Modul Perlesenan SIDC baru kurangkan bilangan peperiksaan bagi pemohon dua lesen

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) hari ini memperkenalkan dua modul peperiksaan pelesenan baru berkaitan dagangan sekuriti dan derivatif bagi individu yang berhasrat untuk memegang dua lesen Wakil Peniaga dan Wakil Broker Niaga Hadapan. Dengan pengenalan kedua-dua modul peperiksaan pelesenan yang baru tersebut, individu yang ingin memegang dua lesen hanya perlu menduduki dua peperiksaan dan bukan empat peperiksaan seperti sebelum ini.

Sebelum ini, mereka yang ingin dilesenkan sebagai pemegang dua lesen mesti mendapatkan lesen Wakil Peniaga dan lesen Wakil Broker Niaga Hadapan dengan menduduki masing-masing peperiksaan Modul 6 (Pasaran Saham dan Undang-undang Sekuriti) dan Modul 7 (Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset) serta Modul 14 (Niaga Hadapan dan Opsyen) dan Modul 16 (Peraturan dan Undang-undang Niaga Hadapan dan Opsyen).


Pengenalan dua modul baru tersebut, Modul 17: Dagangan Sekuriti dan Derivatif (Peraturan dan Undang-undang) dan Modul 18: Dagangan Sekuriti dan Derivatif (Produk dan Analisis) adalah sejajar dengan usaha berterusan SIDC untuk menyeragamkan peperiksaan pelesenan bagi profesional pasaran modal dan memudahcarakan lagi pembangunan pasaran modal.


Modul 17 merupakan kombinasi Modul 6 dan 16 yang merangkumi peraturan pasaran, sementara Modul 18 ialah kombinasi Modul 7 dan 14 yang merangkumi pengetahun mengenai produk dan kewangan. Oleh kerana modul baru tersebut adalah lebih komprehensif yang merangkumi dua pasaran, bilangan soalan peperiksaan telah ditambah.


Jadual 1: Butiran peperiksaan Modul 17 dan Modul 18





















Modul
Bil. Soalan


Masa Diberi


Jenis Soalan


Markah Lulus (%)

Modul 17: Dagangan Sekuriti dan Derivatif (Peraturan dan Undang-undang)
100


2.5 jam


Aneka pilihan


70

Modul 18 Dagangan Sekuriti dan Derivatif (Produk dan Analisis)
100


2.5 jam


Aneka pilihan


70


Namun demikian, masih terdapat peperiksaan berasingan berkaitan industri sekuriti dan niaga hadapan bagi mereka yang ingin dilesenkan dalam industri tertentu atau bagi mereka yang memilih untuk menduduki peperiksaan tersebut secara berasingan. Ini menyediakan lebih pilihan bagi pengantara pasaran modal untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan pelesenan mereka.


Peperiksaan pertama bagi Modul 17 dan Modul 18 akan diadakan pada Februari 2006. Yuran peperiksaan ialah sebanyak RM300 setiap modul, sementara yuran menduduki semula peperiksaan ialah sebanyak RM200 setiap modul.


Untuk maklumat lanjut mengenai peperiksaan pelesenan SIDC dan jadual peperiksaan tahun 2006, sila hubungi Khidmat Korporat SIDC di talian 03- 6204 8667 atau layari di tapak web SC di sini.



PUSAT PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI
2 Disember 2005