Seminar Wanita dan Perancangan Kewangan


Ucapan Aluan
YBhg Datin Zarinah Anwar
Timbalan Ketua Eksekutif, Suruhanjaya Sekuriti

10 Jun 2003
Hotel Heritage, Ipoh, Perak



Pengerusi Majlis
Yang Berhormat Dato’ Hajjah Mazidah Haji Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak
Yang Berbahagia Datin Hajjah Noriah Haji Zakaria, Pengerusi USAHANITA
En. Shahidan bin Haji Yusoff, Pengarah, Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak
En. Abdul Rahman bin Mat Nordin, Penolong Pengarah,Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak
Puan-puan Ahli SRIKANDI dan para peserta seminar
Tetamu jemputan


Pengenalan


Assalamu`alaikum dan salam sejahtera.


1. Selamat datang ke seminar “Wanita dan Perancangan Kewangan” anjuran bersama bahagian pendidikan Suruhanjaya Sekuriti (SC), yang lebih dikenali sebagai Pusat Perkembangan Industri Sekuriti atau SIDC dan Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Hajjah Mazidah Haji Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Perak Darul Ridzuan atas kesudian beliau merasmi dan seterusnya melancarkan siri seminar “Wanita dan Perancangan Kewangan” SC dan Kementerian. Malahan bandaraya Ipoh merupakan tempat pertama kami menganjurkan seminar ini pada tahun ini. SC dan Kementerian merancang untuk mengadakan tiga lagi seminar sebegini untuk tahun ini iaitu satu di Alor Star yang akan diadakan pada bulan Julai dan seterusnya di Kuching sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada bulan September.


Faktor Pendorong Penganjuran Seminar “Wanita dan Perancangan Kewangan”


Puan-puan yang saya hormati,


2. Sejak penubuhannya pada tahun 1993, SC sentiasa menghargai penglibatan kaum wanita dalam pasaran modal Malaysia. Minat serta keprihatinan kaum wanita terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pasaran modal, atau lebih khususnya pasaran saham, penabungan dan pengurusan kewangan, sangat kami kagumi dan merupakan sifat wanita yang harus dibanggakan. Kami perhatikan bahawa sambutan yang diberikan oleh kaum wanita terhadap setiap program latihan yang dianjurkan oleh SC adalah menggalakkan sekali. Sebagai contohnya, pada Ogos tahun lepas, semasa kami mengadakan program seumpama ini di Kuala Lumpur, sambutan yang diberikan oleh wanita dari pelbagai lapisan, latar belakang dan peringkat umur sangat memberangsangkan. Ini secara tidak langsung telah mendorong kami untuk terus menganjurkan siri bertemakan perancangan kewangan khusus untuk wanita Malaysia. Saya yakin minat mendalam wanita terhadap perancangan kewangan dan juga tahap kesedaran wanita yang tinggi terhadap kepentingan memahami konsep perancangan kewangan berbangkit daripada kesedaran di kalangan kita bahawa masa depan yang lebih selesa untuk diri sendiri dan juga keluarga bergantung kepada betapa pekanya kita terhadap hal-hal pengurusan kewangan. Oleh itu, untuk mengekalkan momentum ini, SC dan Kementerian bercadang untuk menyambung siri seminar ini di bandar-bandar lain di seluruh negara mulai tahun 2004.


3. Melalui siri seminar seumpama ini, SC dan Kementerian juga dapat menyalurkan maklumat berkenaan dengan perkembangan ekonomi dan pasaran modal untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan kesedaran kaum wanita. Saya percaya bahawa wanita mempunyai kebolehan tertentu untuk menjadi agen perubahan pemikiran masyarakat dalam pelbagai bidang. Oleh demikian, sekiranya wanita lebih arif tentang hal-hal kewangan, sudah tentulah mereka akan dapat mempengaruhi bukan sahaja keluarga dan saudara terdekat, malahan masyarakat setempat.


Perkembangan Pengurusan Pelaburan


Puan-puan sekalian,


4. Untuk membentuk pasaran modal yang kukuh, antara fakta yang penting, ialah kewujudan industri pengurusan pelaburan yang mantap dan berpotensi untuk berkembang secara teratur dan tersusun. Dalam hal ini, dua keperluan ialah:




  • pewujudan persekitaran yang mana peraturan dan perundangan adalah jelas untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan firma dan pelabur




  • daya saing pasaran yang tinggi serta keupayaan peserta pasaran untuk menyesuaikan kedudukan masing-masing apabila menghadapi perubahan. Ini memerlukan peserta pasaran yang berpengetahuan dan mampu menggunakan maklumat dengan bijak. Justeru itu, SC sentiasa menekankan aspek pendidikan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan peserta pasaran supaya mereka berupaya membuat keputusan yang sesuai dengan keadaaan semasa.





5. SC yakin pendekatan terbaik untuk mengukuhkan industri pelaburan di negara kita adalah melalui pendekatan menyeluruh dan berhemat. Selaras itu, semua usaha untuk memajukan industri perancangan kewangan perlu berteraskan penggabungan keperluan pihak berkuasa dan keinginan para pelabur.


