Maklumat latar belakang penubuhan Lembaga Pemantauan Audit dan fungsinya

1. Apa perlunya penubuhan Lembaga Pemantauan Audit (AOB)?
  Fungsi pemberi keyakinan yang dilaksanakan oleh juruaudit luaran terhadap penyata kewangan sesebuah syarikat sejak lama dahulu telah memainkan peranan penting dalam rangka kerja tadbir urus korporat. Keruntuhan firma-firma besar dan berita penipuan yang melibatkan firma yang terkenal di peringkat global sejak beberapa tahun lalu telah meningkatkan kebimbangan kredibiliti penyata kewangan teraudit.

Kerangka kerja tadbir urus korporat yang kukuh memerlukan penyediaan jaminan yang sepatutnya mengenai keketatan proses audit dan kualiti serta kebolehpercayaan penyata kewangan audit. Untuk mencapai objektif ini, kami telah berusaha untuk menubuhkan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) bagi menyediakan pemantauan audit bebas terhadap entiti berkepentingan awam dan bagi memastikan rangka kerja pengawalseliaan kami ke atas juruaudit adalah setanding dengan standard antarabangsa.

   
2. Bagaimanakah SC membentuk rangka kerja pemantauan audit?
  Satu Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai pemantauan audit telah ditubuhkan, mengandungi wakil-wakil daripada Institut Akauntan Malaysia (MIA), Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), Bank Negara Malaysia (BNM), Bursa Malaysia dan komuniti perniagaan.

Pasukan Petugas Peringkat Tinggi itu berpandangan bahawa pemantauan bebas ke atas juruaudit adalah kunci ke arah mengekalkan dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap profesion juruaudit dan dalam memastikan kebolehpercayaan penyata kewangan teraudit.

Akta Pindaan Suruhanjaya Sekuriti 2010 (SCA) merangkumi cadangan Pasukan Petugas Peringkat tinggi tersebut. SCA menggalakkan pertumbuhan profesion audit Malaysia dengan tadbir urus.

   
3. Di bahagian manakah peruntukan AOB itu dimasukkan?
  Bahagian IIIA SCA mengandungi peruntukan berkaitan penubuhan dan tanggungjawab AOB.
   
4. Apakah misi AOB?
  Misi AOB adalah untuk memantau juruaudit bagi entiti berkepentingan awam (PIE) dan melindungi kepentingan pelabur dengan menggalakkan keyakinan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan teraudit PIE.
   
5. Adakah AOB itu merupakan sebuah badan statutori?
  Tidak, AOB bukan sebuah badan statutori. Bagaimanapun, AOB ditubuhkan bawah naungan SC, dan SC akan terus bertanggungjawab terhadap semua tindakan dan perkara yang diketepikan oleh AOB.
   
6. Apakah tanggungjawab utama AOB?
  Bahagian IIIA SCA memperuntukkan bahawa AOB, dalam membantu SC melaksanakan fungsi pemantauan auditnya, bertanggungjawab dalam-

  • melaksanakan dasar dan program dalam memastikan sebuah sistem pemantauan audit yang berkesan di Malaysia;
  • mendaftarkan juruaudit bagi PIE;
  • mengarahkan MIA menubuhkan atau mengambil atau kedua-duanya sekali, standard pengauditan dan etika yang akan diguna pakai oleh juruaudit berdaftar;
  • melakukan pemeriksaan dan memantau program bagi juruaudit berdaftar untuk menilai tahap pematuhan terhadap standard pengauditan dan etika; dan
  • menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang bersesuaian terhadap juruaudit berdaftar yang gagal mematuhi standard pengauditan dan etika.
   
7. Siapakah Entiti Berkepentingan Awam (PIE)?
  PIE merujuk kepada entiti yang pada masa ini dinyatakan secara khusus bawah Jadual 1 SCA. Mereka termasuklah-

  • PLC yang disenaraikan di Malaysia;
  • institusi perbankan berlesen;
  • syarikat insurans berlesen;
  • pengendali takaful berdaftar;
  • bank Islam berlesen;
  • institusi pembangunan kewangan yang ditetapkan;
  • pemegang Lesen Pasaran Modal dan Perkhidmatan yang menjalankan urus niaga dalam sekuriti, dagangan kontrak niaga hadapan dan pengurusan dana.
   
8. Adakah syarikat persendirian (Sdn Bhd), perkongsian dan pemilik tunggal termasuk dalam PIE?
  Tidak, syarikat seperti itu tidak termasuk dalam PIE kecuali jika syarikat itu termasuk dalam mana-mana tujuh entiti yang dinyatakan bawah Jadual 1 SCA. Oleh itu, misalnya jika sesebuah syarikat persendirian (Sdn Bhd) adalah pemegang Lesen Pasaran Modal dan Perkhidmatan yang menjalankan perniagaan pengurusan dana, syarikat persendirian itu dianggap sebagai PIE.
   
9. Jika saya mendaftar dengan AOB, adakah saya masih perlu menjadi juruaudit yang diluluskan bawah Seksyen 8 Akta Syarikat 1965?
  Ya, kerana salah satu kriteria bagi pendaftaran dengan AOB adalah menjadi juruaudit yang diluluskan bawah Seksyen 8 Akta Syarikat 1965.
   
10. Bagaimana AOB akan bekerjasama dengan pihak berkuasa pengawalseliaan yang lain?
  AOB akan bekerja rapat dengan semua agensi pengawalseliaan, seperti BNM dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), bagi memastikan wujud satu rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh bagi juruaudit di Malaysia, yang kemudiannya akan menggalakkan pertumbuhan profesion juruaudit dengan tadbir urus yang baik.
   
11. Adakah penubuhan AOB bermakna Institut Akauntan Malaysia (MIA) tidak mempunyai peranan dalam pemantauan juruaudit khususnya juruaudit PIE?
  Tidak, MIA masih mempunyai peranan penting dalam pemantauan juruaudit termasuk juruaudit PIE. Ini kerana-

  • dalam kes juruaudit yang mahu mengaudit PIE, AOB ketika mendaftarkan juruaudit tersebut akan mengambil kira sama ada juruaudit individu atau firma juruaudit berkenaan berdaftar dengan MIA;
  • MIA akan terus bertanggungjawab melaksanakan program pemantauan pelaksanaan terhadap juruaudit yang mengaudit bukan PIE; dan
  • MIA akan bekerjasama rapat dengan AOB dalam membentuk standard pengauditan dan etika yang perlu dipatuhi oleh juruaudit berdaftar.
   
12. Bilakah Bahagian IIIA SCA dijangka akan dikuatkuasakan?
  Bahagian IIIA SCA dijangka berkuat kuasa mulai 1 April 2010.
   
13. Adakah ini bermakna AOB akan mula melaksanakan semua tanggungjawabnya sebagaimana yang dinyatakan dalam Soalan 6 dari 1 April 2010?
  AOB akan mula beroperasi pada 1 April 2010. Fokus utamanya setakat 1 April 2010 adalah mendaftarkan juruaudit individu dan firma juruaudit yang ingin mengaudit penyata kewangan PIE.
   

Maklumat mengenai pendaftaran juruaudit

14. Siapa yang mesti berdaftar dengan AOB?
  Bahagian IIIA SCA menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh, kecuali jika berdaftar dengan AOB, untuk-

  • Bertindak atau mengakui bahawa dirinya ialah juruaudit PIE;
  • Dengan maklum memberikan kebenaran untuk dilantik dan bertindak dengan sengaja sebagai juruaudit PIE; atau
  • Menyediakan untuk atau bagi pihak PIE, sebarang laporan yang ditetapkan oleh Akta Syarikat 1965 supaya disediakan oleh juruaudit.

Oleh kerana sebahagian daripada Bahagian IIIA SCA berkuat kuasa mulai 1 April 2010, firma audit dan individu yang dilantik oleh PIE untuk mengaudit penyata kewangannya pada atau selepas 1 April 2010 mestilah berdaftar dengan AOB.

   
15. Jika saya dilantik untuk mengaudit penyata kewangan PIE sebelum 1 April 2010, bolehkah saya meneruskan tugas tersebut?
  Jika anda telah dilantik untuk mengaudit penyata kewangan sesebuah PIE sebelum 1 April 2010 dan merupakan juruaudit syarikat yang diluluskan bawah Seksyen 8 Akta Syarikat 1965, anda dibenarkan meneruskan tugas tersebut bagi tempoh satu tahun dari tarikh 1 April 2010.
   
16. Bagaimanakah AOB menilai sama ada saya telah dilantik oleh sesebuah PIE untuk mengaudit penyata kewangannya pada atau selepas 1 April 2010?
  AOB akan mengambil tarikh AGM PIE tersebut sebagai tarikh pelantikan anda. Oleh itu, jika AGM PIE tersebut adalah pada atau selepas 1 April 2010, anda dikehendaki berdaftar dengan AOB.

(Anda juga perlu merujuk kepada Soalan 25).

   
17. Siapa yang perlu berdaftar sebagai juruaudit individu dengan AOB?
  Mana-mana individu yang merupakan juruaudit syarikat yang diluluskan bawah Seksyen 8 Akta Syarikat 1965 dan menjadi rakan kongsi penandatangan atau yang melaksanakan fungsi pemeriksa kawalan kualiti urusan berkaitan dengan penyediaan penyata kewangan teraudit sesebuah PIE mestilah berdaftar sebagai juruaudit individu dengan AOB.
   
18. Berapakah yuran pendaftarannya?
  AOB hanya mengenakan yuran pendaftaran ke atas juruaudit individu walaupun kedua-dua firma audit dan juruaudit individu perlu didaftarkan. Sehubungan itu, juruaudit individu yang mahu mendaftarkan diri perlu membayar RM5,000 pada tarikh AOB mengeluarkan pemberitahuan pendaftaran. Yuran ini perlu dibayar secara tahunan ketika menyerahkan permohonan pembaharuan pendaftaran dengan AOB.
   
19. Bagaimanakah struktur bayaran pendaftaran AOB dibandingkan dengan bidang kuasa lain?
  Penyelidikan kami menunjukkan bahawa bidang kuasa yang berlainan menggunakan modus pendanaan berbeza bagi membiayai pemantauan juruaudit. Kebanyakan bidang kuasa mengenakan yuran pendaftaran ke atas kedua-dua firma audit dan juruaudit individu.

Pelbagai modus digunakan termasuk mengenakan caj peratusan tertentu daripada yuran audit ke atas firma audit, mengenakan levi ke atas syarikat awam tersenarai berdasarkan permodalan pasaran, sumbangan daripada badan-badan profesional yang berkaitan dan sumbangan daripada semua pengawal selia yang berkenaan.

Seperkara yang sama bagi semua modus ini adalah profesion pengauditan perlu menyumbang ke arah pembiayaan kos penubuhan dan operasi rangka kerja pemantauan bebas.

   
20. Bolehkah juruaudit individu atau firma audit mendaftar dengan AOB walaupun mereka tidak mengaudit penyata kewangan PIE?
  Ya, juruaudit individu atau firma audit boleh mendaftar dengan AOB walaupun mereka, pada masa ini, tidak mengaudit penyata kewangan PIE, hanya jika mereka, pada masa ini, merupakan juruaudit yang diluluskan bawah Seksyen 8 Akta Syarikat 1965. Penting diketahui bahawa sebaik sahaja juruaudit individu atau firma audit didaftarkan dengan AOB, kedua-dua juruaudit individu dan firma audit itu adalah tertakluk kepada peruntukan dalam Bahagian IIIA SCA yang termasuklah pemeriksaan, siasatan dan sanksi.
   
21. Berapa awal boleh saya mendaftar dengan AOB?
  Bagi memudahkan pendaftaran, anda dinasihati supaya mengemukakan permohonan bagi pendaftaran seawal yang boleh. Borang pendaftaran boleh didapati di laman web SC di www.sc.com.my.
   
22. Bagaimana hendak mengemukakan permohonan saya untuk mendaftar dengan AOB?
  Anda boleh mengemukakan permohonan untuk mendaftar dengan menghantar sendiri atau melalui perkhidmatan kurir. Jika permohonan anda dihantar sendiri, anda perlu membawa satu salinan surat yang akan diperakui oleh AOB setelah menerima borang yang lengkap diisi dan dokumen yang berkenaan daripada anda. Jika anda menghantar permohonan melalui perkhidmatan kurir, sepucuk surat perakuan penerimaan akan difakskan kepada anda setelah set borang yang lengkap berserta dokumen berkenaan diterima daripada anda.
   
23. Apakah yang akan dipertimbangkan oleh AOB dalam mendaftarkan juruaudit individu atau firma audit?
  Untuk pendaftaran, AOB akan mengambil kira sama ada-

  • anda telah memenuhi kriteria yang sesuai dan betul sebagaimana yang ditetapkan bawah Seksyen 31P SCA; dan
  • anda telah mengisi borang pendaftaran yang dikehendaki dengan lengkap dan mengemukakannya bersama dengan senarai dokumen yang diperlukan, yang mesti disertakan dengan permohonan anda dan yuran yang mesti dibayar kepada AOB.

Untuk maklumat lanjut bagi kriteria pendaftaran, proses dan borang, anda dinasihatkan supaya merujuk kepada buku panduan pendaftaran AOB bertajuk AOB Handbook for Registration.

24. Berapa lamakah usia maklumat yang perlu saya berikan sebagaimana yang ditetapkan bawah seksyen 8(g)(ii) bawah Borang 1?
  Maklumat yang perlu diberikan bawah seksyen 8(g)(ii) bawah Borang 1 dihadkan kepada maklumat dalam tempoh tujuh tahun sebelum pengemukaan.
33. Siapakah yang boleh dijadikan rujukan saya?
  Bagi pengisian Borang 1, sesiapa sahaja selain pasangan atau ahli keluarga, boleh menjadi rujukan anda.
   
34. Bilakah AOB akan memproses permohonan pendaftaran saya?
  Selepas AOB menerima permohonan anda berserta senarai dokumen yang perlu disertakan bersama permohonan itu, AOB memerlukan sehingga dua minggu untuk membuat penilaian yang perlu ke atas maklumat yang diberikan dalam borang permohonan. Penilaian ini juga memerlukan AOB membuat semakan latar belakang dengan pihak berkuasa yang berkenaan.

Apabila penilaian dan semakan itu siap dan AOB berpendapat bahawa anda layak dan sesuai, anda akan dibenarkan untuk mengaudit penyata kewangan PIE. AOB akan mengeluarkan satu notis bertulis kepada anda, menyatakan bahawa pendaftaran anda sudah lengkap, tertakluk kepada syarat-syarat yang mungkin dikenakan oleh AOB. Syarat-syarat itu boleh didapati dalam Bab 5 buku “AOB Handbook for Registration”.

   
35. Bolehkah saya dilantik dalam mesyuarat agung sebagai juruaudit PIE semasa AOB masih memproses permohonan saya?
  Tidak, anda tidak dibenarkan dilantik dalam mesyuarat agung sebagai juruaudit PIE pada masa AOB masih memproses permohonan anda. Ini kerana, Bahagian IIIA SCA menetapkan bahawa hanya juruaudit yang berdaftar dengan AOB boleh-

  • mengaku atau bertindak sebagai juruaudit PIE;
  • dengan maklum memberi kebenaran untuk dilantik dan dengan maklum bertindak sebagai juruaudit PIE; atau
  • menyediakan untuk atau bagi pihak PIE, sebarang laporan yang ditetapkan oleh Akta Syarikat 1965 supaya disediakan oleh juruaudit.

Oleh itu, anda perlu menyerahkan permohonan pendaftaran anda sekurang-kurangnya dua minggu sebelum AGM sesebuah PIE.

   
36. Bolehkah AOB membatalkan atau menggantung pendaftaran saya walaupun selepas saya didaftarkan?
  Ya, AOB boleh berbuat demikian kerana Akta menetapkan dalam Seksyen 31Q bahawa AOB boleh membatalkan atau menggantung pendaftaran yang diberikan kepada juruaudit sekiranya juruaudit itu-

  • tidak layak atau sesuai sepanjang tempoh yang didaftarkan; atau
  • telah melanggar mana-mana terma atau syarat yang ditetapkan bersama pendaftaran juruaudit itu.
   
37. Adakah saya akan dimaklumkan sekiranya permohonan pendaftaran saya ditolak? Adakah saya juga akan dimaklumkan sekiranya status pendaftaran saya dibatalkan atau digantung oleh AOB?
  Ya, anda akan dimaklumkan sekiranya permohonan pendaftaran anda ditolak. Anda juga akan dimaklumkan sekiranya status pendaftaran anda dibatalkan atau digantung oleh AOB. Sebaik sahaja anda menerima notis yang berkenaan, anda tidak dibenarkan mengaudit penyata kewangan PIE sehingga anda membuat permohonan semula pendaftaran kepada AOB.

Anda akan diberi peluang membuat penjelasan sebelum sebarang keputusan dibuat oleh AOB. Sehubungan ini, anda boleh membuat rayuan kepada SC dalam masa 30 hari selepas keputusan dibuat.

   
38. Bolehkah saya menarik balik status berdaftar saya dengan AOB?
  Ya, anda boleh menarik balik status berdaftar anda dengan memberitahu AOB secara bertulis sebab anda ingin berbuat demikian. Anda juga dikehendaki mengembalikan notis pendaftaran kepada AOB apabila mengemukakan penarikan tersebut. Bagaimanapun, yuran pendaftaran tidak akan dikembalikan. Setelah anda menarik balik status berdaftar anda, anda tidak lagi dibenarkan bertindak sebagai juruaudit berdaftar bawah AOB.
   

Standard pengauditan dan etika

39. Apakah standard yang perlu saya patuhi ketika mendaftar dengan AOB?
  Anda dikehendaki mematuhi semua standard pengauditan dan etika yang mungkin diguna pakai oleh AOB dari semasa ke semasa. Ini termasuklah semua standard pengauditan dan etika yang diguna pakai oleh MIA dan undang-undang kecil serta pekeliling yang diterbitkan oleh MIA berhubung dengan standard pengauditan dan etika.
   
40. Adakah pematuhan dengan standard pengauditan dan etika termasuk pematuhan dengan ISQC 1?
  Ya, bagi tujuan pematuhan terhadap standard pengauditan dan etika, ISQC 1 mestilah dipatuhi.
   

Pematuhan terhadap ISQC 1

41. Adakah saya masih lagi berdaftar jika firma audit saya tidak melengkapkan Bahagian 2 dalam Borang 2, iaitu Pematuhan Terhadap ISQC 1?
  Ya, firma audit anda masih akan didaftarkan jika anda tidak melengkapkan Bahagian 2 dalam Borang 2, tertakluk kepada pematuhan firma audit anda terhadap semua peraturan layak dan sesuai yang lain sebagaimana yang ditetapkan dalam Bahagian IIIA SCA dan buku panduan untuk pendaftaran AOB.

Firma audit anda mesti mengemukakan pematuhannya terhadap ISQC 1 kepada AOB selewat-lewatnya pada 1 Julai 2010.

   

Sekatan dan rayuan

42. Apakah jenis sekatan yang boleh dikenakan oleh AOB?
  Bahagian IIIA SCA memberikan kuasa kepada AOB untuk mengenakan pelbagai jenis sekatan jenis pentadbiran kepada sesiapa sahaja yang melanggar atau gagal mematuhi-

  • peruntukan dalam Bahagian IIIA SCA;
  • mana-mana syarat yang dikenakan ke atas juruaudit berdaftar; atau
  • mana-mana notis bertulis, garis panduan yang dikeluarkan oleh SC.

Jenis-jenis sekatan termasuklah-

  • penggantungan;
  • denda;
  • celaan;
  • CPE wajib; dan
  • apa-apa jenis sekatan yang bersesuaian.

SCA menetapkan supaya AOB memberikan hak kepada pihak yang melanggar peraturan itu supaya memberikan penjelasan sebelum sesuatu sekatan itu dikenakan ke atasnya.

   
43. Bolehkah seseorang itu membuat rayuan terhadap keputusan AOB berkaitan dengan sekatan yang dikenakan?
  Ya, seseorang yang dikenakan sekatan dan tidak berpuas hati terhadap keputusan AOB itu, boleh membuat rayuan kepada SC dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dikeluarkan.

Mutakhir setakat 6 April 2010