(Langkah-langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak di Invest Malaysia, 30 Jun 2009)

Umum

1.

Apakah cadangan yang akan dipertimbangkan oleh SC bawah peraturan ekuiti Bumiputera yang baru?

Cadangan yang akan dipertimbangkan oleh SC bawah peraturan ekuiti Bumiputera yang baru ini adalah cadangan yang membabitkan penyenaraian syarikat, pengambilalihan songsang (RTO) dan pindahan penyenaraian.

2.

Bilakah dasar baru ini berkuat kuasa?

Dasar baru ini berkuat kuasa serta merta. Peraturan baru ini memansuhkan semua syarat-syarat ekuiti Bumiputera sedia ada yang sebelum ini dikenakan ke atas syarikat awam tersenarai (PLC).

3.

Adakah syarikat perlu mematuhi mana-mana peraturan ekuiti Bumiputera yang dikenakan oleh kementerian-kementerian yang berkenaan sebagai sebahagian daripada syarat-syarat pelesenan mereka?

Ya, yang mana berkenaan, syarikat mesti mendapatkan kelulusan pengawal selia sektor sebelum menyerahkan sebarang cadangan kepada SC.

IPO

4.

Apakah peraturan ekuiti Bumiputera yang baru bagi syarikat yang mahu disenaraikan di Pasaran Utama?

Pada masa ini, semua syarikat yang mahu disenaraikan mesti memenuhi keperluan 25% sebaran awam bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia. Syarikat dengan pengoperasian berpangkalan di Malaysia yang mahu disenaraikan di Pasaran Utama perlu memperuntukkan 50% keperluan sebaran awam kepada pelabur Bumiputera pada masa penyenaraian. Ini termasuklah bahagian yang disediakan untuk dilanggani melalui pengundian, yang 50% daripadanya perlu dibuka kepada pelabur runcit Bumiputera. Oleh itu, peraturan ekuiti Bumiputera akan digolongkan bawah keperluan sebaran awam.

Syarikat yang operasinya berpangkalan di Malaysia didefinisaikan sebagai syarikat yang memperoleh lebih daripada 50% keuntungan selepas cukai daripada operasi yang berpangkalan di Malaysia.

5.

Bagaimana syarikat mahu mematuhi peraturan ekuiti Bumiputera yang baru ini?

Peraturan 25% sebaran awam dipenuhi secara umum oleh syarikat dengan cara:-

i.

syarikat dikehendaki menyediakan 5% saham untuk dilanggani oleh orang ramai melalui proses pengundian; dan

ii.

baki sehingga 20% boleh dibuka kepada pemegang saham yang bukan pemegang saham yang besar iaitu pemegang saham yang masing-masing mempunyai pemilikan kurang daripada 5%.

Bawah dasar baru ini, syarikat mesti memohon kepada MITI, atau MOF (jika institusi kewangan berlesen) bagi peruntukan sehingga 50% saham-saham keperluan sebaran awam kepada pelabur Bumiputera yang diiktiraf oleh MITI atau MOF.

Apabila syarikat menawarkan sehingga 5% modal diterbitkan untuk dilanggani melalui proses pengundian, 50% daripada saham-saham ini mesti ditawarkan kepada Bumiputera.

6.

Bagaimana jika peruntukan untuk Bumiputera tidak dilanggani sepenuhnya?

Sekiranya pelabur Bumiputera yang diiktiraf oleh MITI atau MOF melanggani kurang 10% daripada saham-saham yang ditawarkan kepada mereka, baki saham tersebut akan dibuka untuk dilanggani oleh orang awam Bumiputera sebagai tambahan kepada keperluan mandatori bawah proses pengundian IPO. Misalannya, katakanlah hanya 8% daripada saham-saham yang ditawarkan itu dilanggani oleh pelabur Bumiputera yang diiktiraf oleh MITI dan MOF, baki saham sebanyak 2% akan ditambah kepada bahagian pengundian, menjadikan jumlah keseluruhan saham yang boleh dilanggani oleh orang awam Bumiputera ialah 4.5%.

Syarikat tersebut akan dianggap telah mematuhi peraturan ekuiti Bumiputera setelah proses ini dilengkapkan.

7.

Jika sesebuah syarikat sudah sedia mempunyai pemegang saham Bumiputera, bolehkah pemegang saham Bumiputera itu diiktiraf sebagai memenuhi peraturan ekuiti Bumiputera?

Ya, tertakluk kepada pengiktirafan MITI/MOF dan hanya jika pemegang saham Bumiputera tersebut bukan pemegang saham yang besar iaitu memegang kurang 5% daripada modal saham diterbitkan dan modal berbayar.

Contoh:
Pemegang saham Bumiputera sedia ada: 8%, masing-masing memegang kurang daripada 5%.
Peraturan ekuiti Bumiputera yang perlu dipenuhi: 12.5% – 8% = 4.5%

8.

Bagaimana jika sesebuah syarikat telah memenuhi 12.5% keperluan ekuiti Bumiputera, adakah syarikat itu masih perlu menawarkan 50% saham pada bahagian bagi tawaran untuk pengundian awam kepada pelabur Bumiputera?

Apabila sesebuah syarikat mahu melaksanakan pengundian awam, syarikat itu mesti menyediakan sehingga 50% saham-saham untuk dilanggani oleh orang awam Bumiputera. 

9.

Adakah peraturan ekuiti Bumiputera baru ini diguna pakai kepada semua syarikat yang mahu disenaraikan?

Peraturan ekuiti ini hanya diguna pakai kepada syarikat yang operasinya berpangkalan di Malaysia dan mahu disenaraikan. Syarikat dengan status MSC, BioNexus dan syarikat dengan operasi utamanya berpangkalan asing dikecualikan daripada keperluan ekuiti Bumiputera.

Walaupun peraturan ekuiti Bumiputera tidak diguna pakai kepada syarikat sebegini, syarikat-syarikat itu perlu memberitahu SC.

10.

Apakah definisi bagi syarikat yang operasi utamanya berpangkalan asing?

Penentuan itu adalah berdasarkan sumbangan keuntungan daripada operasi domestik dan asing kumpulan tersebut bagi tahun lepas, yang mana keuntungan selepas cukai yang diperoleh daripada operasi berpangkalan asing lebih tinggi daripada operasi yang berpangkalan di Malaysia iaitu lebih daripada 50%.

11.

Apakah peraturan ekuiti Bumiputera baru ini diguna pakai kepada syarikat yang telah diberikan kelulusan bagi penyenaraian tetapi belum disenaraikan?

Ya, peraturan baru ekuiti Bumiputera ini turut diguna pakai kepada syarikat sebegini.

12.

Apakah peraturan ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mahu disenaraikan di pasaran ACE?

Bagi penyenaraian di Pasaran ACE, syarikat dikehendaki memperuntukkan 12.5% daripada modal saham diterbitan dan modal saham berbayar yang diperbesar kepada pelabur Bumiputera yang diiktiraf oleh MITI dalam masa satu tahun selepas memperoleh rekod keuntungan yang diperlukan bagi penyenaraian di Pasaran Utama, atau lima tahun selepas penyenaraian di Pasaran ACE, yang mana dahulu.

Ini juga terpakai kepada semua syarikat yang pada masa ini tersenarai di Pasaran MESDAQ yang belum lagi mematuhi peraturan ekuiti Bumiputera.

13.

Apakah yang perlu dilakukan oleh syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE bagi mematuhi syarat-syarat ekuti Bumiputera selepas mencapai rekod prestasi keuntungan atau selepas disenaraikan selama lima tahun?

Bagi tujuan mematuhi syarat-syarat ekuiti yang dikenakan, syarikat itu perlu menyerahkan cadangannya untuk mematuhi syarat-syarat ekuiti Bumiputera kepada SC dalam masa enam (6) bulan dari tarikh yang berkenaan.

14.

Bawah peraturan baru ekuiti Bumiputera, adakah ini bermakna pemegangan saham Bumiputera dalam sesebuah syarikat dihadkan kepada 12.5%?

Dua belas perpuluhan lima peratus (12.5%) itu adalah had minimum yang ditetapkan. Semestinya pemegangan saham Bumiputera mungkin lebih tinggi lagi. Contohnya, dalam situasi yang 20% saham dipegang oleh pelabur Bumiputera sedia ada, dengan peraturan 12.5% sebaran awam Bumiputera, ini berpotensi membawa jumlah keseluruhan pemegangan saham Bumiputera kepada 32.5%.

Penjanaan Dana Selanjutnya/Amalan Korporat

15.

Adakah PLC perlu membuat penyerahan kepada SC bagi melaksanakan penjanaan dana selanjutnya yang membabitkan penempatan saham?

Tidak. Bagaimanapun, jika penempatan yang dicadangkan itu menyebabkan kemasukan satu atau lebih pemegang saham baru yang mengawal syarikat, satu penyerahan mesti dibuat kepada SC. Bagi penerbitan saham yang menyebabkan kemasukan pemegang saham baru dalam pengawalan syarikat, syarat-syarat semakan semula ekuiti Bumiputera akan dikenakan. Ini kerana kemasukan pemegang saham baru dalam pengawalan syarikat melalui RTO atau penyenaraian pintu belakang aset dilayan sama seperti IPO dan memerlukan syarikat memenuhi garis panduan IPO termasuk syarat-syarat ekuiti Bumiputera. 

16.

Adakah PLC dikehendaki membuat penyerahan kepada SC bagi pelaksanaan korporat seterusnya yang menghasilkan RTO dan/atau pindahan penyenaraian yang mereka ingin jalankan?

Ya. Satu penyerahan perlu dibuat kepada SC.

17.

Apakah syarat-syarat ekuiti Bumiputera yang akan dikenakan ke atas PLC dalam kes RTO?

Bagi RTO, PLC dikehendaki mematuhi peraturan ekuiti Bumiputera 12.5% tiga tahun selepas pelaksanaan cadangan.

18.

Apakah syarat-syarat ekuiti Bumiputera yang akan dikenakan ke atas PLC dalam kes pindahan penyenaraian?

Sekiranya berlaku pindahan penyenaraian, PLC dikehendaki mematuhi peraturan ekuti Bumiputera 12.5% pada masa pindahan.

19.

Sekiranya sesebuah PLC mempunyai peraturan ekuiti Bumiputera yang menyerlah, yang sebelum ini dikenakan berikutan daripada suatu pelaksanaan penjanaan dana, adakah syarat-syarat ekuti itu akan dimansuhkan bawah dasar baru ini?

Ya. Syarat-syarat ekuiti yang dikenakan sebelum ini ekoran daripada pelaksanaan penjanaan dana yang dilaksanakan oleh PLC akan dimansuhkan serta merta.