(English) Kuala Lumpur, 5 Julai 2018
SC Pelawa Permohonan bagi Pendaftaran Sebagai Pengendali Pendanaan Ramai Ekuiti dan Pembiayaan Antara Rakan Setara

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan bahawa ia mempelawa pihak-pihak yang berminat untuk mengendalikan platform pendanaan ramai ekuiti atau equity crowdfunding (ECF) atau pembiayaan antara rakan setara atau peer-to-peer financing (P2P) agar mengemukakan permohonan bagi pendaftaran dengan SC.  Permohonan hendaklah dikemukakan kepada SC selewat-lewatnya sebelum 7 September 2018.

Sehingga Jun 2018, SC telah mendaftarkan tujuh pengendali ECF dan enam pengendali pembiayaan P2P. Platform-platform ini telah memberi manfaat kepada lebih 300 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengumpul sejumlah RM118 juta modal melalui lebih daripada 1,000 kempen yang berjaya.

Garis Panduan, Guidelines on Recognised Markets menggariskan keperluan bagi platform ECF dan P2P yang didaftarkan, tugas dan tanggungjawab sebagai pengendali platform, dan jenis penerbit dan pelabur yang boleh mengambil bahagian dalam aktiviti sedemikian.  Adalah menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 7 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 bagi mana-mana individu yang mengendalikan platform ECF dan P2P sebelum memperolehi kebenaran daripada SC.

Garis Panduan dan borang permohonan boleh didapati di sini di www.sc.com.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA