Majlis Pelancaran Kempen Pendidikan Pelabur


Ucapan oleh
YBhg Datuk Ali Abdul Kadir
Pengerusi, Suruhanjaya Sekuriti


10 Mei 2003
Wisma Negeri, Seremban



Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri
Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri
Wakil-Wakil Badan Bukan Kerajaan dan Persatuan-persatuan,
Tuan-tuan, puan-puan
para hadirin sekalian.


Assalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.


1. Selamat datang ke majlis perasmian Kempen Pendidikan Pelabur 2003 yang bertemakan, “Pelaburan Saya, Hak Saya!”. Bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC), saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana sudi melapangkan masa untuk bersama-sama kita pada pagi ini dalam satu majlis yang sangat bermakna kepada SC. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Jabatan-jabatan dan Agensi-agensi Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, di atas segala sokongan dan kerjasama bagi menjayakan majlis pelancaran kempen pendidikan pelabur pada hari ini.


Yang Berhormat Menteri, Tuan-tuan dan Puan-puan,


2. Ramai yang bertanya mengapa SC begitu mementingkan isu perlindungan pelabur dan sejak bila. Persoalan ini timbul kerana SC lebih dikenali sebagai agensi yang mendakwa individu dan syarikat di mahkamah. Jawabnya perlindungan pelabur merupakan misi utama SC sejak ia ditubuhkan. Ini adalah kerana kami sedar bahawa pembangunan sesuatu pasaran itu bukan sekadar kerana sistem perundangan pasaran saham yang lengkap tetapi adalah bergantung juga kepada penglibatan pelabur yang mempercayai bahawa pasaran merupakan tempat di mana mereka boleh gembeling simpanan untuk mendapat pulangan yang sejajar. Dalam lain perkataan, tanpa pelabur, pasaran saham tidak mungkin wujud. Individu seperti tuan-tuan dan puan-puan merangkumi lebih daripada 60 peratus pelabur dalam pasaran saham dan industri amanah saham negara kita. Dan apabila tuan-tuan dan puan-puan melabur secara waras dan bijak, pasaran saham akan sama-sama berkembang dan mendapat manfaat. Pelaburan yang dibuat di pasaran modal pula membantu pertumbuhan ekonomi negara kerana syarikat-syarikat yang memperolehi dana dari pasaran modal boleh mengembangkan pengeluaran dan mengambil lebih ramai pekerja.


3. Sebenarnya, SC telah lama menjalankan aktiviti pendidikan pelabur sungguhpun tidak secara besar-besaran. Sejak ditubuhkan pada 1993, SC kerap mengadakan ‘roadshows’ untuk bertemu muka dengan para pelabur dan peserta-peserta pasaran modal yang lain. Selain itu, SC turut terlibat aktif dalam pameran bergerak di bandar-bandar seperti Alor Setar, Kuantan, Kuching dan Kota Kinabalu. Tahun lalu pula, kami melancarkan laman web pendidikan pelabur dan sejak setahun lebih telah mengadakan sesi-sesi ceramah kepada pelbagai kumpulan sasaran dalam masyarakat. Kami juga banyak menerbitkan risalah dan buku tentang pelaburan.


4. Tetapi, melalui pelancaran pada hari ini, kita mahu masyarakat mengetahui bahawa SC mengiktiraf peranan setiap pelabur individu sebagai teras dalam membangunkan pasaran modal dan semua yang dilakukan oleh SC adalah untuk melindungi para pelabur.


Yang Berhormat Menteri dan para hadirin yang saya hormati sekelian,


5. Ramai pelabur di Malaysia merungut bahawa mereka mengalami kerugian apabila membuat pelaburan dan bertanya bagaimana untuk melabur dengan lebih bijak lagi. Kami di SC menyeru pelabur Malaysia supaya mempelajari segala aspek pasaran modal. Kita tahu ramai orang membeli dan menjual saham tanpa memahami secara mendalam tentang pasaran saham. Ramai antara kita hanya pentingkan keuntungan, iaitu, harga saham mesti sentiasa meningkat.


6. Biasanya jika ditanya, para pelabur runcit akan berkata bahawa mereka membeli sesuatu saham kerana mendengar khabar angin dan andaian-andaian yang tidak berasas. Pelaburan itu bukan dibuat berdasarkan maklumat terperinci dan sebenar mengenai syarikat yang menerbitkan saham. Jarang sekali pelabur bertanya siapakah yang menguruskan syarikat tersebut atau sama ada syarikat itu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan prospek masa hadapan yang baik.


7. Ada pula pelabur yang membeli saham amanah tanpa memahami objektif dan strategi pelaburan yang sebenarnya berbeza-beza bagi jenis dana unit amanah yang berlainan. Tiada pula yang bertanya sama ada unit amanah yang dibeli itu selari dengan matlamat kewangan kita. Malahan, ramai yang menganggap bahawa membeli saham amanah sama seperti menyimpan wang dalam simpanan tetap di bank. Ada pula kurang minat merancang kewangan mereka. Misalnya adakah kita bertanya berapa banyak wang yang perlu disimpan dan dilabur sebagai persediaan untuk bersara dan hari tua?


Tuan-tuan dan puan-puan,


8. SC percaya bahawa cara terbaik untuk melindungi pelabur adalah dengan mewujudkan generasi pelabur yang terdidik dan bermaklumat. Oleh itu, SC bercadang mendekati semua lapisan masyarakat bagi memastikan wujudnya komuniti yang mengetahui dan memahami mengenai produk-produk pasaran modal dan bagaimana untuk melabur berbekalkan pengetahuan sepenuhnya mengenai risiko dan ganjaran berkaitan dengan produk pelaburan yang dibuat.


9. SC berhasrat untuk mendidik para pelabur mengenai asas celik kewangan yang bermula daripada belajar menabung hinggalah kepada asas perancangan kewangan ke arah mewujudkan masyarakat pelabur yang berpengetahuan mengenai bagaimana dan bila kita patut melabur dalam harta atau saham atau unit amanah atau menyimpan dalam simpanan tetap di bank. Ini kerana setiap jenis pelaburan mempunyai matlamat, risiko dan ganjarannya sendiri. Hanya dengan memahami semua itu, barulah kita boleh membuat keputusan pelaburan yang bijak dan memulakan langkah untuk membina kedudukan kewangan masa hadapan yang lebih kukuh.


10. Selaras dengan itu, kempen Pendidikan Pelabur SC ialah “Pelaburan Saya, Hak Saya!”. Kempen ini bertujuan memberitahu pelabur bahawa mereka mempunyai –




  • Pertama, hak untuk mendapatkan maklumat sebelum melabur dalam sesuatu produk, dan untuk mengawasi pelaburan mereka dengan mendapatkan lebih banyak lagi maklumat secara berterusan mengenai pelaburan mereka.


  • Kedua, hak untuk menyuarakan pandangan sebagai pemegang saham atau amanah saham.
  • Ketiga, hak untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa yang berkenaan sekiranya mereka berasa tidak senang atau tertipu atau tidak puas hati sebagai pelabur.

11. Hak pertama adalah hak untuk mendapatkan maklumat. Adalah penting kita dapat semua maklumat yang boleh mempengaruhi keputusan kita untuk melabur. Apakah maklumat yang penting dan di mana maklumat tersebut boleh didapati? Apabila kita memperolehi maklumat seperti penyata kewangan dalam laporan tahunan syarikat, adakah kita tahu membaca dan memahaminya? Bolehkah kita kesan sama ada syarikat itu membuat keuntungan atau sebaliknya? Adakah syarikat itu kukuh, ditadbirkan oleh pengurusan yang cekap dan mempunyai kepakaran untuk membangunkan perniagaan ?


12. Sekiranya membeli saham amanah pula, kita perlu tahu mengenai jenis-jenis dana yang berbeza dan maklumat yang mesti dicari dan difahami sebelum membeli unit amanah. Sebagai pelabur kita harus membuat pengiraan mengenai nilai bersih pendapatan dan harta kita, contohnya hutang kita, harta yang kita miliki dan wang yang diperlukan untuk persekolahan anak-anak atau untuk sara hidup selepas bersara. Selepas membuat semua pengiraan ini, kita perlu merancang bagaimana untuk mencapai matlamat kewangan kita. Wawasan SC adalah sebuah masyarakat Malaysia yang mencapai tahap kemahiran dan pengetahuan yang sofistikated bagi membolehkan mereka mendapat manfaat dalam dunia pelaburan yang serba kompleks.


