SOALAN LAZIM
KOD TADBIR URUS KORPORAT MALAYSIA 2012

1.

Siapakah sasaran bagi Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2012 (MCCG 2012)?

MCCG 2012 disasarkan khusus kepada syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Bagaimanapun, semua syarikat itu digalakkan mengguna pakai prinsip-prinsip dan cadangan dalam MCCG 2012 dan menjadikan tadbir urus korporat yang baik sebagai sebahagian perkara penting dalam urusan dan budaya perniagaan mereka.

2.

Bagaimanakah syarikat tersenarai mematuhi MCCG 2012?

MCCG 2012 menyokong penggunaan standard yang melebihi daripada standard minimum yang dinyatakan oleh pengawal selia. Pematuhan terhadap MCCG 2012 oleh syarikat adalah secara sukarela. Bagaimanapun, syarikat tersenarai dikehendaki menjelaskan dalam laporan tahunan mereka bagaimana mereka mematuhi cadangan MCCG 2012. Syarikat tersenarai perlu menjelaskan dan memberikan alasan munasabah bagi ketakpatuhan terhadap mana-mana cadangan tersebut.

3.

Bilakah MCCG 2012 berkuat kuasa?

MCCG 2012 akan berkuat kuasa pada 31 Disember 2012. Bagaimanapun, syarikat tersenarai digalakkan membuat peralihan awal terhadap prinsip-prinsip dan cadangan yang diperincikan dalam MCCG 2012.

Sebagai contoh, sekiranya tahun kewangan sesebuah syarikat berakhir pada 31 Disember 2012, penzahiran dikehendaki dibuat berkaitan dengan tahun kewangan 1 Januari 2012 – 31 Disember 2012 dan perlu dibuat dalam laporan tahunan yang diterbitkan pada 2013. Sekiranya tahun kewangan syarikat bermula pada 1 Julai 2012, penzahiran dikehendaki dibuat berkaitan dengan tahun kewangan 1 Julai 2012 – 30 Jun 2013 dan perlu dibuat dalam laporan tahunan yang diterbitkan pada 2013.

4.

Apakah rasional semakan terhadap Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2007 (Kod 2007) dan menggantikannya dengan MCCG 2012?

Kod 2007 disemak selepas mengambil kira perubahan dinamik pasaran, pembangunan antarabangsa dan keperluan bagi menentu ukur dan meningkatkan keberkesanan kerangka kerja tadbir urus korporat secara berterusan. MCCG 2012 ialah perkara utama yang pertama dilaksanakan mengikut Rangka Tindakan Tadbir Urus Korporat 2011 (Rangka Tindakan) yang dilancarkan oleh SC dalam bulan Julai 2011 dan SC berusaha untuk melaksanakan kebanyakan cadangan dalam Rangka Tindakan tersebut.

5.

Bagaimanakah struktur MCCG 2012 berbeza berbanding dengan kod yang dahulu?

MCCG 2012 mengguna pakai struktur baharu yang menyediakan kejelasan lebih besar, lebih maklumat kepada syarikat dan mudah dibaca. Yang penting, setiap prinsip dalam MCCG 2012 diikuti dengan cadangan dan komen.

Prinsip-prinsip itu merangkumi konsep meluas yang menguatkan tadbir urus korporat yang perlu diguna pakai oleh syarikat. Cadangan itu adalah standard khusus yang menyumbang kepada prinsip-prinsip tersebut. Syarikat tersenarai dijangka mengguna pakai standard tersebut sebagai sebahagian daripada struktur dan proses tadbir urus mereka. Setiap cadangan diikuti dengan komentar yang menerangkan dan membantu syarikat memahami cadangan-cadangan tersebut.

MCCG 2012 memasukkan sebahagian daripada amalan terbaik daripada Kod 2007. Bagi rujukan, satu perbandingan disediakan dalam Jadual 1 dalam MCCG 2012.

6.

Apakah pindaan utama yang dibuat dalam MCCG 2012?

Sebahagian daripada bidang utama yang diperkukuh dalam MCCG 2012 adalah seperti yang berikut:

  • Peranan dan tanggungjawab lembaga pengarah
    Lembaga pengarah perlu menetapkan standard etika melalui kod tatalaku dan memastikan strategi syarikat menggalakkan daya boleh kekal. Lembaga pengarah juga dikehendaki menetapkan piagam lembaga pengarah.
  • Komposisi dalam lembaga pengarah
    lembaga pengarah perlu menubuhkan Jawatankuasa Nomini yang dipengerusikan oleh pengarah bebas kanan, yang bertanggungjawab menyelia pemilihan dan penilaian pengarah. Jawatankuasa Nomini dipertanggungjawabkan bagi membangunkan set kriteria termasuk dasar, dan membentuk pendekatannya bagi kepelbagaian lembaga.
  • Kebebasan pengarah bebas

Tempoh perkhidmatan pengarah bebas dihadkan ke tempoh terkumpul sembilan tahun. Selepas berakhir tempoh sembilan tahun, pengarah tersebut boleh dilantik sebagai pengarah bukan bebas atau, dalam keadaan tertentu, pemegang saham boleh memutuskan supaya seseorang pengarah bebas boleh kekal dalam jawatannya selepas berkhidmat sepanjang tempoh terkumpul sembilan tahun. Ahli lembaga perlu memberikan justifikasi yang kukuh kepada pemegang saham.

Selain itu, kedudukan pengerusi dan CEO perlu dipegang oleh individu yang berlainan. Sekiranya pengerusi bukan pengarah bebas, ahli lembaga perlulah terdiri daripada majoriti pengarah bebas.

  • Komitmen pengarah
  • Lembaga dikehendaki menetapkan jangkaan terhadap komitmen masa bagi ahli-ahlinya dan protokol bagi menerima pengarah baharu.

  • Gaji pengarah
    Lembaga perlu mewujudkan dasar dan prosedur rasmi dan telus mengenai penggajian bagi menarik dan mengekalkan pengarah. Jawatankuasa Penggajian boleh melaksanakan fungsi ini.
  • Kerangka kerja risiko dam sistem kawalan dalaman
    Lembaga dikehendaki mewujudkan kerangka kerja yang kukuh bagi menentukan tahap toleransi risiko syarikat dan mengenal pasti secara aktif, menilai dan memantau risiko utama urusan.
  • Integriti pelaporan kewangan
    Jawatankuasa Audit perlu memastikan bahawa penyata kewangan mematuhi piawaian pelaporan kewangan yang diguna pakai dan menilai kesesuaian dan kebebasan juruaudit luar.
  • Hubungan antara syarikat dan pemegang saham
  • Lembaga perlu menggalakkan penyertaan pemegang saham dalam mesyuarat agung dan mengundi resolusi dengan cara membuang undi.

7.

Di manakah saya boleh mendapatkan salinan MCCG 2012?

MCCG 2012 boleh dimuat turun di sini.