Perancang Kewangan di Malaysia


Puan-puan sekalian,


7. Perancangan kewangan antara lain memerlukan kita menetapkan matlamat dan punca penabungan, reka bentuk pelan kewangan kita, dan ketabahan untuk melaksanakan pelan kewangan kita bagi jangka masa yang panjang. Kita juga harus menyemak dan mengubahsuai pelan kewangan kita secara berterusan kerana keadaan dan perkembangan masa memerlukan pelan kewangan yang boleh diubahsuai untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.


8 Untuk makluman puan-puan, di negara kita telah wujud perancang kewangan atau financial planners yang boleh memberi nasihat kepakaran bagaimana hendak merancang kewangan kita untuk mencapai masa depan yang lebih selesa. Perancang kewangan ini menyediakan nasihat profesional kepada pelabur secara menyeluruh mengenai hal ehwal kewangan peribadi. Ia merupakan, penghubung penting antara pelabur dan pelbagai produk dalam pasaran modal. Pembangunan industri perancangan kewangan di Malaysia pada masa sekarang telah menggalakkan lagi pengurusan kekayaan di kalangan semua golongan pelabur termasuk pelabur runcit. Kini semakin ramai pelabur menggunakan perkhidmatan perancang kewangan termasuk suri rumah, para pekerja, mahu pun golongan profesional. Jika dilihat dari statistik industri pengurusan pelaburan, sehingga akhir 2002, kita mempunyai 79 buah syarikat pengurusan dana dan 38 buah syarikat pengurusan dana amanah dengan nilai dana melebihi RM 75 billion.


9. Dalam usaha membangunkan industri perancangan kewangan di Malaysia, SC turut mempelajari dari negara-negara lain yang mempunyai pengalaman yang lebih lama dalam bidang ini dan dengan yang demikian mempunyai industri pengurusan pelaburan yang jauh lebih matang. Contohnya, kita perlu awasi supaya industri kita tidak terbabit dalam amalan kurang sihat yang mana pakar perancang kewangan mengenakan yuran yang tinggi kepada pelanggan tanpa mengimbangi bayaran dengan pelan kewangan yang berkesan. Kita juga perlu berhati-hati agar pakar perancang kewangan tidak berada dalam keadaan konflik kepentingan dan terlalu cenderung menjaja produk-produk tertentu. Oleh itu, kita perlu pastikan rangka kawalselia yang digubal adalah lebih dinamik dan berupaya mengenakan tindakan cepat ke atas sebarang perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam industri perancangan kewangan .


10 Menyedari hakikat ini, SC kini sedang meneliti rangka perlesenan dalam industri pasaran modal untuk memastikan tahap dan peraturan adalah sama rata untuk menjamin keutuhan pasaran dan perlindungan pelabur. SC akan berusaha memastikan penasihat-penasihat dan perancang-perancang kewangan adalah profesional, yakni mereka adalah berkelayakan dan dilesenkan. Ini adalah kerana industri ini memerlukan profesional yang berhemah tinggi, beretika dan sentiasa mengutamakan keperluan pelanggan dengan memberi perkhidmatan nasihat yang berkualiti, rasional dengan mengambilkira pelbagai aspek termasuk kedudukan kewangan dan profil risiko pelanggan. Sekiranya puan-puan ingin menggunakan nasihat mereka yang mengakui diri mereka sebagai pakar, pastikanlah mereka telah berdaftar atau telah dilesenkan oleh pihak berkuasa. Untuk mengetahui sesorang individu itu berlesen atau tidak, puan-puan mestilah meminta individu tersebut menunjukkan lesennya yang sah. Di samping itu, semua senarai syarikat perantara yang dilesenkan oleh SC boleh didapati di laman web SC.


Mengelak Penipuan: Syarikat Indeks/ Komoditi Lani Haram


Puan-puan yang dihormati sekalian,


11. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menyentuh sedikit tentang aktiviti dagangan komoditi dan indeks lani haram. Saya ingin menjelaskan kepada puan-puan bahawa skim syarikat dagangan komoditi dan indeks lani yang tidak dilesenkan oleh SC ialah skim penipuan. Skim-skim ini biasanya menggunakan teknik yang amat canggih, dan kadangkala agak sukar untuk mengenali mereka. Walau bagaimanapun, puan-puan boleh mengenali mereka daripada ciri-ciri berikut:




  • Kebanyakan syarikat sedemikian mendakwa bahawa mereka ialah “ejen” bagi syarikat dagangan asing, yang biasanya ditubuhkan di bawah bidang kuasa seperti Macau, Indonesia, Singapura, Hong Kong, Kepulauan British Virgin dan Bahamas.



  • Walaupun mereka mendakwa memperdagangkan produk mereka dalam pasaran asing tersebut, mereka selalunya tidak mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan dagangan ini disalurkan kepada bursa-bursa niaga hadapan asing.



