(English) Kuala Lumpur, 27 Julai 2017
Sukuk Hijau Pertama Malaysia di bawah Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab SC

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan penerbitan sukuk hijau pertama Malaysia – saluran inovatif bagi menangani kekurangan pendanaan global dalam pembiayaan hijau – di bawah Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) SC.

Tan Sri Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC berkata, “Pelancaran sukuk hijau pertama Malaysia ini mencatat satu lagi pencapaian utama dalam inovasi produk yang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran kewangan Islam serta cadangan nilainya sebagai pusat bagi kewangan yang mampan.”

“Kami percaya wujud peluang besar daripada minat yang kukuh di peringkat global terhadap pembiayaan hijau yang mana instrumen pengumpulan dana yang inovatif seperti sukuk hijau dan SRI merupakan penyelesaian yang berdaya maju bagi menangani keperluan global terhadap pembiayaan hijau dan lain-lain bentuk pembiayaan mampan dan bertanggungjawab,” tambah Ranjit.

Bagi melengkapi rangka kerja Sukuk SRI dan menggalakkan penggunaan sukuk hijau sebagai saluran pengumpulan dana dengan lebih meluas, beberapa insentif disediakan untuk menarik penerbit sukuk hijau, termasuk:

  • Potongan cukai sehingga tahun taksiran (YA) 2020 ke atas kos Penerbitan sukuk SRI yang diluluskan atau dibenarkan oleh atau dikemukakan kepada SC;
  • Insentif cukai ke atas aktiviti teknologi hijau dalam bidang tenaga, pengangkutan, pembinaan, pengurusan sisa dan aktiviti khidmat sokongan [www.mida.gov.my dan www.greendirectory.my]; dan
  • Insentif pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dengan jumlah peruntukan dana sebanyak RM5 bilion sehingga 2022 [www.gtfs.my].

Untuk layak bagi potongan cukai di bawah insentif Sukuk SRI, penerbit yang menggunakan rangka kerja sukuk SRI untuk projek hijau mesti memastikan hasil kutipan yang dikumpulkan digunakan untuk membiayai projek SRI yang layak dalam sektor sumber asli, tenaga boleh diperbaharui dan/atau kecekapan tenaga. Menurut amalan antarabangsa, penerbit juga digalakkan untuk melantik pakar bebas untuk menjalankan penilaian ke atas kelayakan projek tersebut sebelum Penerbitan sukuk hijau.

Rangka kerja yang menyokong sukuk sukuk hijau pertama ini adalah hasil usaha sama antara SC, Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Bank dunia, dalam usaha untuk membangunkan satu ekosistem yang memudahcarakan pertumbuhan sukuk hijau dan memperkenalkan instrumen kewangan yang inovatif bagi menangani keperluan infrastruktur dan pembiayaan hijau di peringkat global.

“Dengan kejayaan pembangunan rangka kerja bagi sukuk hijau yang pertama ini, Malaysia memainkan peranan dalam mempeloporinya dalam pasaran modal, khususnya kewangan Islam, bagi mewujudkan persekitaran yang mesra pelaburan,” kata Faris Hadad-Zervos, Wakil Bank Dunia ke Malaysia.  “Ini merupakan langkah penting dalam pembiayaan pelaburan infrastruktur negara ini dan Kumpulan Bank dunia berbesar hati kerana menjadi rakan usahasama Malaysia dalam membangunkan pendekatan terhadap kewangan persekitaran yang inovatif ini. Kami amat mengalu-alukan pencapaian Malaysia yang bersejarah ini.”

Pasaran kewangan Islam Malaysia adalah terbuka kepada seluruh dunia untuk bekerjasama dan bersama meraih manfaat daripada persekitaran perniagaan inovatif yang amat kondusif ini, kepakaran dan aliran urus niaga.  Institusi kewangan dan komuniti perniagaan adalah digalakkan untuk memanfaatkan ekosistem kewangan Islam di Malaysia agar dapat terus menyumbang ke arah ekonomi yang mampan dan lebih terangkum.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
PASARAN KEWANGAN ISLAM MALAYSIA