Page 71 - SC Laporan Tahunan 2023 Flipbook
P. 71

                                BAHAGIAN 3 MEMPERKUKUH KEMAMPANAN DAN DAYA SAING PASARAN MODAL
        MEMPERLUASKAN DAN MEMPERKUKUHKAN PASARAN MODAL ISLAM
SC tetap komited untuk menetapkan arah strategiknya demi memperluaskan capaian dan tawaran nilai, dengan matlamat mendorong pasaran modal Islam (ICM) yang lebih inklusif dan meluas. Dalam usaha ini, SC komited untuk mengukuhkan landskap kewangan sosial Islam dan memudahkan penawaran patuh Syariah yang lebih pelbagai. Ini selaras dengan Capital Market Masterplan 3 (CMP3) di mana pasaran modal Islam digunakan secara lebih meluas untuk memperluaskan capaian kepada pihak berkepentingan ekonomi yang lebih luas.
SC akan terus menjalankan inisiatif yang memberi tumpuan kepada tadbir urus Syariah dalam pelbagai fasa, untuk memudahkan pembangunan teratur dalam membentuk landskap pasaran modal Islam, sambil mempertingkat kedudukan global negara dalam kewangan Islam.
Memanfaatkan Potensi Wakaf
SC mengakui potensi transformatif wakaf dalam menangani cabaran sosioekonomi kritikal seperti kemiskinan, pengangguran, dan kekurangan pembiayaan untuk sektor penting seperti penjagaan kesihatan,
pendidikan, dan infrastruktur. Oleh itu, SC telah berusaha secara aktif untuk memanfaatkan potensi wakaf dalam pasaran modal Islam. Usaha ini termasuk penerbitan buku pertama SC mengenai wakaf pada tahun 2014, meliputi tema inovasi, tadbir urus, dan peluang dalam pasaran modal Islam. Selanjutnya, aset wakaf juga dimasukkan sebagai salah satu projek yang layak di bawah Rangka Kerja SRI Sukuk yang telah dipinda pada tahun 2019. Usaha pembangunan oleh SC kemudiannya melibatkan lebih banyak penawaran pasaran apabila SC melancarkan Rangka Kerja Dana Berwakaf (WQ-FF) untuk dana yang tidak disenaraikan pada tahun 2020. Seterusnya, WQ-FF diperluaskan untuk merangkumi dana yang disenaraikan termasuk dana yang diniagakan di bursa (ETF) dan dana pelaburan hartanah (REIT) pada tahun 2022.
Penggunaan wakaf dalam produk pasaran modal Islam, seperti dana dan ekuiti patuh Shariah, telah membuktikan keupayaannya untuk menghasilkan impak sosial positif dan inklusif bagi masyarakat. Dengan semangat ini, SC memudahkan penyelenggaraan Persidangan Wakaf dan Pasaran Modal Islam yang pertama pada bulan Julai 2023, menyediakan platform bagi pihak berkepentingan untuk membincangkan dan mencadangkan penyelesaian untuk menggali potensi penuh wakaf. Ini termasuk, antara lain, kesinambungan persidangan wakaf SC secara tahunan, libat urus berterusandengan pihak berkepentingan utama dan pemain industri serta penerbitan buku wakaf edisi kedua.
LAPORAN TAHUNAN 2023 SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA 69
 

























































































   69   70   71   72   73