Ucapan oleh

YBhg Dato’ Zarinah Anwar
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti

Di Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun ke-10
Majlis Penasihat Syariah (MPS) dan Pelancaran Buku
Keputusan Majlis Penasihat Syariah
Suruhanjaya Sekuriti Edisi Kedua”


11 September 2006


Bismillahirrahmanirrahim,


Yang Berhormat Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan Kedua
Yang diraikan ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sejahtera.


1. Terlebih dahulu, saya bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti, Ahli Majlis Penasihat Syariah dan para tetamu ingin mengalu-alukan kehadiran Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan Kedua pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke sepuluh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Saya juga berbesar hati di atas kehadiran para tetamu kehormat yang turut sudi melapangkan masa untuk bersama-sama kita pada malam ini.


Para hadirin sekalian,
2. Pada malam ini kita berkumpul untuk meraikan ulang tahun ke sepuluh penubuhan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti dan juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada ahli-ahli dan juga bekas ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti di atas sumbangan besar yang telah diberikan kepada industri pasaran modal Islam Malaysia semenjak 10 tahun yang lalu. Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti merupakan Majlis Penasihat Syariah yang pertama ditubuhkan di dunia secara rasmi di peringkat badan pengawalselia. Saya percaya Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti telah menjadi sebuah badan yang mantap dalam usaha memajukan pasaran modal Islam negara. Ini memandangkan Suruhanjaya Sekuriti telah menggabungkan pakar-pakar dari pelbagai bidang seperti Syariah, perundangan, ekonomi dan akademik.


3. Semenjak awal penubuhan Suruhanjaya Sekuriti (SC), kami menyedari betapa pentingnya pasaran modal Islam Malaysia untuk dibangunkan sebagai satu komponen strategik pasaran modal tempatan. Oleh itu, SC telah menubuhkan Kumpulan Penyelidikan Instrumen Islam (KPII) pada 1994. Walau bagaimanapun, memandangkan keperluan mewujudkan satu badan yang lebih formal untuk membuat keputusan dengan lebih mantap berkaitan pasaran modal Islam, maka Majlis Penasihat Syariah telah ditubuhkan pada tahun 1996 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Sukacita saya maklumkan bahawa Yang Berhormat Tan Sri Nor Mohamed Yakcop adalah merupakan antara ahli Majlis Penasihat Syariah yang terawal.


4. Dalam tempoh 10 tahun yang lepas, apabila pasaran modal Islam mula dibangunkan, isu-isu yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah banyak menjurus kepada pematuhan produk-produk pasaran modal sedia ada dan baru untuk keperluan para pelabur tempatan. Walau bagaimanapun, selepas satu dekad berlalu, kita melihat pasaran modal Islam di Malaysia telah berkembang dengan pesat.


5. Antara faktor penyumbang kepada perkembangan tersebut ialah kemasukan perantara kewangan dan pelabur luar ke negara ini. Begitu juga dengan pengenalan produk-produk baru seperti dana hartanah Islam (REIT Islam) dan Kontrak Niaga Hadapan Saham Tunggal (Single Stock Futures). Justeru, pendekatan proaktif Majlis Penasihat Syariah terhadap perubahan yang berlaku dapat menjadikannya lebih berkesan dan bermakna.


Para hadirin sekalian,


6. Majlis Penasihat Syariah telah banyak membantu dalam memastikan perkembangan pasaran modal Islam terutamanya dari aspek pematuhan Syariah, supaya teratur dan mantap. Kini, peranan penting Majlis Penasihat Syariah sebagai pusat rujukan berkaitan pasaran modal Islam telah mendapat pengiktirafan yang tinggi di kalangan peserta dan para pelabur pasaran modal di peringkat domestik juga antarabangsa.


7. Penerimaan dan pengiktirafan yang diberikan ini adalah kerana komitmen ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah yang berterusan melalui perbincangan yang aktif. Sehingga kini, sebanyak 84 mesyuarat bulanan dan khas telah diadakan selain daripada penyertaan Majlis Penasihat Syariah dalam seminar, dialog dan persidangan antarabangsa yang turut menyumbang ke arah meningkatkan kesedaran dan kefahaman pihak industri di peringkat tempatan dan antarabangsa tentang pasaran modal Islam Malaysia.


