Kuala Lumpur, 28 Mei 2007


SC mengenakan pertuduhan ke atas tiga individu kerana mengemukakan maklumat palsu dalam kes NasionCom


Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengenakan pertuduhan ke atas tiga individu kerana penglibatan mereka dalam mengemukakan maklumat palsu kepada SC. Ini adalah berkaitan dengan penyata kewangan NasionCom Holdings Bhd (NasionCom) bagi tahun berakhir pada 31 Disember 2005 dan Prospektus NasionCom bagi penyenaraian di pasaran MESDAQ.


Tiga individu yang dituduh itu ialah Dato’ Chee Kok Wing dan Shamsul Khalid bin Ismail, kedua-duanya pengarah NasionCom, dan Mah Soon Chai, pemegang saham Express Top-Up Sdn Bhd, sebuah anak syarikat NasionCom.


Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mengenakan satu pertuduhan ke atas Dato’ Chee kerana membenarkan pernyataan palsu dilakukan dalam dokumen NasionCom Sdn Bhd, iaitu dalam invois, perjanjian peniaga, lejar dan slip deposit bank.


Dato’ Chee dikenakan dua pertuduhan di bawah undang-undang sekuriti dan satu kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965:



  • di bawah s55(1)(a) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA) kerana menyebabkan pengeluaran Prospektus NasionCom bagi penyenaraian dalam pasaran MESDAQ, yang mengandungi maklumat yang mengelirukan. Kesalahan ini boleh dikenakan hukuman di bawah s55(3) SCA yang membawa kepada penalti maksimum denda sebanyak RM3 juta atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali;

  • di bawah s122B(a)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) yang dibaca bersama s122 Akta yang sama, dalam keupayaannya sebagai pengarah, dianggap telah mengemukakan maklumat palsu kepada SC yang terkandung dalam Laporan Tahunan 2005 NasionCom, khususnya, hasil bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2005. Kesalahan ini boleh dikenakan hukuman di bawah s122B SIA, yang membawa kepada denda maksimum sebanyak RM3 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali; dan

  • di bawah s364(2) Akta Syarikat 1965 kerana membenarkan pernyataan palsu dilakukan dalam dokumen NasionCom Sdn Bhd yang perlu disimpan di bawah s167(1) Akta Syarikat 1965. Pernyataan palsu ini digunakan bagi penyediaan Penyata Kewangan NasionCom bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2005. Kesalahan ini boleh dikenakan hukuman di bawah s364(2) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sebanyak RM250,000.

Shamsul Khalid dikenakan pertuduhan dalam keupayaannya sebagai pengarah NasionCom dan oleh kerana itu dianggap telah melakukan kesalahan di bawah s122B(a)(bb) SIA yang dibaca bersama dengan s122 Akta yang sama .


Mah Soon Chai dituduh bersubahat dengan NasionCom bagi mengemukakan maklumat palsu dan oleh itu telah melakukan kesalahan di bawah s122B(a)(bb) SIA yang dibaca bersama dengan s122C Akta yang sama.


Jika disabitkan kesalahan, Shamsul Khalid dan Mah Soon Chai boleh dikenakan hukuman denda maksimum sebanyak RM3 juta atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.


Mahkamah memerintahkan supaya kedua-dua kes tersebut dibicarakan bersama pada 21 hingga 23 November 2007. Mahkamah membenarkan ikat jamin kepada tertuduh dalam jumlah yang berikut dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah:



  • Dato’ Chee Kok Wing: RM200,000

  • Shamsul Khalid bin Ismail: RM100,000

  • Mah Soon Chai: RM50,000

Pendakwaan terhadap tiga individu ini adalah ekoran daripada tindakan SC pada 15 Februari 2007 yang mana SC telah mengenakan celaan awam terhadap NasionCom dan mengarahkan syarikat tersebut supaya membetulkan dan mengeluarkan semula penyata kewangannya bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2005.



SURUHANJAYA SEKURITI