  • Syarikat-syarikat ini kerap meletakkan iklan pengambilan kakitangan bagi jawatan seperti eksekutif, pembantu pentadbir atau kerani. Calon-calon dijanjikan gaji yang lumayan dan mereka yang berjaya, akan diberi ” latihan” singkat. Pada akhir latihan tersebut, kakitangan ini akan digalakkan untuk melabur simpanan mereka dalam produk indeks/komoditi lani serta menarik pelabur baru yang selalunya terdiri daripada saudara-mara dan rakan-rakan mereka. Dalam beberapa kes, kakitangan tersebut diugut tidak akan diberi gaji sehingga mereka melabur wang mereka atau membawa masuk pelabur baru.



  • Berpandukan pengalaman mangsa, bayaran permulaan yang dipanggil “deposit margin” selalunya akan habis dalam masa beberapa hari, yang mengakibatkan “panggilan margin”. Panggilan margin merupakan permintaan syarikat daripada pelanggan mereka untuk meletakkan deposit tambahan untuk meneruskan dagangan. Syarikat tersebut selalunya menggalakkan para pelabur untuk terus membuat dagangan untuk menampung kerugian mereka. Pelabur yang terpedaya akan membuat deposit tambahan dan proses tersebut akan berulang dan mengakibatkan kerugian yang meningkat kepada pelabur.


  • Sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menipu para pelabur, kadangkala syarikat tersebut akan menunjukkan beberapa keuntungan dagangan dalam akaun pelabur. Walau bagaimanapun, pelabur akan mendapati bahawa mereka tidak boleh menunaikan keuntungan tersebut. Akhirnya, pelabur kehilangan kesemua pelaburan mereka.

12. Pada tahun 2002 sahaja, pihak SC telah menerima 236 aduan berkenaaan dengan skim-skim ini. Kami juga telah membuat serbuan ke atas lapan buah syarikat yang mengendalikan skim ini dan enam orang telah didakwa di mahkamah. Malangnya skim ini terus popular di golongan tertentu rakyat Malaysia. Dengan tawaran pendapatan yang lumayan, ramai pelabur telah menjadi mangsa dan kehilangan beribu-ribu ringgit sehingga ada yang telah menggadai dan menjual harta benda. Saya percaya, walaupun undang-undang dan penguatkuasaan sering dijalankan, selagi ada permintaan yang tinggi dari masyarakat kita selagi itulah skim penipuan ini akan terus wujud. Oleh itu, kita perlukan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman untuk mengelak daripada menjadi mangsa skim-skim cepat kaya yang sebenarnya membuat kita cepat papa. Perlu diingati bahawa untuk menjadi kaya kita perlu menabung, merancang kewangan kita dan bekerja keras. Tidak ada jalan pintas untuk kita mencapai keselesaan kewangan.


Aktiviti Pendidikan Pelabur




13. Oleh itu, SC akan terus menekankan agenda pendidikan pelabur kerana kami percaya pengetahuan adalah kunci kepada keupayaan para pelabur dan ia merupakan pertahanan terbaik daripada ditipu atau mengalami kegagalan dalam pasaran modal. Seminar pada hari ini adalah salah satu daripada program pendidikan yang kami anjurkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelabur mengenai perancangan kewangan. Selain itu, melalui SIDC, SC akan menganjurkan roadshow pendidikan pelabur, seminar, persidangan, bengkel-bengkel dan pameran-pameran pendidikan setiap tahun. Untuk pengetahuan puan-puan semua, bersesuaian dengan kecanggihan teknologi masa kini, pada tahun 2002, SIDC telah melancarkan laman web Pelabur Malaysia (http://www.min.com.my/). Laman web ini mengandungi maklumat berguna kepada mereka yang berminat untuk belajar asas perancangan kewangan dan pelaburan. Laman ini juga boleh membantu pelabur memahami jenis-jenis pelaburan termasuklah, risiko dan pulangan setiap jenis pelaburan. Bagi kami di SC, pelbagai kaedah dan saluran pendidikan akan digunakan untuk memberi pendidikan kepada seramai mungkin pelabur dan bakal pelabur dalam negara kita agar mereka dapat membuat perancangan dan tindakan yang lebih baik.


Penutup


Puan-puan sekalian,


14. Untuk mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya ingin berpesan bahawa amat penting bagi kita semua memahami asas perancangan kewangan supaya kita dapat merancang kewangan kita dengan betul dan teratur. Penceramah yang bakal membentang kertas masing-masing memang arif dan pakar dalam bidang masing-masing, berpengetahuan dan berpengalaman luas. Mereka datang ke Ipoh untuk berkongsi pengalaman dan pendapat mereka mengenai perancangan kewangan. Jadi, saya harap puan-puan semua akan mengambil peluang untuk menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan melibatkan diri secara aktif dalam perbincangan untuk meningkatkan pemahaman mengenai perancangan kewangan.



Sekian. Terima kasih dan wassalam.




 




 




 




SURUHANJAYA SEKURITI