8. Secara khususnya, sumbangan Majlis Penasihat Syariah dalam pembangunan pasaran modal Islam Malaysia dapat dilihat dalam penerbitan senarai sekuriti patuh Syariah oleh SC sejak 1997. Senarai tersebut merupakan pemangkin untuk perkembangan produk dan perkhidmatan patuh Syariah seperti dana amanah Islam, Indeks Syariah Kuala Lumpur (KLSI), pengurusan dana Islam, perkhidmatan pembrokeran Islam dan lain-lain. Selain daripada itu, penerbitan Garis Panduan Sekuriti Islam pada tahun 2004 dan Garis Panduan REIT Islam pada tahun 2005 adalah hasil dari kerjasama yang erat antara SC dan Majlis Penasihat Syariah. Kedua-dua garis panduan ini bukan sahaja telah memudahcarakan penerbitan produk-produk baru di Malaysia tetapi telah menjadi rujukan oleh negara-negara lain dalam membangunkan pasaran modal Islam mereka. Khidmat nasihat dan kepakaran ahli Majlis Penasihat Syariah turut memainkan peranan penting dalam pembangunan produk-produk seperti REIT Islam, sukuk dan lain-lain.


9. Sesunguhnya, produk-produk pasaran modal Islam Malaysia telah dapat menarik perhatian para pelabur dan penerbit. Dana amanah Islam umpamanya telah menunjukkan perkembangan yang pesat dan dijangkakan akan terus berkembang. Dari tahun 1992 sehingga 2005, nilai asset bersih (NAV) dana amanah Islam telah mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (Compounded Annual Growth Rate) sebanyak 59%. Bagi setengah tahun pertama 2006, NAV dana amanah Islam terus berkembang kepada RM8.6 billion atau 8.1% berbanding NAV keseluruhan industri dana amanah. Bagi pasaran bon pula, statistik menunjukkan bilangan penerbitan bon Islam melebihi penerbitan bon konvensional dengan saiz penerbitan bernilai RM15.9 billion atau 53% daripada nilai keseluruhan bon yang diluluskan oleh SC.


10. Walau bagaimanapun, pasaran modal Islam tidak akan mencapai tahap kejayaan sekarang tanpa sokongan dan penyertaan peserta pasaran termasuk penasihat Syariah di peringkat industri. Mereka adalah pelengkap dalam memberi khidmat nasihat dalam hal-hal yang berkaitan dengan pematuhan Syariah kepada industri. Kita menghargai kepakaran dan penglibatan penasihat Syariah industri seperti dalam dana amanah Islam, REIT Islam, bon Islam dan lain-lain.


Para hadirin sekalian,


11. Pada malam ini, pihak SC sangat bertuah dan berbangga atas kesudian Yang Berhormat Menteri Kewangan Kedua untuk merasmikan sebentar lagi sebuah penerbitan SC iaitu KEPUTUSAN MAJLIS PENASIHAT SYARIAH SURUHANJAYA SEKURITI edisi kedua”. Pelancaran Buku ini yang mengandungi keputusan Majlis Penasihat Syariah yang telah dikumpulkan juga merupakan suatu bentuk pengiktirafan kepada Majlis Penasihat Syariah daripada pihak SC.


12. Untuk pengetahuan para hadirin sekalian, SC telah pertama kali menerbitkan buku Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti pada tahun 2002. SC menganggap usaha ini amat penting kerana dengan penyebaran maklumat kita akan dapat memantapkan lagi kefahaman peserta pasaran khususnya dan orang ramai amnya tentang pasaran modal Islam Malaysia.


13. Sebagai penutup, saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan di atas kerjasama yang telah diberikan oleh kesemua Ahli Majlis Penasihat Syariah dahulu dan sekarang kepada Suruhanjaya sepanjang sedekad yang lalu dalam melaksanakan wawasan Kerajaan yang dikongsi bersama bagi pasaran modal Islam Malaysia. Kepada Yang Berhormat Tan Sri Nor Mohamed, ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah yang diraikan dan kesemua tetamu kehormat, diucapkan terima kasih kerana sudi bersama kami dan selamat menikmati hidangan yang disediakan pada malam ini.


Sekian,
Wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh