Seminar mengenai hubungan pelabur dan komunikasi pemegang saham


Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) dan Institut Tadbirurus Korporat Malaysia (MICG) akan menganjurkan seminar “Investor Relations and Shareholder Communications – What Every Director Should Know” pada 16 September 2002 di Suruhanjaya Sekuriti (SC), Kuala Lumpur.


Seminar satu hari ini merangkumi pentingnya komunikasi korporat dalam persekitaran perniagaan dan cabaran yang dihadapi oleh lembaga pengarah untuk berkomunikasi dengan orang ramai yang melabur secara konsisten dan pantas. Timbalan Ketua Eksekutif SC, Datin Zarinah Anwar akan memberikan ucap utama di seminar ini.


Seminar ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan para pengarah syarikat awam tersenarai tentang pentingnya komunikasi yang efektif dalam memenuhi keperluan pelabur. Ia juga memberikan peserta kemahiran asas dalam membentuk dan mengawasi program hubungan pelabur yang efektif dan membolehkan mereka meningkatkan reputasi syarikat dalam pasaran.


“Ketika kita beralih kepada suatu persekitaran yang memerlukan penzahiran dan kebertanggungjawaban korporat yang lebih tinggi, adalah penting bagi syarikat dan para pengarah mengetahui cara yang efektif dalam mengurus dan menyebarkan maklumat korporat,” kata Puan Teh Ija Abdul Jalil, Pengurus SIDC.


“Pengurusan maklumat secara mahir dan hubungan pelabur membina imej dan mengukuhkan syarikat. Ia menjadi satu pertimbangan perniagaan yang bijak bagi lembaga pengarah untuk mengamalkan hubungan pelabur dan tadbir urus korporat yang baik”, tambah beliau.


Seminar tersebut akan mengenengahkan penceramah terkenal termasuk Dato’ Megat Najmuddin Khas dan Edwin Wong dari MICG, Gan Kim Koon dari AMS Research Sdn Bhd, Chris Savage dan Grace Low dari Ogilvy Public Relations, Jane Prior dari Priority Associates, Philip Koh dari Tetuan Lee Hishammuddin dan Eddie Chan Yean Hoe dari Shell Oil Product East (SOPE) Commercial Finance.


Selain daripada pengarah syarikat, seminar ini juga bermanfaat kepada orang awam serta mereka yang bekerja dalam bidang komunikasi, hubungan korporat, hal ehwal awam dan perhubungan awam. Seminar ini memberikan 10 mata CPE, yang boleh dikumpulkan oleh wakil peniaga bagi pembaharuan lesen.


Yuran pendaftaran bagi seminar ialah RM550. Ahli MICG dan Persekutuan Syarikat-Syarikat Awam Tersenarai diberikan diskaun menjadikan jumlah yuran hanya sebanyak RM450. Mereka yang berminat boleh menghubungi Marsha Beh di talian: 03-6204 8689, faks: 03-6201 5811 atau e-mel: [email protected]. Maklumat lanjut berkenaan seminar ini boleh didapati dari www.sc.com.my




SURUHANJAYA SEKURITI
10 September 2002