Kini IOSCO dianggotai oleh 174 agensi ahli yang bermesyuarat dan memutuskan –

  • Untuk bekerjasama bagi menggalakkan standard pengawalseliaan yang tinggi untuk mengekalkan pasaran yang adil, cekap dan kukuh;
  • Untuk bertukar-tukar maklumat mengenai pengalaman masing-masing untuk menggalakkan pembangunan pasaran domestik;
  • Untuk menyatukan usaha bagi mewujudkan standards dan pengawasan yang berkesan bagi transaksi sekuriti antarabangsa; dan
  • Untuk menyediakan bantuan bersama bagi menggalakkan integriti pasaran melalui pemakaian standard dan penguatkuasaan yang berkesan terhadap kesalahan.

SC menganggotai IOSCO pada 1993 dan dilantik untuk mempengerusikan Kumpulan Kerja mengenai Pengawalseliaan Pasaran Sekunder Jawatankuasa Pasaran Membangun (EMC) pada tahun 1994. SC juga mempengerusikan EMC dari 1996 hingga 1999. Ketika Persidangan Tahunan ke-25 IOSCO di Sydney, Australia pada Mei 2000, Pengerusi SC dilantik untuk mempengerusikan Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik (APRC) dan dilantik semula bagi tempoh dua tahun (ketika Persidangan Tahunan IOSCO 2002 di Istanbul, Turki) sehingga Februari 2004. Persidangan Tahunan IOSCO 2002 juga menyaksikan penubuhan Pasukan Petugas Pasaran Modal Islam IOSCO, yang juga dipengerusikan oleh Pengerusi SC. Pada 2008, Pengerusi SC telah dilantik sebagai Naib Pengerusi EMC ketika Persidangan Tahunan IOSCO ke-33 di Paris, Perancis.

SC juga merupakan ahli bagi pelbagai jawatankuasa dan pasukan petugas IOSCO, seperti Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Teknikal Pasukan Petugas Lindung NIlai, Kumpulan Draf bagi Objektif dan Prinsip Pengawalseliaan Sekuriti, Jawatankuasa Pelaksanaan Prinsip IOSCO dan Pasukan Petugas Internet. Di samping itu, SC juga merupakan ahli inisiatif bersama yang ditubuhkan oleh Jawatankuasa Teknikal IOSCO dan Jawatankuasa mengenai Sistem Pembayaran dan Penyelesaian Bank for International Settlements, iaitu Pasukan Petugas Sistem Penyelesaian Sekuriti.