Kuala Lumpur, 4 Januari 2011

SIDREC bersedia memulakan operasi pada awal tahun 2011

Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC) sudah bersedia untuk memulakan operasi pada awal tahun 2011 berikutan Peraturan Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penyelesaian Pertikaian) 2010 yang digazetkan berkuat kuasa pada 30 Disember 2010. Badan baharu ini, yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), merupakan badan penyelesaian pertikaian pertama dibentuk bagi menangani tuntutan kecil dalam pasaran modal Malaysia.

Pengerusi SC Tan Sri Zarinah Anwar berkata, “SIDREC akan meningkatkan perlindungan pelabur dengan memberi ruang kepada pelabur yang mempunyai tuntutan kecil bagi mendapatkan penyelesaian tanpa perlu melalui mengambil tindakan undang-undang yang mahal.”

Dato’ Ranita binti Mohd Hussein, Pengerusi SIDREC yang baru dilantik berkata, “SIDREC menyediakan pengantaraan dan mekanisme timbang tara untuk pelabur yang mempunyai tuntutan RM100,000 atau kurang berbangkit daripada transaksi yang membabitkan produk dan/atau perkhidmatan pasaran modal. Kemudahan ini disediakan percuma bagi individu yang layak dan usahawan tunggal. Salah satu keutamaan segera SIDREC adalah mendidik pihak pelabur mengenai fungsi SIDREC dan bagaimana badan itu dapat membantu pelabur”.

Bersama-sama Dato’ Ranita dalam Lembaga Pengarah SIDREC adalah sekumpulan wakil yang disegani daripada industri pasaran modal serta sektor awam dan swasta iaitu Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Bin Che Othman, Dato’ Kok Wee Kiat, Dato’ Saiful Bahri Bin Zainuddin, Dato’ Ambiga Sreenevasan, Dato’ Halipah Binti Esa dan Mr Raymond Tang Chee Kin.

SIDREC merupakan badan korporat yang ditubuhkan untuk bertindak sebagai badan penyelesaian pertikaian berhubung dengan apa-apa tuntutan yang dibuat oleh penuntut yang layak terhadap sesiapa yang berlesen untuk menjalankan aktiviti berurusan dengan sekuriti, berdagang dalam kontrak niaga hadapan dan pengurusan dana bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Pada dasarnya, SIDREC akan menyediakan penyelesaian pertikaian dalam mana-mana urusan dan transaksi yang membabitkan produk atau perkhidmatan pasaran modal antara pelanggan dan broker sekuriti, broker niaga hadapan, pengurusan dana dan syarikat pengurusan unit amanah.

Pelabur yang membawa tuntutan mereka ke SIDREC akan dilayani oleh seorang pengantara yang akan meneliti tuntutan tersebut dan menjalankan siasatan dengan pihak yang menuntut dan pihak yang dituntut. Pengantara itu akan membawa kedua-dua pihak untuk berbincang dengan tujuan bagi menyelesaikan tuntutan itu secara baik. Jika proses pengantaraan gagal, perkara tersebut akan dibawa kepada timbang tara dalam SIDREC. Pemegang lesen pasaran modal adalah terikat dengan keputusan dan award yangdiputuskan oleh SIDREC. Bagaimanapun, pihak yang menuntut bebas untuk meneruskan tuntutannya di mahkamah sekiranya dia tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA