Kuala Lumpur, 8 April 2008


Garis panduan baru SC bagi meningkatkan standard perilaku pasaran


Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini memperkenalkan satu set garis panduan baru bagi memperkukuh perlindungan pelabur dengan menggalakkan perilaku bertanggung jawab di kalangan broker saham dan wakil mereka.


Pengenalan kepada Guidelines on Market Conduct and Business Practices (Garis panduan), yang sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa, menyokong inisiatif strategik Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) dalam memastikan perkhidmatan pengantaraan Malaysia adalah berlandaskan standard berhati-hati yang bersesuaian, dengan perilaku urusan yang tinggi dan kemahiran profesional.


Garis panduan yang baru ini mengenal pasti 11 prinsip teras penyeliaan yang diguna pakai ke atas broker saham dan wakil mereka mengikut pendekatan kawal selia SC yang berasaskan prinsip. Garis panduan itu mengkhususkan standard perilaku urusan dan pasaran yang dikehendaki daripada broker saham, wakil dan kakitangannya . Contoh dan senario diberikan untuk menggambarkan aktiviti yang termasuk dalam salah laku pasaran dan perilaku urusan yang tidak beretika.


Selain itu, Garis panduan itu menjelaskan mengenai bagaimana industri boleh melaksanakan prinsip anti pengubahan wang haram dan menyekat pembiayaan keganasan. Garis panduan itu akan menjadi panduan kepada SC dalam menimbangkan sama ada mana-mana broker saham atau wakil broker saham telah mengambil langkah yang munasabah untuk mengendalikan dan menguruskan urusan perniagaan mereka secara bertanggungjawab.


Di bawah pendekatan berasaskan prinsip, SC akan fokus kepada tahap yang dikehendaki dalam hasil pengawalseliaan. Lawatan tapak yang proaktif dan perjumpaan dengan industri akan dianjurkan bagi memberikan bimbingan dan penjelasan bagi meningkatkan perlindungan pelabur dan menggalakkan integriti pasaran.


Bagi memastikan ini, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan syarikat broker saham akan dipertanggungjawabkan dalam memastikan dasar, prosedur dan sumber-sumber mencukupi diadakan bagi memenuhi prinsip teras.


Semua broker saham dan wakil berlesen diberikan tempoh satu tahun untuk mematuhi keperluan dalam Garis panduan tersebut.


Garis panduan itu yang berkuat kuasa pada 8 April 2008, boleh dilayari di sini.




SURUHANJAYA SEKURITI