Rangka Tindakan Tadbir Urus Korporat 2011

Rangka Tindakan Tadbir Urus Korporat (Rangka Tindakan) lima tahun Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang dilancarkan pada 8 Julai 2011, menyediakan pelan tindakan bagi meningkatkan standard tadbir urus korporat di Malaysia dengan mengukuhkan disiplin diri dan pasaran dan menggalakkan pengantarabangsaan lebih besar bagi budaya tadbir urus korporat yang lebih baik. Ia mendorong peralihan dalam budaya tadbir urus korporat daripada sekadar pematuhan terhadap peraturan kepada yang lebih menguasai inti pati tadbir urus korporat yang baik; iaitu hubungan kepercayaan yang lebih mendalam di antara syarikat dan pemegang kepentingan.

Dibina melalui proses rundingan terperinci dengan pihak industri, Rangka Tindakan itu difokuskan kepada enam tema yang saling berkaitan dengan ekosistem tadbir urus korporat iaitu hak pemegang saham, peranan pelabur institusi, lembaga pengarah, pengawal dan mereka yang berpengaruh, penzahiran dan ketelusan serta penguatkuasaan awam dan persendirian.

Cadangan dalam Rangka Tindakan tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun. Kebanyakan daripada cadangan itu akan dilaksanakan melalui kod tadbir urus korporat dan perubahan kepada Peraturan Penyenaraian, kedua-duanya dijangka akan berkuat kuasa menjelang awal tahun 2012. Sebahagian cadangan perlu dikaji semula dan diteliti lebih lanjut melalui pembentukan pasukan petugas dan kumpulan kerja yang akan dijalankan oleh industri dengan kerjasama SC. Terdapat juga cadangan yang membabitkan pindaan perundangan. Semua cadangan Rangka Tindakan itu akan berkuat kuasa selepas satu mekanisme peralihan yang bersesuaian dilakukan bagi memastikan gangguan yang minimum.


Klik di sini untuk melihat Rangka Tindakan Tadbir Urus Korporat 2011

SC mengalu-alukan maklum balas daripada orang ramai dan semua pihak yang berminat terhadap Rangka Tindakan tersebut. Semua maklum balas boleh di e-mel kepada [email protected] sebelum atau pada 15 September 2011 atau tulis kepada:

CG Blueprint Team
Securities Commission Malaysia
3, Persiaran Bukit Kiara, Bukit Kiara
50490 Kuala Lumpur, Malaysia

Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia

Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (Kod) kali pertama dikeluarkan pada bulan Mac 2000. Pematuhan terhadap Kod ini bukan mandatori. Bagaimanapun, di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia, syarikat-syarikat tersenarai dikehendaki membentangkan dalam laporan tahunan mereka, mengenai bagaimana mereka telah menggunakan prinsip-prinsip dan amalan terbaik yang digariskan dalam Kod ini, serta mengenal pasti dan memberikan sebab bagi perkara-perkara yang tidak mematuhi Kod tersebut bersama-sama dengan amalan alternatif yang digunakan, jika ada.

Selaras dengan pengumuman Belanjawan 2008 oleh Perdana Menteri, Kod semakan ini mengandungi pindaan utama yang bertujuan untuk mengukuhkan peranan dan tanggungjawab ahli lembaga pengarah dan jawatankuasa audit, dan memastikan bahawa mereka melaksanakan tugas dengan berkesan.

Secara khusus, Kod semakan ini menggariskan kriteria kelayakan bagi pelantikan pengarah, komposisi ahli lembaga pengarah dan peranan ahli jawatankuasa pencalonan. Pengarah bukan eksekutif bebas diharap dapat memberikan fungsi pemantauan yang lebih bererti dan bebas.

Jawatankuasa pencalonan, sebagai pengawal kepada pelantikan dan pelantikan semula pengarah, diharapkan dapat menilai profesionalisme dan integriti pengarah yang dicadangkan, selain memastikannya memiliki keperluan asas iaitu kemahiran, pengetahuan, kepakaran dan pengalaman dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai ahli lembaga.

Bagi memastikan supaya jawatankuasa audit bertindak sebagai pemeriksa yang berkesan terhadap pengurusan syarikat, Kod semakan ini memperincikan komposisi ahli jawatankuasa audit, kekerapan mesyuarat dan keperluan bagi ahli jawatankuasa audit menghadiri latihan berterusan supaya seiringan dengan pembangunan yang relevan dalam bidang kewangan dan dalam bidang-bidang lain yang berkaitan. Selain itu, pengarah eksekutif tidak lagi dibenarkan menjadi ahli jawatankuasa audit bagi memelihara kebebasan jawatankuasa tersebut.