Ucapan Alu-aluan
oleh
YBhg Datuk Ali Abdul Kadir
Pengerusi, Suruhanjaya Sekuriti


di seminar bertajuk


“CAPITAL MARKET:THE WAY FORWARD FOR DYNAMIC ENTREPRENEURS”


28 Ogos 2003
Suruhanjaya Sekuriti



Yang Berhormat Dato’ Dr Haji Shafie B. Haji Mohd Salleh, Timbalan Menteri Kewangan 1,
Yang berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan,
Assalamualaikum w.m dan salam sejahtera kepada semua.



1. Pendahuluan


Terlebih dahulu, saya ingin mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Shafie, para penceramah dan kesemua peserta seminar di upacara pembukaan seminar yang bertajuk “Capital Market: The Way Forward For Dynamic Entrepreneurs” yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Penganjuran seminar ini, di antara pelbagai program latihan yang dianjurkan dan ditawarkan oleh Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), menandakan komitmen pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam menyokong polisi Kerajaan bagi melengkapkan para usahawan khususnya Bumiputera dan agensi-agensi yang berkenaan dengan langkah dan panduan terkini berkenaan dengan penglibatan ke dalam pasaran modal. Adalah menjadi harapan SC untuk memberi penerangan dan galakan yang secukupnya kepada golongan usahawan Bumiputera untuk turut menyertai dan mempergunakan peluang-peluang yang ditawarkan dalam pasaran modal ke arah penyertaan yang lebih efektif.


2. Objektif dan Kandungan Seminar


Seminar yang dianjurkan kali ini telah dirangka khusus untuk memberi penerangan teliti berkenaan dengan penyertaan ke dalam pasaran modal, mekanisma-mekanisma yang boleh dipilih serta kedudukan pasaran terkini. Kita juga memberi platfom kepada beberapa agensi yang membantu para usahawan berpotensi untuk turut sama berkongsi dengan para peserta, kriteria dan ciri-ciri yang dikehendaki oleh agensi-agensi berkenaan dalam menyalurkan dana atau bantuan yang lain kepada usahawan Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan mereka dan seterusnya layak untuk disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Program seminar ini diharap dapat mencapai objektif yang digariskan dan usahawan Bumiputera akan dapat memantapkan keupayaan mereka di dalam mempersiapkan syarikat masing-masing untuk menyertai pasaran modal.


Pihak SC juga maklum bahawa sebahagian besar daripada para peserta seminar kali ini adalah terdiri daripada agensi-agensi Kerajaan yang bertanggungjawab memupuk dan memberi bantuan kepada para usahawan termasuk usahawan Bumiputera. Saya percaya kandungan seminar ini dapat dimanafaatkan sepenuhnya oleh para pegawai daripada agensi-agensi ini dalam mencapai objektif yang ditetapkan oleh Kerajaan iaitu mempertingkatkan tahap keusahawanan di kalangan syarikat dan usahawan Bumiputera.



3. Usaha dan Harapan SC


Tan Sri- Tan Sri, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,
Usahawan bumiputera hendaklah bergerak dengan lebih agresif dan berpandangan jauh untuk membolehkan mereka berdayasaing di dalam ekonomi global. Mereka hendaklah keluar dari kepompong syarikat-syarikat kecil atau sederhana kepada perniagaan yang lebih besar. Ini boleh dilakukan dengan usaha seperti pengabungan atau pengambilalihan syarikat lain.


Walaupun tidak dinafikan bahawa syarikat-syarikat kecil lebih mudah untuk berubah mengikut corak permintaan pelanggan, namun mereka terpaksa secara berterusan mencari pasaran untuk terus berdaya-saing. Namun yang demikian, perlu diterangkan bahawa pasaran modal memberikan peluang untuk perkembangan perniagaan samada untuk syarikat kecil atau besar. Para usahawan boleh merancang dan berusaha untuk menyenaraikan syarikat-syarikat mereka samada di Papan Utama atau Kedua BSKL mengikut saiz operasi dan keupayaan perniagaan masing-masing. Bagaimanapun untuk syarikat yang kecil dan sederhana yang berpotensi tinggi tetapi tidak mempunyai rekod keuntungan, mereka masih mempunyai peluang untuk menyertai pasaran modal dengan menjadi syarikat awam tersenarai melalui penyenaraian di pasaran MESDAQ. MESDAQ memberi keutamaan kepada industri berasaskan maklumat atau bidang-bidang lain yang berteknologi tinggi. Saya percaya, para peserta sekalian akan diberi penerangan yang lebih mendalam berkenaan dengan keperluan dan syarat-syarat untuk menyertai BSKL dan MESDAQ oleh penceramah yang mahir dalam bidang ini.


Pihak SC juga telah sejak beberapa tahun yang lalu, sangat aktif mempromosikan Pasaran Modal Islam sebagai salah satu komponen yang bergerak sehaluan dengan pasaran modal konvensional. Dengan usaha kita untuk membangun dan menjadikan pasaran modal Islam sebagai sebuah pasaran terpilih (niche market), pihak SC telah menumpukan usaha untuk mengembangkan rangkaian produk yang lulus syariah yang meliputi ekuiti, hutang persendirian dan unit saham amanah Islam. Oleh itu, pihak SC sangat berharap supaya dengan penerangan terkini yang akan diberikan oleh wakil daripada Jabatan Pasaran Modal Islam SC pada hari ini dapat memberi lebih keyakinan kepada usahawan dan agensi-agensi Kerajaan untuk turut sama menyokong dan menyertai pasaran modal Islam. Pihak SC sangat berharap supaya objektif seperti yang ditekankan dalam Pelan Induk Pasaran Modal iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pasaran modal antarabangsa, tercapai.



4. Penutup


YBhg Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,


Unit Bumiputera SC dan SIDC sentiasa berusaha untuk mengendalikan seminar dan latihan mengenai pasaran modal untuk usahawan bumiputera supaya mereka mendapat maklumat lengkap dan terkini mengenai pasaran modal. Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh SC tidak memihak kepada mana-mana kumpulan dan syarikat atau satu-satu komuniti. Namun yang demikian, di mana benar-benar perlu, pihak SC bersedia untuk meneliti semula program-program latihan pembangunan di SC dalam membantu dan mempersiapkan usahawan dan pelabur Bumiputera menghadapi cabaran dan tanggungjawab yang kian meningkat dalam industri pasaran modal dan urusan perniagaan.


Akhir sekali, pihak SC berharap supaya para peserta seminar hari ini mendapat manafaat sepenuhnya daripada topik perbincangan yang akan dibentangkan. Saya juga ingin mengingatkan sekali lagi bahawa peluang yang ada semasa seminar ini berjalan mesti digunakan sepenuhnya oleh peserta-peserta untuk menjawab apa-apa kemusykilan berkenaan dengan isu-isu dan perkara yang melibatkan penyertaan di dalam pasaran modal.



Sekian, wassalamualaikum w.b.t. Terima Kasih.





 



Suruhanjaya Sekuriti