu atau pihak yang berminat boleh mengemukakan pencalonan mereka secara dalam talian melalui laman sesawang http://www.theroyalaward.com atau e-mel kepada [email protected].

BANK NEGARA MALAYSIA & SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA