“PENGURUSAN BERETIKA: HALATUJU DAN CABARAN”


oleh
YBhg Datin Zarinah Anwar
Timbalan Ketua Eksekutif, Suruhanjaya Sekuriti
di
Muzakarah Pakar “Mengurus Kejayaan: Pengurusan Aset dan Tanggungan dari Perspektif Islam”


29 April 2003
Institut Kefahaman Islam Malaysia



YBhg. Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, para pembentang kertas kerja dan hadirin sekalian.



Pengenalan


1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur Muzakarah Pakar IKIM iaitu Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) kerana menjemput saya untuk memberi ucap utama pada Muzakarah Pakar pada pagi ini.


2. Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur kerana telah mengambil langkah untuk mengadakan forum yang akan membincangkan subjek yang amat penting di dalam dunia perniagaan dan pasaran modal pada hari ini. Saya berharap kehadiran pengarah-pengarah syarikat dan ahli-ahli pengurusan serta pengawal kewangan dan juruaudit di forum ini akan dapat membawa kepada satu perbincangan yang produktif ke arah meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab dan peranan mereka di dalam pengurusan syarikat masing-masing.


3. Apa yang berlaku sejak beberapa tahun yang lepas disebabkan oleh skandal korporat dan krisis kewangan Asia telah banyak mencorak dan mengubah perspektif kita terhadap pengurusan syarikat dan hal perlindungan pelabur.


4. Kegagalan syarikat-syarikat gergasi di Amerika Syarikat dan tidak kurang juga beberapa syarikat-syarikat utama di Malaysia telah menunjukkan bahawa ada golongan tokoh-tokoh korporat yang lebih mementingkan diri sendiri dengan membelakangkan nilai-nilai pengurusan dan perniagaan yang baik dalam menerajui syarikat masing-masing. Pemegang saham majoriti yang sering memegang jawatan pengurusan atasan lebih cenderung untuk memperkayakan diri sendiri melalui pelbagai cara sehingga sesetengahnya sanggup melanggar undang-undang dan memusnahkan nilai pelabur.


Etika dan Moral Melebihi Undang-Undang dan Tadbir Urus Korporat


5. Di dalam menangani hal ini, walaupun pihak pengawalselia boleh memastikan pembangunan rangkakerja perundangan yang kukuh, tidak boleh dinafikan bahawa etika dan kesusilaan adalah nadi kepada akauntabiliti dan tanggungjawab. Etika adalah satu isu utama di dalam pasaran modal. Pasaran dan peserta pasaran banyak terdedah kepada penyalah gunaan undang-undang dan tatasusila yang amat tinggi padahnya.


6. Kita telah lihat sendiri kes-kes seperti skandal BCCI dan dana pencen Maxwell, kejatuhan Barings dan yang terbaru kegagalan Enron, penipuan WorldCom dan kejatuhan Xerox di Amerika Syarikat. Tidak kurang juga skandal-skandal tempatan, dan yang terbaru berlaku banyak kegagalan syarikat akibat daripada krisis kewangan 1997. Walaupun kebanyakan kegagalan ini terbit daripada tadbir urus korporat yang lemah dan pelanggaran undang-undang, pada asasnya, ia dibawa oleh kegagalan etika mereka yang terlibat.


7. Etika dan kesusilaan melibatkan norma-norma kelakuan serta kelaziman pentadbiran diri. Justeru, ketika pihak pengawalselia boleh membangunkan satu rangkakerja perundangan dan institusi yang kukuh untuk menguatkuasakan akauntabiliti dan tanggungjawab dan memastikan amalan tadbir urus korporat yang baik, mereka tidak boleh menggubal etika dan kadar moral.


8. Seseorang yang beretika dan seseorang yang mematuhi undang-undang, ada perbezaannya. Undang-undang tidak dapat mengenal pasti kesemua bentuk etika kerana berkelakuan etika bukan sahaja memerlukan seseorang itu mengelak dari melakukan perkara yang salah tetapi juga melakukan perkara yang betul.


Tuan-tuan dan Puan-puan


Perlunya Etika dalam Pasaran, Syarikat dan Pengawalseliaan


9. Walaupun penguatkuasaan undang-undang boleh membantu untuk memperbaiki kelakuan dan mengenakan humuman yang berat kepada mereka yang bersalah, nilai, etika dan kesusilaanlah sebenarnya yang dapat mengelakkan daripada berlakunya sifat tamak dan materialisme yang ketara di dalam masyarakat perniagaan. Oleh itu pendekatan dalam meningkatkan kesedaran bagi mewujudkan tadbir urus korprat yang baik hendaklah berpandukan kepada pendekatan pelbagai disiplin (“multidisciplinary approach”) iaitu displin pasaran, displin diri dan disiplin pengawalseliaan.


Disiplin Pasaran


10. Proses pembentukan modal bergantung kepada keyakinan pelabur ke atas integriti dan keadilan pasaran modal dan juga kepada cara sesebuah pasaran berfungsi. Sekiranya pihak pelabur merasakan hak mereka tidak dilindungi, mereka akan mengelak dari menyertai pasaran tersebut.


11. Dengan adanya disiplin pasaran, syarikat-syarikat akan mendapat perangsang untuk menjalankan perniagaan dengan jujur dan cekap. Oleh itu, penilaian pasaran ke atas prestasi sesebuah syarikat perlu digambarkan melalui harga saham syarikat tersebut, serta tarafan kreditnya. Syarikat yang gagal ujian ini akan mengalami kesulitan untuk menjana modal baru.


12. Sebagai contoh, harga saham sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang telah gagal melakukan penzahiran mandatori seperti yang dikehendaki oleh undang-undang sekuriti telah menjunam sebanyak 48% dalam masa lapan hari walaupun pada tempoh yang sama, indeks komposit BSKL (KLCI) jatuh sebanyak 14.5%. Sebuah lagi syarikat yang menjalankan transaksi pinjaman dengan pihak berkaitan (“related party transaction”) telah mengalami kejatuhan harga saham sebanyak 33% dalam masa lapan hari manakala pada tempoh yang sama KLCI hanya jatuh sebanyak 7%.


Contoh-contoh ini jelas menunjukkan peningkatan kesedaran dan tindakbalas pasaran terhadap aktiviti-aktiviti yang tidak jujur serta pengurusan yang tidak beretika yang telah memusnahkan nilai pelabur.


13. Walaubagaimana pun, ini tidak selalunya berlaku kepada pasaran yang berfungsi dengan kurang baik. Krisis kewangan Asia 1997 membuktikan kesan pasaran yang gagal bertindak dan menghukum syarikat yang lemah tadbir urus korporatnya. Apabila ini berlaku, maka perlunya pihak pengawalselia untuk masuk campur bagi meningkatkan tahap tadbir urus korporat bagi memastikan pasaran yang adil, cekap dan telus, serta mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kegagalan yang berlaku.
14. Namun petunjuk harga dan tarafan kredit adalah hanya satu aspek disiplin pasaran. Ianya perlu disokong oleh tindakan aktivis pemegang saham. Pelabur institusi terutamanya memiliki kebolehan, malah tanggungjawab, bagi menentukan supaya pengurusan bertanggungjawab di atas kegagalan mengurus dan mentadbir dengan betul.


15. Pembangunan masyarakat pemegang saham yang matang dan aktif merupakan satu cabaran kepada Malaysia. Pemegang saham minoriti di Malaysia (malah di Asia) pada umumnya adalah pasif, mengutamakan pendekatan keluar daripada bersuara atau “exit over voice”. Sebaliknya, evolusi tadbir urus korporat di dunia Anglo-Amerika menunjukkan dana-dana pencen dan institusi-insitusi pelabur besar mereka telah menggunakan pengaruh dan kuasa mereka bagi memastikan kelakuan korporat yang wajar.


16. Adalah diharapkan dengan penubuhan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) dapat menggalakkan penyertaan proaktif oleh pelabur–pelabur institusi di dalam bidang tadbit urus korprat untuk meningkatkan ketelusan serta nilai pelaburan dalam jangka masa panjang.


Disiplin Syarikat (sendiri)


17. Disiplin tadbir urus korporat juga bergantung kepada etika dan integriti dalam syarikat, atau dengan perkataan lain, disiplin diri oleh pihak pengurusan.


18. Tadbir urus korporat yang baik bermula daripada bilik lembaga pengarah sendiri. Adalah penting bagi sesebuah syarikat untuk memiliki ahli pengarah bebas yang kukuh. Bebas dalam konteks ini bermakna bebas daripada pengaruh pengurusan dan bebas daripada sebarang hubungan perniagaan yang boleh mempengaruhi seseorang pengarah itu apabila membuat sesuatu keputusan. Oleh itu, Peraturan Penyenaraian BSKL (“KLSE Listing Rule”) dan Kod Tadbir Urus Korporat memerlukan satu per tiga daripada ahli lembaga pengarah terdiri daripada pengarah-pengarah bebas. Namun, perlu diingatkan bahawa walaupun integriti dan kejujuran dikehendaki di setiap peringkat di dalam sesebuah organisasi, kesudahannya terletak kepada Ketua Eksekutifnya (CEO) yang perlu memainkan peranan sebagai “role model” dalam mempamerkan dan menyampaikan nilai-nilai yang wajar kepada yang lain. Peranan lembaga pengarah dan Ketua Eksekutif terutamanya telah mendapat perhatian yang serius sejak krisis korporat Amerika Syarikat yang berlanjutan dan juga krisis Asia 1997. Alan Greenspan, Pengerusi Federal Reserve semasa memberi keterangan di Dewan Rakyat Amerika Syarikat baru-baru ini menyatakan: “Saya telah benar-benar menyedari betapa pentingnya apa yang difikirkan dan dibuat oleh seseorang Ketua Eksekutif di dalam soal tadbir urus…. sebenarnya Ketua Eksekutif itu adalah fulkrum tadbir urus korporat. “


19. Undang-undang menetapkan agar pihak pengarah bertindak secara jujur dan tekun pada setiap masa di dalam menjalankan tugas-tugas mereka.


