Siaran Akhbar
Kuala Lumpur, 20 Februari 2014

From left: Howard Wetston, Ontario Securities Commission Chairperson, HE Mohammed Al-Sheikh, Saudi Arabia Capital Market Authority Chairman, Greg Medcraft, IOSCO Chair and ASIC Chairman, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysian Prime Minister, and Datuk Ranjit Ajit Singh, SC Chairman.

Pengawal selia pasaran modal terkemuka dunia bermesyuarat di Kuala Lumpur
Pengawal selia pasaran modal terkemuka daripada ekonomi maju dan pesat membangun utama bertemu di Kuala Lumpur minggu ini bagi menghadiri Mesyuarat Ahli Lembaga Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa  (IOSCO).

“Pengawal selia sekuriti memainkan peranan penting dalam pembentukan jangka panjang pasaran modal global. Memandangkan pasaran kewangan antarabangsa semakin kompleks dan berdaya saing, amat penting bagi masyarakat pengawal selia sejagat untuk bersatu membincangkan pembinaan pasaran yang lebih kukuh dan maju,” kata Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia, dalam ucapannya pada majlis makan malam yang diadakan di sini sempena Mesyuarat Ahli lembaga IOSCO tersebut.

“Pasaran boleh dan perlu memainkan peranan masing-masing dalam membolehkan peruntukan kekayaan dilakukan, dan menjadi alat yang kukuh bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi sebenar yang mampan dan terangkum,” katanya.

Ahli IOSCO mengawal selia lebih 95% pasaran modal dunia bernilai AS$127 trilion. Lebih daripada 100 wakil IOSCO dari 30 negara di seluruh dunia kini berada di Malaysia dari 19-21 Februari untuk menghadiri Mesyuarat Lembaga IOSCO, bagi membincangkan isu-isu global yang mempengaruhi pasaran modal.

Jawatankuasa Pengemudi Pasaran Pertumbuhan dan Pesat Membangun (GEM) juga akan mengadakan mesyuarat sulungnya yang dipengerusikan oleh Datuk Ranjit Ajit Singh, yang juga Merupakan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Dalam persekitaran pasca-krisis hari ini, peranan pasaran modal menjadi semakin penting kerana ia mewakili sumber penting pembiayaan,” kata Datuk Ranjit. “SC Malaysia akan terus bekerjasama dengan pengawal selia di seluruh dunia bagi meningkatkan keberkesanan pengawalseliaan rentas sempadan, dan memupuk standard lebih tinggi bagi tadbir urus korporat dan tatalaku pasaran, dalam usaha untuk menyokong pertumbuhan melalui pembiayaan berasaskan pasaran dalam pasaran kita.”

IOSCO merupakan penetap standard global terkemuka bagi pengawalseliaan sekuriti.  Melalui usahanya dalam menetapkan standard dan kerjasama dalam bidang pengawalseliaan dan penguatkuasaan, IOSCO bekerja keras untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan terhadap pasaran. IOSCO komited dalam meningkatkan ketekalan standard pengawalseliaan di seluruh dunia dan membina agenda pembaharuan pengawalseliaan bagi menangani cabaran persekitaran kewangan yang semakin kompleks.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA