SC keluarkan Garis Panduan Penawaran Sekuriti Islam

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan Guidelines on the Offering of Islamic Securities (Garis Panduan Penawaran Sekuriti Islam) (Garis Panduan IS). Dengan Garis Panduan IS, penawaran sekuriti Islam tidak lagi tertakluk kepada Guidelines on the Offering of Private Debt Securities (Garis Panduan Penawaran Sekuriti Hutang Swasta) (Garis Panduan PDS) yang diguna pakai bagi produk bon konvensional.

Garis Panduan IS memperkenalkan rangka kerja ‘payung’ bagi sekuriti Islam, membolehkan dan memudahcarakan pembangunan pasaran modal Islam Malaysia yang lebih inovatif dan sofistikated. Garis Panduan IS akan memudahcarakan pengenalan rangkaian instrumen Islam yang lebih meluas, khususnya yang diterbitkan di bawah prinsip Syariah Mudharabah atau Musyarakah (perkongsian keuntungan dan kerugian) bagi memenuhi profil risiko pulangan pelabur yang berbeza-beza.


Garis panduan tersebut melengkapi inisiatif strategik Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) untuk memudahcarakan pembangunan pasaran modal Islam yang kompetitif dan inovatif, yang akan menjadi tarikan kepada kedua-dua pasaran tempatan dan global.


Garis panduan yang dikeluarkan adalah berpandukan penetapan oleh Menteri Kewangan bahawa sekuriti yang menggunakan prinsip Musyarakah atau Mudharabah , serta terbitan Sukuk , ialah “sekuriti” yang ditakrifkan dalam Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA), melalui Perintah Suruhanjaya Sekuriti (Penetapan Sekuriti Islam) 2004 (Perintah Penetapan). Perintah Penetapan tersebut bertujuan menyediakan ketentuan dan kejelasan perundangan, serta memberikan rangka kerja perundangan yang cukup fleksibel untuk mengawal selia rangkaian instrumen Islam yang lebih meluas.


Perlindungan pelabur juga telah dipertingkatkan. Perintah Penetapan menjelaskan bahawa semua urus niaga sekuriti Islam, termasuk urus niaga yang dibuat di bawah prinsip Musyarakah dan Mudharabah , mesti mematuhi keperluan statutori surat ikatan amanah dan tugas-tugas pemegang amanah dan peminjam. Di samping itu, terdapat keperluan mandatori supaya Memorandum Maklumat diterbitkan kepada pelabur bagi urus niaga yang distruktur mengikut prinsip Musyarakah atau Mudharabah , bagi memastikan tahap penzahiran yang dibuat adalah mencukupi bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan bermaklumat.


Sejajar dengan rangka kerja baru ini, semua insentif dan pengecualian percukaian yang terpakai bagi debentur Islam juga telah terpakai bagi semua jenis sekuriti Islam.


Dengan pengeluaran Garis Panduan IS tersebut, Garis Panduan PDS tidak lagi diguna pakai bagi penerbitan sekuriti Islam di Malaysia. Walau bagaimanapun, Policies and Guidelines on the Issue/Offer of Securities dan Guidelines on the Offering of Asset-Backed Securities , yang mana berkaitan, akan terus terpakai kepada sekuriti Islam.


Garis Panduan IS boleh didapati di tapak web SC di sini.



SURUHANJAYA SEKURITI
26 Julai 2004