Ucapan Perasmian
Oleh
Tan Sri Md Nor Yusof
Pengerusi, Suruhanjaya Sekuriti
Di Majlis Pelancaran Kempen IQ Bijak Labur


4 Oktober 2005


Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur


“PENDIDIKAN PELABUR TANGGUNG JAWAB BERSAMA”


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi


Hadirin yang saya hormati,


1. Terlebih dahulu, saya ingin mengalu-alukan kedatangan hadirin sekalian ke majlis pelancaran Kempen IQ Bijak Labur pada pagi ini. Saya amat berbangga dengan sokongan dan kehadiran semua ke majlis ini dan berharap sokongan sebegini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.


Latarbelakang Kempen IQ Bijak Labur


2. P asaran modal kita semakin berkembang dan kini jauh lebih kompleks berbanding pada masa lalu. Oleh itu, sebagaimana yang hadirin sediamaklum, pelbagai perubahan telah berlaku di pasaran modal Malaysia termasuklah pengenalan produk-produk baru, perkhidmatan pelaburan baru serta pegenalan peraturan-peraturan yang baru. Kesemua perkembangan ini secara langsung memberi kesan dan mempengaruhi setiap keputusan dan pilihan yang dibuat oleh pelabur. Justeru itu, amat penting bagi para pelabur untuk sentiasa menambah pengetahuan mereka bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang bijak dan sesuai dengan keadaan semasa. Para pelabur tidak boleh lagi mengambil sikap sambil lewa berkaitan urusan pelaburan kerana, mereka mungkin akan ketinggalan atau tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang-peluang pelaburan yang ada.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian


3. Di dorong oleh perkembangan pesat di pasaran modal dan menyedari pentingnya pelabur yang bijak dan berpengetahuan, maka Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) pada hari ini akan melancarkan Kempen IQ Bijak Labur. Kempen ini bertujuan untuk mendidik para pelabur mengenai pengetahuan-pengetahuan asas di dalam pelaburan. Sebagaimana yang tuan-tuan sedia maklum, masih ramai golongan pelabur di negara kita gemar melabur berasaskan khabar angin ataupun melabur dalam skim-skim yang menjanjikan pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat. Dengan pelancaran kempen ini dan program-program seterusnya, Suruhanjaya Sekuriti berharap sikap sebegini dapat dikikis atau diubah dan pelabur akan melabur berasaskan kepada nilai-nilai asas dan memilih pelaburan yang sesuai dengan risiko serta objektif pelaburan mereka.


4. Kempen IQ Bijak Labur ini ditujukan khas kepada semua pelabur dan bakal pelabur runcit. Oleh itu, s aya berharap orang ramai akan dapat memanfaatkan kempen ini untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat dan pengetahuan. Bagi mereka yang sedang bergiat dalam pasaran modal pula, gunakanlah peluang ini untuk mempertajamkan lagi pengetahuan pelaburan anda.


5. Selepas pelancaran kempen pada hari ini , pelbagai program susulan telah diatur dan dirancang oleh pihak Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) di seluruh negara. Oleh itu, saya menyeru semua pelabur untuk melibatkan diri dan menyertai dalam setiap program yang dianjurkan kelak. Sebagai permulaan, satu seminar bertajuk “Pelaburan Bijak Bermula Hari Ini” akan diadakan pada hari ini, sebaik sahaja selesai majlis pelancaran pada pagi ini. Di samping itu, bermula hari ini, SIDC akan mula mengedarkan buku berkenaan soalan lazim pelabur atau FAQ Booklet. Buku ini akan diedarkan secara percuma dan saya harap hadirin akan mendapatkannya dari SIDC.


Usaha mendidik pelabur tanggungjawab bersama


Hadirin sekalian,


6. Usaha untuk melahirkan pelabur yang berpengetahuan dan mengubah tabiat lama mereka bukanlah mudah. Sebab itu, Suruhanjaya sentiasa menekankan pentingnya usaha yang berterusan dan kerjasama semua pihak bagi mencapai objektif kempen ini. Justeru itu, kami di SC berharap perantara pasaran, seperti remisier, pengurus dana serta penasihat pelaburan dan agen unit amanah, persatuan-persatuan industri, badan-badan professional, badan-badan kerajaan dan swasta serta pihak media akan turut “turun padang” untuk menyokong dan memberikan kerjasama terhadap kempen ini. Dengan kerjasama semua, saya percaya bukanlah suatu perkara mustahil untuk melahirkan pelabur yang berpengetahuan dan berupaya melabur dengan cara yang betul. Pelabur berpengetahuan adalah satu aset penting di dalam pasaran modal di Malaysia.


7. Sehubungan dengan ini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan setinggi penghargaan kepada Bursa Malaysia, Persekutuan Pengurus-Pengurus Unit Amanah Malaysia (FMUTM), Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) atas kerjasama yang telah diberikan samada dalam bentuk berkongsi pandangan dan idea untuk memantapkan kempen ini. Saya berharap kerjasama ini akan dapat diteruskan dan dipertingkatkan di dalam pelaksanaan kempen ini. Bagi pihak SIDC dan SC, kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan pandangan daripada mana-mana pihak dan organisasi dalam usaha untuk menjayakan kempen ini.


Tuan tuan dan puan-puan


8. Secara umumnya, dapatlah disimpulkan bahawa pelabur yang bijak dan berpengetahuan adalah komponen utama bagi sesebuah pasaran modal yang efektif dan berdaya saing. Oleh itu, amat penting bagi semua pihak untuk sama-sama berusaha bagi mencapai tujuan ini. Kita perlu sama-sama memberi sokongan, kerjasama dan melibatkan diri dalam semua program yang dirancang dan menjadikan agenda pendidikan pelabur sebagai suatu agenda utama pasaran modal Malaysia.


9. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan segala sukacitanya merasmikan Kempen IQ Bijak Labur ini.



Sekian, terima kasih.