SC Keluar Laporan Tahunan dan Laporan Tahunan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) 2021

Pasaran Modal Malaysia Bantu Pulihkan dan Bina Semula Perniagaan untuk Masa Depan Pasca Pandemik

28 Mac 2022  |  Kuala Lumpur

Pasaran modal Malaysia terus berperanan penting dalam membiayai ekonomi dan pengantaraan simpanan, dengan mencatatkan peningkatan ketara dalam aktiviti pengumpulan dana dan pertumbuhan keseluruhan aset bawah pengurusan (AUM) yang menggalakkan pada 2021. Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada pelancaran Laporan Tahunan 2021 hari ini, pasaran modal meningkat 3% kepada RM3.5 trilion dari 2020.

Jumlah dana yang dikumpulkan melalui pasaran ekuiti dan bon korporat adalah sebanyak RM130.9 bilion, melebihi purata lima tahun yang dicatatkan sebelum pandemik iaitu sebanyak RM121.4 bilion. Pembiayaan alternatif meningkat sebanyak 149% pada 2021, mencatatkan rekod baharu. Pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) terus menjadi tarikan, mengumpul sebanyak RM1.4 bilion untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) (2020: RM640 juta). Sementara itu, pelaburan modal teroka (VC) dan ekuiti swasta (PE) baharu meningkat kepada RM1.1 bilion (2020: RM333.9 juta).

Keseluruhan AUM melonjak kepada RM951.1 bilion daripada RM905.5 bilion pada 2020, mencerminkan peningkatan dalam kebanyakan sumber dana pelanggan bawah pengurusan. Nilai aset bersih (NAV) dana unit amanah, penyumbang terbesar kepada AUM, meningkat kepada RM526.9 bilion pada 2021 (2020: RM519.5 bilion).

Bercakap kepada pemberita pada sidang media maya, Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata, “Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran yang berulang pada tahun lalu. Pada 2021, SC mempergiatkan usahanya dalam memastikan ketangkasan kawal selia, menggalakkan pembangunan mampan dan memperhalusi keutamaannya untuk lima tahun akan datang.

“Dengan memberi tumpuan penuh kepada masa depan pascapandemik, keutamaan SC pada 2022 menyasarkan untuk mengalihkan pasaran modal kepada ekosistem yang relevan, cekap, dipelbagai dan inklusif. Ini bagi membolehkan tonggak pertumbuhan Malaysia mencapai aspirasi kita dalam bidang seperti digital, neutrality karbon dan mengurus peralihan negara ke arah negara menua,” tambah beliau.

Memastikan Ketangkasan Kawal Selia  

Pasaran modal domestik kekal adil dan teratur, dengan risiko sistemik diurus dan dikawal secukupnya. Sebilangan besar syarikat awam tersenarai (PLC) terus meraih manfaat daripada pelepasan kawal selia yang dilanjutkan dan kelonggaran tambahan bagi membantu mereka mendepani kesan COVID-19. Lebih 280 PLC juga mendapat manfaat daripada pengecualian dan rebat ke atas fi penyenaraian berkaitan di bawah program strategik PEMERKASA.

SC juga mempertingkatkan keupayaan pengawasan pasarannya, termasuk pemantauan yang lebih rapi terhadap bon korporat (pasaran pendapatan tetap) dan aktiviti pengambilalihan. Pelaksanaan keupayaan forensik digital dalaman telah menyaksikan peningkatan dalam produktiviti. Rangka kerja pengurusan risiko yang dipertingkatkan, serta rangka kerja pemantauan pengambilalihan juga telah menambah baik keluasan dan skop keupayaan pengawasan SC. Penilaian penyeliaan yang kerap dan semakan tematik telah dijalankan untuk memantau pematuhan terhadap keperluan tatalaku, kedudukan mudah tunai pengantara pasaran dan menentukan keupayaan mereka untuk mengimbangi tekanan penebusan.

Untuk memerangi aktiviti tidak berlesen dengan lebih tangkas, satu pasukan petugas rentas bahagian SC telah ditubuhkan untuk menyiasat skim penipuan firma klon. Sehingga kini, SC telah melaksanakan lima tindakan penguatkuasaan, 473 intervensi kawal selia dan meletakkan 275 syarikat dan individu tidak berlesen dalam Senarai Peringatan Pelabur SC.

Pada 2021, strategi penguatkuasaan bertumpu kepada usaha untuk mencapai hasil yang pantas, berkesan dan disasarkan, di mana SC menggunakan pelbagai kaedah penguatkuasaan. Melalui tindakan penguatkuasaan sivil, SC melaksanakan pengembalian wang kepada pelabur dengan sejumlah RM2.7 juta dikembalikan kepada 721 pelabur yang terjejas, manakala sejumlah 136 sekatan pentadbiran telah diambil ke atas salah laku dan pelanggaran undang-undang dan garis panduan sekuriti yang kurang serius.

Panduan mengenai Pelaporan Kendiri SC pada 2021 telah memudahcarakan usaha untuk meningkatkan disiplin yang lebih kukuh dalam kalangan peserta industri dengan memberi insentif kepada pelaporan kendiri dan pembetulan awal atau pembendungan salah laku. Seperti yang digariskan dalam CG Monitor 2021, SC mendapati penerimaan tadbir urus korporat yang lebih baik dalam kalangan PLC, dengan kadar penerimaan meningkat melebihi 90%. Selain itu, 691 PLC melaporkan bahawa mereka mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam lembaga pengarah. Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 3 tahun dan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) yang dikemas kini akan menetapkan hala tuju untuk pembangunan kepimpinan dari segi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pengendalian yang berkesan dan memacu kecemerlangan CG.

Menggalakkan Pembangunan Mampan

SC terus mempergiatkan inisiatif pembangunannya terutamanya dalam menggalakkan agenda kemampanan, memperluaskan pasaran modal Islam (ICM) bernilai RM2.3 trilion dan mengukuhkan kedudukan SC sebagai hab untuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI). 

Kit Penilaian Saringan Syariah bagi PMKS dan program Pemecut Fintech Islam FIKRA merupakan dua inisiatif utama yang diperkenalkan pada tahun lalu untuk memacu pertumbuhan pesat ICM Malaysia. PMKS tidak tersenarai kini boleh mengumpul dana patuh Syariah dan pelabur kini mempunyai akses kepada aset Islam alternatif serta pelaburan yang memenuhi keperluan yang berasaskan pasaran dan masyarakat.

Langkah untuk mengembangkan ekosistem SRI domestik bertumpu kepada usaha meningkatkan kesedaran dan kepentingan kemampanan dan memudahcarakan penawaran produk hijau dan SRI. Bagi tujuan ini, SC telah melancarkan NaviGate: Siri Pembiayaan Hijau Pasaran Modal, sebuah program untuk mewujudkan kesedaran dan kesalinghubungan yang lebih besar antara syarikat yang komited terhadap kemampanan dan pasaran modal.

Bagi mewujudkan keseragaman dan lebih kebolehbandingan dalam mengenal pasti aktiviti ekonomi yang mampan, SC mengeluarkan kertas perundingan mengenai Taksonomi SRI berasaskan prinsip untuk pasaran modal Malaysia. Taksonomi SRI bertujuan untuk membimbing syarikat yang mempunyai keperluan kewangan peralihan, memudahcarakan peruntukan pelaburan dan memacu pertumbuhan aset SRI. Dari segi kewangan sosial Islam, terdapat minat berterusan dalam dana bercirikan wakaf, sekali gus menyediakan pelabur instrumen untuk memperoleh pulangan kewangan dan memberi impak sosial.

Kemajuan pesat telah dicapai untuk meluaskan akses pasaran modal, mengembangkan pilihan pelaburan dan meningkatkan kecekapan pasaran tradisional. Ini termasuk memperluaskan kategori pelabur sofistikated untuk menyediakan akses yang lebih besar kepada produk pasaran modal, menggalakkan masa ke pasaran (time-to-market) IPO yang lebih pantas dan menyemak Guidelines on Unit Trust Funds untuk meningkatkan daya saing dan inovasi dalam industri unit amanah.

Rangka kerja pengumpulan dana yang lebih cekap telah disediakan untuk memenuhi keperluan pembiayaan syarikat pertumbuhan tinggi dan syarikat kecil hingga sederhana. Sehubungan ini, proses kelulusan dan penyenaraian IPO telah disatukan, di mana Bursa Malaysia diberi kuasa sebagai pusat sehenti untuk penyenaraian Pasaran ACE berkuat kuasa 1 Januari 2022. Semakan telah dibuat kepada rangka kerja syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC) untuk meluaskan pilihan pengumpulan dana bagi usaha niaga baharu.

Inisiatif yang diperkenalkan untuk pasaran ECF pada 2021 telah membantu syarikat pemula dan PMKS dalam meningkatkan pembiayaan peringkat awal secara fleksibel dan berdaya saing. Ini termasuk memperluaskan jenis penerbit yang layak bagi ECF, serta meningkatkan had pengumpulan dana ECF. Syarikat peringkat awal juga boleh meraih manfaat daripada struktur pelaburan bersama seperti Dana Penjana dan MyCIF.

Menetapkan Hala Tuju Masa Depan

Bagi mendepani trend baru muncul di tengah-tengah normal baharu, SC telah menetapkan hala tuju dalam menyediakan pasaran modal untuk masa hadapan serta menjamin masa depan yang berdaya tahan. SC telah melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) sebagai rangka kerja strategik pertumbuhan pasaran modal untuk tempoh lima tahun akan datang. Keutamaan SC pada 2022 menyasarkan ke arah mencapai hasil yang ditetapkan oleh CMP3, iaitu pasaran modal yang relevan, cekap, dipelbagai dan inklusif yang akan mengukuhkan lagi ekonomi Malaysia.

SC juga mengeluarkan Keutamaan Strategik CG 2021-2023, sebagai satu langkah ke hadapan untuk memacu kepimpinan lembaga pengarah dan menerapkan pertimbangan terhadap ESG ke dalam amalan korporat domestik. Inisiatif di bawah keutamaan ini termasuk menerapkan nilai dan budaya CG lebih awal dalam kalangan belia dan PKS, kedua-duanya sebagai asas utama untuk masa depan negara.

Untuk meluaskan lagi kadar penembusan celik kewangan dan pelaburan SC melangkaui kawasan Lembah Klang, program pendidikan kewangan dan inisiatif mendekati pelabur akan memberi tumpuan kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan dan warga berusia melalui 'Agen Bijak Labur Desa' dan 'Klinik Digital untuk Penduduk Bandar B40', untuk merapatkan jurang digital dan melengkapkan pelabur yang rentan dengan pengetahuan tentang risiko dan peluang pelaburan, serta kaedah untuk mengenal pasti penipuan.

Dari segi inisiatif dalaman SC, Datuk Syed Zaid berkata, "Dari perspektif organisasi, SC akan mengukuhkan keupayaan digital dalaman dan set kemahiran untuk membolehkan tenaga kerja SC memanfaatkan teknologi digital terkini bagi memperoleh kefahaman yang lebih mendalam dan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan risiko, fungsi pemantauan dan penyeliaan kami. SC juga telah memulakan inisiatifnya ke arah mengurangkan jejak karbon dan alam sekitar, selaras dengan matlamat Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050,”.


Laporan Tahunan AOB 2021

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) SC juga telah membentangkan Laporan Tahunan 2021 hari ini. Sejumlah 975 juruaudit individu dan kakitangan firma audit yang lebih kecil berdaftar dengan AOB mendapat manfaat daripada program pembinaan keupayaan yang diterajui oleh AOB dengan kerjasama Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) pada tahun lalu. Program-program tersebut memberi tumpuan kepada usaha menangani bidang kelemahan audit yang biasa yag diperhatikan oleh AOB semasa pemeriksaannya terhadap firma audit dan juruaudit.

AOB mengadakan libat urus bersama 677 Ahli Jawatankuasa Audit (AC) daripada 397 PLC untuk mengingatkan akan kepentingan peranan mereka dalam meningkatkan integriti dan kebolehpercayaan penyata kewangan teraudit PLC dan untuk terus menilai kesan pandemik COVID-19 ke atas kawalan dalaman fungsi pelaporan kewangan.

AOB juga melaksanakan Laporan Ketelusan Tahunan oleh firma-firma audit, yang menyaksikan lapan firma menzahirkan maklumat berkaitan struktur perundangan dan tadbir urus mereka, langkah untuk mendukung kualiti audit dan mengurus risiko, serta ukuran penunjuk kualiti audit mereka. Firma-firma tersebut berkongsi Laporan Ketelusan Tahunan mereka dengan Jawatankuasa Audit pelanggan entiti kepentingan awam mereka.

Selaras dengan usaha kemampanan SC, laporan tahunan SC dan AOB dikeluarkan secara digital mulai tahun ini. Untuk membaca dan memuat turun laporan-laporan ini, sila layari www.sc.com.my/annual-report-2021 and www.sc.com.my/annual-report-2021/audit-oversight.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup