Sc Beri Amaran Kepada Orang Ramai Mengenai Peningkatan Penipuan Di Telegram

15 Mac 2022 |  Kuala Lumpur 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengingatkan orang ramai mengenai peningkatan mendadak penipuan pelaburan yang dipromosikan dalam aplikasi Telegram.

Sejak Januari 2022, SC telah menerima sejumlah 47 aduan dan pertanyaan mengenai skim pelaburan haram yang dipromosikan melalui Telegram. Skim penipuan ini menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud serta menjanjikan pulangan yang sangat menarik dan bebas risiko dalam jangka masa yang singkat. Skim-skim ini kebiasaannya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000% dalam masa 24 jam atau beberapa jam.

Pihak ini menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan. Mereka juga boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, laman web dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram tersebut.

Mereka juga mewujudkan kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan yang kebiasaannya disertakan dengan testimoni palsu dan juga diiklankan sebagai patuh Shariah. Pelabur yang berminat akan diminta untuk menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej yang ditawarkan.

Selain itu, pelabur sering diarahkan untuk mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mendakwa mewakili entiti yang sah, dan/atau ke dalam akaun korporat yang tidak berkaitan. Bagi mendapatkan kepercayaan dan menarik mangsa untuk tidak curiga, pelaku akan mendakwa bahawa entiti mereka dan/atau skim pelaburan tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.

Oleh itu, SC ingin mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi yang tidak realistik dengan risiko yang sedikit atau tiada. Pelabur juga tidak seharusnya memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi seseorang jika diarahkan.

SC menggesa orang ramai untuk merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC sebelum melabur. Senarai tersebut mengandungi butiran laman web, produk pelaburan, syarikat dan individu yang beroperasi tanpa kebenaran. Orang ramai yang mengesyaki bahawa mereka telah dihubungi oleh firma atau individu yang tidak dibenarkan dan yang menawarkan skim dengan pulangan tidak realistik boleh membuat laporan kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel: [email protected].

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup