(English) Kenyataan awam berhubung tawaran pengambilalihan oleh Nexgram Holdings Bhd ke atas Ire-Tex Corporation Bhd

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan kenyataan ini berhubung dengan tawaran pengambilalihan sukarela oleh Nexgram Holdings Bhd (Nexgram Holdings) ke atas sekuriti Ire-Tex Corporation Bhd (Ire-Tex). Tawaran tersebut telah diumumkan pada 20 November 2015. SC telah meluluskan dokumen tawaran pada 10 Disember 2015, dan dokumen tawaran tersebut telah dihantar kepada pemegang sekuriti Ire-Tex pada 11 Disember 2015.

Pihak SC telah dimaklumkan bahawa Nexgram Holdings telah menandatangani perjanjian untuk menjual Nexgram Resources Sdn Bhd (Nexgram Sumber), Godynamic Investments Limited (Godynamic) dan PT Semesta Tirta Antara Raya (Indonesia) (PT Semesta) pada Januari 2016, manakala Bursa Malaysia sedang dalam proses mendapatkan pengesahan daripada Nexgram Holdings mengenai kewujudan aset-aset tertentu yang dimiliki oleh anak-anak syarikat ini. Penjualan itu telah diumumkan Nexgram Holdings masing-masing pada 11 dan 12 Januari 2016. Anak-anak syarikat ini juga tertakluk kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh SC berhubung dengan ketepatan maklumat yang dinyatakan dalam dokumen tawaran.

Tatalaku Nexgram Holdings dalam penjualan anak-anak syarikat tersebut melambatkan dan menghalang siasatan yang sedang dijalankan oleh SC dan Bursa Malaysia. Hasil siasatan ini boleh mempunyai impak besar ke atas nilai saham Nexgram Holdings yang akan diterima oleh pemegang sekuriti Ire-Tex sebagai pertukaran bagi penerimaan tawaran secara sukarela tersebut.

Kenyataan ini dikeluarkan menurut seksyen 217(4)(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
16 JANUARI 2016