20. Kod Tadbir Urus Korporat pula menumpukan perhatian terhadap keperluan bagi pegawai-pegawai utama syarikat tersenarai bertanggungjawab dan telus dalam menjalankan tugas-tugas mereka. Ini termasuk menentukan integriti sistem kawalan dalaman syarikat dan sistem pengurusan maklumat termasuk pematuhan undang-undang.


21. Walaubagaimana pun, adalah penting diingatkan bahawa ketika kita boleh menggubal undang-undang memperuntukkan kebebasan lembaga pengarah dari segi kerakraban dan hubungan mereka dengan syarikat, kita tidak boleh mengawalselia kebebasan berkaitan dengan pemikiran mereka. Sebagai contoh, apabila pengarah bebas begitu rapat dengan syarikat atau Ketua Eksekutifnya tetapi dalam bentuk yang tidak begitu ketara sehingga boleh dikaitkan dengan definisi undang-undang mengenai kebebasan pengarah, maka pengarah-pengarah ini tidak boleh lagi dianggap pengarah bebas. Oleh itu, etika memainkan peranan penting dalam memberi panduan kepada kelakuan yang jujur dan betul.


Disiplin Pengawalseliaan


22. Seperti yang kita maklum, tiga objektif utama pengawalseliaan pasaran modal ialah (1) perlindungan pelabur, (2) memastikan pasaran yang adil, cekap dan telus, dan (3) pengurangan risiko sistemik.


23. Apabila etika dalam pasaran gagal, apa yang boleh menghalang sebarang bentuk penipuan dalam pasaran modal ialah penguatkuasaan yang efektif. Di Malaysia, pengawalseliaan pasaran modal dijalankan bersama oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC), Polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Justeru, adalah perlu untuk agensi-agensi tersebut terus bekerjasama dengan baik dalam meningkatkan usaha-usaha penguatkuasaan.


24. Undang-undang hanya akan berkesan jika pihak pengawalselia menjalankan penguatkuasaan dengan adil dan konsisten dan menangani pelanggaran undang-undang dengan pantas supaya pelabur dan integriti sistem pasaran dapat dilindungi.


25. Pengawalseliaan walau bagaimanapun datang dengan kosnya. Kecenderungan untuk bertindak secara berlebihan di waktu berlakunya sesuatu krisis dengan menambahkan lagi undang-undang dan peraturan hendaklah diurus dengan betul. Perlu dipastikan bahawa keperluan penguatkuasaan tidak diiringi dengan pengawaseliaan berlebihan. Malah, SC mengamalkan falsafah “no more regulation than necessary.”


Hadirin sekalian,


Penzahiran dan Ketelusan dalam Tadbir Urus Korporat


26. Dalam proses meningkatkan pelbagai disiplin seperti yang saya huraikan tadi ke arah mewujudkan etika dan moral yang baik, aktiviti penzahiran dan ketelusan (disclosure and transparency) merupakan satu elemen pembangunan yang penting dan kritikal.


27. Penzahiran yang tinggi dalam aktiviti-aktiviti korporat melalui penzahiran yang sesuai dan berkaitan adalah penting dalam mengekalkan daya tarikan pelabur kepada syarikat-syarikat tersenarai dan memastikan pasaran modal yang kental dan kukuh.


28. Namun adalah sukar untuk bercakap tentang penzahiran korporat tanpa mengambil kira elemen-elemen lain yang perlu menjadi rakan kepada penzahiran seperti pengawalseliaan dan penguatkuasaan yang kukuh, tindakan aktivis pemegang saham dan pengurusan yang profesional dan beretika seperti yang telah saya huraikan tadi.


29. Pada persekitaran yang memerlukan penzahiran dan ketelusan yang tinggi terutamanya apabila pasaran beralih kepada regim berasaskan penzahiran (DBR), akauntabiliti dan peningkatan tahap profesionalisme penasihat korporat dan ahli-ahli profesional yang berkaitan adalah semakin mencabar dan diperlukan. Akauntabiliti mereka adalah sama kritikalnya dengan akauntabiliti pengarah dan pengurusan syarikat.


30. Kaji selidik oleh McKinsey pada tahun 2000 mendapati kebanyakan pelabur sanggup membayar harga yang lebih tinggi untuk saham-saham syarikat yang mengamalkan tadbir urus korporat yang baik daripada saham-saham syarikat yang ditadbir urus dengan lemah, walaupun prestasi kewangan kedua-dua adalah sama.


31. Selain daripada itu, pengamalan standard penzahiran yang tinggi akan memberi manfaat kepada syarikat-syarikat, terutamanya semasa persekitaran pasaran yang tidak menentu. Sebagai contoh, kajian terbaru ke atas hampir 400 buah syarikat di Asia Tenggara oleh Todd Miton dalam Journal of Financial Economics mendapati mutu penzahiran yang tinggi menunjukkan prestasi harga saham yang lebih baik semasa Krisis Kewangan Asia 1997 – 1998.


Langkah-langkah meningkatkan Tadbir Urus Korporat di Malaysia


32. Usaha-usaha pembaharuan dalam bidang tadbir urus korporat telah diberi penekanan lebih mendalam apabila krisis kewangan Asia berlaku. Ini bermula dengan pewujudan Jawatankuasa Tahap Tertinggi Kewangan untuk Tadbir Urus Korporat pada tahun 1998 dan penerbitan Laporan Jawatankuasa Kewangan ke atas Tadbir Urus Korporat pada tahun 1999 dengan lebih 70 cadangan khusus.


33. Setelah hampir empat tahun Laporan Jawatankuasa Kewangan ke atas Tadbir Urus Korporat diterbitkan, sebahagian besar daripada cadangan telah dilaksanakan dan dicapai seperti (i) penerbitan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia, (ii) pemindaan menyeluruh ke atas undang-undang, peraturan dan pengawalseliaan untuk mengukuhkan rangkakerja pengawalseliaan, (iii) meningkatkan langkah-langkah latihan dan pendidikan agen-agen tadbir urus korporat di segenap peringkat, (iv) menubuhkan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) dan (v) mengenalkan garispanduan fungsi juruaudit dalaman untuk syarikat tersenarai (PLCs). Terbaharu pada tahun ini ialah pindaan dan pembaharuan ke atas peraturan dan garispanduan berkaitan industri sekuriti seperti keperluan meningkatkan penzahiran dalam prospektus dan permohonan korporat.


34. Usaha-usaha untuk meningkatkan tadbir urus korporat tidak berakhir dengan Laporan Jawatankuasa Kewangan ke atas Tadbir Urus Korporat. Untuk langkah jangka panjang, Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) telah dibentuk pada awal 2001 untuk membangunkan agenda tadbir urus korporat dalam beberapa bidang utama seperti penggalakkan aktivisme pemegang saham, meningkatkan standard perlindungan pelabur dalam urus niaga pihak berkaitan, dan meningkatkan kesedaran dan akauntabiliti pengarah syarikat, pengawal kewangan dan pengurusan, dan juga memperkukuhkan peranan juruaudit syarikat tersenarai.


Tan Sri Tan Sri, Dato’ Dato’ dan hadirin sekalian,


Penutup


35. Untuk terus maju ke hadapan, nilai-nilai utama yang menjadi pendasar kepada tadbir urus korporat yang baik seperti layanan saksama, tanggungjawab, ketelusan dan akauntabiliti perlu diselami oleh semua pihak yang terbabit, bukan sahaja di peringkat organisasi tetapi juga di setiap peringkat individu. Justeru, seperti pengarah yang memiliki akauntabiliti kepada pemegang saham, badan-badan profesional juga memiliki tugas yang sama untuk melindungi kepentingan awam; justeru mereka juga tertakluk kepada pelbagai kod profesional dan etika peribadi yang menuntut objektiviti dan integriti pada tahap tertinggi.


36. Nilai-nilai asas seperti ketelusan dan akauntabiliti bukanlah suatu perkara yang baru dan asing dalam Islam. Nilai-nilai ini tidak muncul dengan tiba-tiba hanya kerana adanya skandal-skandal korporat yang telah berlaku. Sememangnya nilai-nilai ini telah tercatat dalam al-Quran dan al-Sunnah di mana setiap tingkah laku seseorang sememangnya perlu berlandaskan kepada kedua-dua sumber ini kerana ini adalah panduan kepada manusia dalam menjalankan tanggungjawab kita.


37. Saya percaya bahawa dalam persekitaran yang semakin mencabar yang akan membezakan di antara kejayaan dan sebaliknya adalah nilai pengurusan beretika. Ini adalah kerana etika itu tidak hanya melarang kita dari melakukan perkara-perkara yang ditegah tetapi menggalakkan kelakuan yang terpuji.



Sekian, terima kasih.


 




 




 




 




SURUHANJAYA SEKURITI