Tuan-tuan dan puan-puan,


13. Seperti yang saya katakan tadi, hak kedua kita sebagai pelabur ialah untuk menyuarakan pendapat. Ramai pelabur setelah membeli sesuatu produk pelaburan melupakan saja pelaburan tersebut dan mengharapkan dengan keuntungan berlaku secara sendiri, padahal, kita harus mengikuti perkembangan ekonomi negara dan dunia, mengawasi perkembangan industri di mana pelaburan dibuat.


14. Sebagai pemegang saham minoriti, pelabur individu pula tidak mengetahui hak mereka dan kerap kali melihat sahaja tanpa mengambil apa-apa tindakan apabila syarikat mengalami masalah dan kemerosotan prestasi. Mereka tidak menyedari bahawa mereka mempunyai hak sebagai pemegang saham atau pemegang unit amanah, dan tidak mengetahui apa yang boleh dilakukan. Mereka yang ingin mengambil tindakan pula, tidak arif tentang hak, pilihan dan saluran yang betul untuk mengadu masalah mereka. Mereka juga mungkin tidak menyedari, sehingga terlewat, bahawa ada pula tempoh masa tertentu untuk mengambil tindakan.


15. SC berhasrat menyedarkan para pelabur Malaysia bahawa mereka boleh menyuarakan pandangan mereka di mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat agung luar biasa syarikat yang mereka laburi. Mereka juga boleh menyatakan ketidakpuasan mereka kepada media secara bertulis dan secara tidak langsung memberi amaran kepada umum dan pihak berkuasa mengenai amalan tidak beretika yang sedang berlaku. Melalui usaha seumpama ini, syarikat yang melakukan salah laku boleh disedarkan bahawa pelabur hari ini bukan lagi pelabur yang serba tidak tahu.


16. Akhirnya, para pelabur berhak untuk mengemukakan aduan. Melalui kempen Pendidikan Pelabur ini, kakitangan SC akan ke merata-rata tempat di seluruh negara untuk memberi pendidikan mengenai pelaburan kepada masyarakat termasuk mengenai di mana dan bagaimana hendak membuat aduan. Pelabur perlu tahu di mana mereka boleh mengadu sekiranya mereka tertipu, mendapati dana syarikat pelaburan mereka disalahgunakan dan disalurkan kepada projek-projek yang syarikat itu tidak sepatutnya melaburkan.


Tuan-tuan dan puan-puan,


17. Bagi tahun 2003, kakitangan SC akan memberi lebih daripada 50 ceramah pendidikan pelabur kepada kumpulan sasaran yang telah dikenal pasti, antaranya guru-guru, penuntut-penuntut pusat pengajian tinggi, kumpulan-kumpulan wanita dan masyarakat awam luar bandar. Seperti yang saya nyatakan tadi, SC mempunyai tapak web Pendidikan Pelabur iaitu www.min.com.my, satu-satunya tapak web khusus untuk mendidik masyarakat Malaysia mengenai asas-asas pelaburan dalam pasaran modal. Kandungan tapak web ini juga terdapat dalam versi bahasa Inggeris. Saya menggesa tuan-tuan dan puan-puan untuk melayari laman web www.min.com.my.


18. SC akan juga menyertai pameran di seluruh negara untuk mengedarkan risalah di samping menyiarkan artikel di akhbar mengenai pendidikan pelabur. Sekiranya kami berada berhampiran kawasan kediaman anda, saya harap tuan-tuan dan puan-puan tidak keberatan mengunjungi gerai pameran SC.


Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,


19. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini untuk menyaksikan pelancaran kempen “Pelaburan Saya, Hak Saya!” oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin. Saya juga ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin dan semua pihak yang terlibat, atas sokongan yang diberikan terhadap usaha SC untuk mewujudkan generasi pelabur Malaysia yang benar-benar bermaklumat, berpengetahuan dan berkemahiran dalam melabur di pasaran modal Malaysia.



Terima kasih.




 




 




 




SURUHANJAYA SEKURITI